Rumitnya Pemilihan PAS Kali Ini


Pemilihan kepimpinan PAS yang berlangsung pada setiap dua tahun sekali merupakan antara agenda yang seringkali ditunggu oleh seluruh ahlinya. Penantiannya bukan setakat di kalangan ahli, malahan oleh seluruh masyarakat di dunia. Penantian untuk melihat peneraju jamaah Islam yang unggul ini sentiasa ditunggu oleh masyarakat dunia dan bukan hanya setakat masyarakat tanahair.

Pemilihan pada kali ini menimbulkan kecelaruan yang amat besar sedang berlaku di kalangan bakal perwakilan muktamar. Persidangan yang dijadualkan pada 4, 5 dan 6 Jun ini di Stadium Melawati akan menyaksikan persaingan sengit untuk kerusi Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Kerumitan ini berlaku ekoran beberapa insiden lontaran idea yang dikemukakan oleh Presiden berkenaan Unity Government. Ia makin bertambah parah setelah idea ini dilanjutkan dari gagasan muzakarah PAS-Umno suatu ketika dulu.

Agak menyedihkan apabila lontaran idea yang dikemukakan oleh Tuan Guru Presiden terus disalah anggap oleh sebilangan ahli-ahli. Idea yang hebat untuk kepentingan ummah dikotori dengan tuduhan tidak berasas terhadap Tuan Guru Presiden. Lebih memilukan, tuduhan yang tidak diketahui sumbernya dari mana itu seolah-olahnya menggambarkan Tuan Guru Presiden sebagai agen perosak parti dan pemusnah harapan jamaah.

Perselisihan pandangan yang menjadi kekuatan Islam sejak zaman berzaman tidak lagi dihormati. Malah sewenang-wenangnya dimusnahkan oleh kononnya pejuang-pejuang kental Islam di Malaysia. Walhal, mereka belum lagi diuji dengan pelbagai rintangan perjuangan seumpama yang dilalui oleh Tuan Guru Presiden.

Suasana kegawatan ini makin rancak apabila Tuan Guru Mursyidul Am PAS turut dilibatkan sama. Ekoran itu, hubungan peribadi kedua-dua Tuan Guru ini dilihat seolah-olahnya renggang dan bermasalah. Tiada siapa yang tahu, siapa yang meracuni suasana kegawatan ini? Apakah ia datang dari dalam jamaah sendiri atau datangnya dari perang saraf pihak musuh yang cekap menghidu pergolakan rumahtangga PAS ini.

Untuk mendepani Umno/BN, PAS beruntung dengan perkembangan ICT yang cukup berkembang maju mutakhir ini. Tanpa ruang yang lumayan di dalam media massa kerajaan, PAS cepat merebut peluang dengan menguasai dan memanfaatkan teknologi yang diperkenalkan.

Pun begitu, ada juga keburukannya apabila sebilangan ahli (atau tentunya bukan ahli) menggunakan medium yang sama untuk melaga-lagakan kepimpinan utama PAS ini. Lebih malang apabila bukan sahaja melaga-lagakan, malahan sehingga peringkat memburuk-burukkan kepimpinan dengan kata nista yang tidak sepatutnya. Saya yakin, begitu ramai yang bersedih apabila Tuan Guru Presiden dinegatifkan oleh ahli sendiri. Ramai juga yang bersedih melihat Tuan Guru Mursyidul Am disalah anggap dalam kenyataan beliau.

Saya yakin ramai ahli kita berada dalam keadaan yang bingung dan bimbang melihat senario ini. Pergolakan ini tidak diketahui berasal dari arah mana. Ada yang beranggapan ia datang dari satu kumpulan yang digelar sebagai Erdogan (entah datang dari mana). Ada pula yang mengatakan ia datang dari musuh sendiri yang cepat memanfaatkan peluang keemasan yang dicetuskan sendiri oleh ahli-ahli PAS.

Suasana ini makin bertambah gawat apabila Al-Fadhil Ustaz Nik Abduh mengemukakan dua artikel berkenaan isu ini. Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak, samada Ustaz Nik Abduh atau selain daripadanya. Saya juga keliru untuk memutuskan mana yang terbaik. Apakah artikel ini terbit bertepatan dengan masanya atau tidak? Dalam artikel tersebut, saya banyak juga bersetuju tentang kandungan artikel tersebut. Sebahagian daripadanya saya kurang bersetuju kerana ia antara punca yang memungkinkan kegawatan ini berlanjutan.

Feedback yang diperolehi untuk setiap artikel Ustaz Nik Abduh begitu banyak. Sanjungan dan penghargaan kebanyakan pembaca untuk artikel tersebut begitu rancak. Artikel 'Kerja-kerja Bodoh Dalam PAS 1 & 2' mengundang seluruh ahli jamaah dan pemerhati politik memberikan perhatian sejenak. Ramai yang berfikir dan ramai yang merumuskan sesuatu samada ia bersifat positif mahupun negatif.

Apa yang pasti, pemilihan pada kali ini makin meriah dengan kunjungan artikel Ustaz Nik Abduh. Diselangi pula dengan jawapan balas dari YB Khalid Samad. Sokongan kembali dari Ustaz Nasaruddin Tantawi. Barangkali inilah kejayaan YAB Tuan Guru Dato' Nik Aziz dalam mendidik ahli PAS berpolitik. Pernah beliau menyatakan, "beras tak akan masak kalau tidak sanggup dipanas dan dididihkan". Saya yakin, inilah proses pendidihan beras untuk dijadikan nasi buat santapan ummah sekalian.

Sekalipun rumit dan sukar, saya yakin pemilihan pada kali ini akan mematangkan para perwakilan PAS untuk memilih tokoh kepimpinan yang paling berwibawa. Sudah begitu banyak para perwakilan dibentangkan hujah dan peluang untuk menyiasat perkhabaran yang didedahkan, inilah peluang untuk membuat keputusan yang paling bijaksana sempena pemilihan kepimpinan PAS dalam Muktamar Tahunan Kali Ke 55 di Stadium Melawati, Shah Alam.


Kepimpinan ulama sentiasa terbuka, pastikan PAS mantap - Haron Din


KUALA LUMPUR, 28 April (Hrkh) - "Kepimpinan Ulama hanyalah satu arah tuju yang dilihat sebagai pengemudi parti. Ulama laksana juruterbang yang membawa kapal terbang atau nakhoda bagi sebuah kapal. Namun itu bukan kerja dia seorang tetapi beserta kakitangannya. Hal ehwal penumpang, kebajikan, keselamatan diuruskan oleh yang bukan 'pilot'. Kesinambungan itu yang membuatkan sesuatu perjalanan menjadi lancar.

Demikian antara petikan kata Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Dr. Harun Din ketika diminta memberi pandangan berhubung dengan kepimpinan ulama dalam PAS yang telahpun menjangkau 25 tahun sejak mula diperkenalkan sewaktu Muktamar PAS pada tahun 1983.

Kata Harun Din, walaupun kepimpinan ulama baru melintasi suku abad, namun pelbagai kejayaan telah dikecapi silih berganti menandakan keberkesanan ulama memimpin PAS menjadikannya sebuah parti yang dihormati, disegani dan semakin mendapat sokongan sekaligus memikat hati rakyat.

Tanpa kecuali beliau menyatakan peri pentingnya gabung-jalin antara ulama dan profesional dalam PAS demi memastikan hala tuju parti tercapai seterusnya memantapkan kecemerlangan perjuangan Islam sepanjang masa.

Dalam PAS itu, masing-masing ada kelebihannya dan saling tampung menampung. Oleh itu kelangsungan kepimpinan ulama mestilah diteruskan. Gandingan dengan tenaga profesional harus terus dimantapkan.


"Untuk berdepan dan menyaingi mereka (parti lawan), kita perlukan bukan sahaja ulama tetapi juga tenaga dan buah fikiran golongan profesional untuk memantapkan parti dan bergerak memastikan kejayaan perjuangan Islam ini," katanya dalam temubual eksklusif Harakah di kediaman semalam.

Sementara itu, ditanya berhubung salah faham, kelemahan dan kritikan terhadap kedua-dua golongan ini di dalam PAS, beliau menjelaskan isu itu sewajarnya diperbaiki sebaiknya dan bukan untuk diperbesarkan.

"Begitu juga dengan hal peperangan, Nabi Muhammad SAW sentiasa menerima pandangan daripada sahabat yang arif berperang. Itu bukan kesilapan tetapi petunjuk ringkas daripada Rasulullah SAW bahawa pemimpin boleh ditegur, dibantu dan diberi pandangan.

"Begitu juga dalam PAS. Kelemahan kepimpinan ulama bukan untuk diperbesarkan tetapi diperbetulkan. Kita kena ingat, semua orang mempunyai kelemahan dan sewajarnya ditampung bersama. Adakah dengan menukar kepimpinan maka kelemahan dan kesilapan tidak akan wujud sama sekali?" kata Haron Din lagi.

Beliau menasihati pihak media, blog dan internet sepatutnya berlaku adil kepada kepimpinan ulama jika berlaku kelemahan ataupun salahfaham dengan membuat pertemuan dan mengadakan perbincangan sebelum membuat sebarang ulasan atau kesimpulan.


"Saya lihat keterbukaan kepimpinan ulama tidak mempunyai sebarang halangan untuk bersua dan mendapatkan penjelasan. Mereka sedia bertemu dan berbincang demi untuk kukuhkan parti sekaligus memantapkan perjuangan Islam yang menjadi dasar dan teras PAS selama ini," katanya. -azm

Sumber : Harakahdaily