Himpunan Mansuh ISA - Kezaliman Pemerintah, Kejahilan Rakyat


Saya mengucapkan tahniah kepada pejuang-pejuang kental yang menyertai Himpunan Mansuhkan ISA. Tanpa pengorbanan untuk hadir, perjuangan menuntut keadilan tidak mampu dilakukan. Tahniah kepada semua kerana mereka datang tanpa upah dan tanpa elaun. Semua perbelanjaan ditaja sendiri. Hatta membeli baju hitam berkolar putih juga dari duit poket sendiri. Suara anak-anak muda dibuktikan melalui pengorbanan ini.

Dari seluruh pelusuk tanahair, anggota masyarakat yang bencikan kezaliman akan berhimpun di ibukota ini. Melainkan yang keuzuran dan mempunyai masalah peribadi ataupun keluarga. Bagi yang ada kesempatan inilah masanya menunjukkan kebersamaan membantah kekejaman ISA.

Apatah lagi melihat keganasan polis dalam insiden tempohari. Tindakan ganas mereka seolah-olah binatang yang tidak mengenal batas kemanusiaan. Apalah salahnya membenarkan himpunan ini dilakukan dan berakhir dengan penyerahan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong? Peserta Himpunan Mansuh ISA ini adalah peserta yang berdisiplin dan dididik oleh jamaah Islam dan pertubuhan masing-masing. Satu panduan lengkap dikeluarkan untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini. Malahan disampaikan pesan, jika himpunan berjaya, ucapkan terima kasih kepada anggota polis yang bertugas.

Malangnya, tindakan polis kali ini sungguh biadab dan kebinatangan. Tiada lagi erti kemanusiaan. Mereka membalun secukupnya tanpa usul periksa. Ada yang datang sebagai peserta dan ada juga sebagai pengunjung ibu kota yang terperangkap. Masing-masing berdepan dengan kegawatan ini. Orang tua dan kanak-kanak tidak terkecuali. Gas pemedih mata menyebabkan ramai yang kesakitan dan kepedihan. Semua yang hadir merasai kesannya.

Saya antara yang mendengar sumpah seranah peniaga kepada kami. Ya ! Memang mereka marahkan kami, kami pula (bersama beberapa anggota Unit Amal) tidak pula menjawab kerana tahu perasaan panas mereka. Cuma kepada siapa yang mereka marahkan itu adalah bukti kejahilan. Mereka tidak mengerti apa itu ISA. Mereka tidak mampu menyelami perasaan isteri dan anak-anak yang kehilangan suami/bapa mereka tanpa mengetahui kesalahan suami/bapa mereka. Mereka juga tidak mengetahui bilakah masanya bapa mereka akan keluar.

Justeru kerana sedikit kerugian pada satu hari, kita sudah hilangkan nilai kemanusiaan kita. Kita tidak mampu menyelami erti kemanusiaan di kalangan sesama kita, alangkah malangnya bangsa Melayu dan ummat Islam.

Anggota FRU, mengejar tidak mengira tempat. Water Canon mereka menyerang peserta-peserta himpunan termasuk dengan gerai-gerai. Hairannya, sebahagian peniaga marahkan peserta himpunan bukannya kepada pihak anggota FRU.

Tanpa menafikan sebahagian besar peniaga pula, menyokong himpunan ini dan membantah kekejaman polis. Mereka adalah peniaga yang mengerti erti kezaliman dan memahami nilai kemanusiaan.

Apalah untungnya hadir ke himpunan ini kalau bertujuan untuk bertempur dengan polis semata-mata? Kalau itulah matlamatnya, peserta himpunan tidak akan hadir ke program ini. Tetapi himpunan ini untuk menyuarakan bantahan, membawa isu ini kepada pihak Yang Dipertuan Agong, memohon agar isu ini diberikan perhatian. Peserta himpunan akan terus beredar apabila misinya selesai. Peniaga tidak akan diganggu, lalulintas terkawal dan ibukota makmur dengan kehadiran pengunjung yang luar biasa.


Belajar Dari Universiti Perjuangan Islam


Saya telah tinggalkan blograntau hampir dua minggu tanpa sebarang update. Entry yang bertajuk Economic Crisis : Yet To Hit Bottom hanyalah copy paste saja dari blog lain. Itupun sekadar tak nak nampak terlalu usang. Jika ingin memberikan alasan, dari A hingga Z pun saya boleh kemukakan alasan kenapa tidak update blograntau. Usahkan update blog, membalas respon dalam Bicara Rantau pun turut gagal. Saya memohon maaf kepada semua pengunjung blograntau kerana kegagalan ini. Ya ! Saya mengira saya telah gagal dalam hal ini.

Sepanjang Julai yang lalu, saya dihimpit dengan aktiviti yang luar biasa. Bukan sahaja saya yang merasakan demikian, tapi ia turut dirasai oleh sebahagian besar sahabat-sahabat seperjuangan. Bukan sahaja sibuk dengan aktiviti jamaah. Di tempat kerja juga tidak kurang dengan aktiviti-aktiviti yang mendadak, di samping yang telah dijadualkan.

Kebanyakan program bersifat mega dan berprestij (kononnya). Saya pula terlibat secara langsung sebagai antara individu utama dalam program-program ini. Sebenarnya, inilah sukatan pelajaran yang diperkenalkan oleh Universiti Perjuangan yaitu Pengurusan Masa. Secara individu, saya masih meletakkan diri saya dalam senarai kegagalan berhubung dengan hal ini.

Memang, azam yang kuat ingin memastikan kerjaya yang diceburi sekarang tidak menjejaskan peranan dalam aktiviti jamaah. Begitu juga, penglibatan dalam jamaah tidak akan memberikan imej negatif kerana kegagalan dalam kerja di pejabat. Pun begitu, ternyata azam yang kuat ini tidak cukup tanpa latihan yang sewajarnya. Oleh kerana itu, seringkali juga terfikir apakah perlu untuk menjadi seorang murabithun? Sukar sekali untuk menjawab isu ini.

Sekadar untuk berkongsi perjalanan program-program besar pada bulan Julai sahaja :

10 Julai, satu sesi Munaqasyah Ucap Tema Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dianjurkan oleh Lajnah Penerangan Pemuda. Al-Fadhil Ustaz Nasaruddin Tantawi sendiri yang hadir dan membentangkan munaqasyah ini. Al-Hamdulillah banyak perkara yang perlu digarapkan untuk gerak kerja pemuda PAS.

16-18 Julai, saya ke Jambori Amal, Kuala Brang. Program ini di bawah seliaan Ustaz Saiful Anbiya. Saya hanya hadir untuk melihat anak buah dari Kemaman sebagai mewakili Ketua Dewan Pemuda PAS Kemaman. Ketua kontingen Kemaman sempena Jambori Amal ialah Ustaz Nakhaie. Sekadar hadir dan membawa sedikit bekalan makanan untuk adik-adik anggota Unit Amal. Bilangan yang hadir tidaklah membanggakan. Hanya sekadar 13 orang sahaja. Apapun, tahniah kepada yang hadir. Secara kebetulan, saya telah dijadualkan untuk Ceramah Israk dan Mikraj kepada Muslimat Dun Seberang Takir pada 18 Julai di Surau Telaga Daing. Sejurus selepas ceramah tersebut barulah saya bertolak balik.

20 Julai, adalah Hari Guru PASTI. Dianjurkan di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Terengganu. Saya hadir di atas kapasiti sebagai Pengerusi Jabatan PASTI Kawasan Kemaman. Kebetulan, turut membuat persembahan adalah guru-guru dari PASTI Kemaman. Tahniah ! Pada hari yang sama, DPPNT menganjurkan jaulah ke Hulu Terengganu. Saya memohon maaf kerana tidak dapat teruskan ke Hulu Terengganu ekoran kekangan kerja.

22 Julai, saya terlibat secara langsung dalam Pelancaran Bulan Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Pelancaran yang dibuat di Masjid Pengadang Baru menuntut kehadiran saya sebagai salah seorang AJK penganjur. Bertolak terus selepas waktu kerja untuk sampai sebelum program, tambahan saya perlu untuk menjadi moderatur forum yang dipanelkan oleh YB Ustaz Nasaruddin Isa, Ustaz Saiful Bahri Mamat dan YB Ustaz Mohd Nor Hamzah. Selesai sahaja program, terus bertolak balik ke Kemaman. Terima kasih kepada Abu Abbas yang sudi menemani walaupun turut disibukkan dengan pelbagai tugasan.

29 & 30 Julai, Badan Perhubungan PAS Terengganu telah menganjurkan satu retreat yang memberikan fokus terhadap memperkasakan jentera parti. Malangnya saya tidak dapat mengikuti program besar dan penting ini kerana pertembungan jadual yang lebih awal di tempat kerja.

31 Julai baru-baru ini, Konvensyen Pemuda PAS Kawasan Kemaman telah diadakan di Dewan Imam Asy-Syafei, Mujamma' Taman Islam. Kehadiran pemuda seramai hampir 300 orang ini dikira berjaya walaupun tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

Dalam konvensyen ini, saya diminta untuk bertindak sebagai Pengarah program. Secara peribadi, saya seronok dengan tugasan ini. Tetapi terpaksa akur juga dengan himpitan tanggungjawab yang lain sebelum dan selepas konvensyen ini.

Pelaksanaan konvensyen ini disusuli dengan Himpunan Gerakan Mansuhkan ISA di Kuala Lumpur keesokan harinya. Saya dan beberapa rakan turut sama dalam himpunan tersebut. Saya akan memberikan ulasan khas tentangnya.

Program besar yang menanti selepas ini ialah Ijtimak Nuqaba Pemuda Negeri Terengganu pada 14 Ogos 2009. Untuk program ini, saya juga akan bertindak sebagai Pengarah. Sekaligus akan mengetuai panel yang akan membentuk sistem dan sukatan bagi usrah-usrah pemuda. Begitu juga Majlis Makan Malam Infaq Ramadhan pada 13 Ogos 2009 di Chukai, Kemaman. Sebenarnya banyak lagi program-program yang tidak disenaraikan.

Kesemua program-program ini menuntut mesyuarat yang cukup banyak sehingga menyebabkan seringkali saya tidak dapat bersama-sama dengan keluarga. Sememangnya itulah adat resam berada dalam perjuangan. Keluar di awal pagi, balik sebelah petang dan melakukan persiapan untuk mengajar di surau atau masjid. Selepas Isyak akan terlibat pula dalam mesyuarat yang boleh dikatakan hampir setiap malam. Kembali ke rumah setelah jam menunjukkan 12.30 atau 1.30 pagi paling awal. Berada di rumah waktu tersebut dalam keadaan anak-anak telah melelapkan mata.

Saya kagum melihat semangat juang yang ada pada Dato' Seri Tuan Guru Presiden dan pimpinan-pimpinan yang lain. Semangat mereka tegar dan pengorbanan mereka tidak mampu untuk ditandingi.

Universiti Perjuangan Islam menuntut untuk kita lebih melakukan usaha gigih melepasi latihan dan ujian perjuangan yang bakal menentukan tahap duduk kita semua. Saya berharap, inilah masanya untuk menekuni latihan diri dalam perjuangan Islam.

Harapan yang paling tinggi, semoga Allah terus memilih kita semua berada di dalam perjuangan Islam sehingga ke akhir hayat.