Himpunan Mansuh ISA - Kezaliman Pemerintah, Kejahilan Rakyat


Saya mengucapkan tahniah kepada pejuang-pejuang kental yang menyertai Himpunan Mansuhkan ISA. Tanpa pengorbanan untuk hadir, perjuangan menuntut keadilan tidak mampu dilakukan. Tahniah kepada semua kerana mereka datang tanpa upah dan tanpa elaun. Semua perbelanjaan ditaja sendiri. Hatta membeli baju hitam berkolar putih juga dari duit poket sendiri. Suara anak-anak muda dibuktikan melalui pengorbanan ini.

Dari seluruh pelusuk tanahair, anggota masyarakat yang bencikan kezaliman akan berhimpun di ibukota ini. Melainkan yang keuzuran dan mempunyai masalah peribadi ataupun keluarga. Bagi yang ada kesempatan inilah masanya menunjukkan kebersamaan membantah kekejaman ISA.

Apatah lagi melihat keganasan polis dalam insiden tempohari. Tindakan ganas mereka seolah-olah binatang yang tidak mengenal batas kemanusiaan. Apalah salahnya membenarkan himpunan ini dilakukan dan berakhir dengan penyerahan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong? Peserta Himpunan Mansuh ISA ini adalah peserta yang berdisiplin dan dididik oleh jamaah Islam dan pertubuhan masing-masing. Satu panduan lengkap dikeluarkan untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini. Malahan disampaikan pesan, jika himpunan berjaya, ucapkan terima kasih kepada anggota polis yang bertugas.

Malangnya, tindakan polis kali ini sungguh biadab dan kebinatangan. Tiada lagi erti kemanusiaan. Mereka membalun secukupnya tanpa usul periksa. Ada yang datang sebagai peserta dan ada juga sebagai pengunjung ibu kota yang terperangkap. Masing-masing berdepan dengan kegawatan ini. Orang tua dan kanak-kanak tidak terkecuali. Gas pemedih mata menyebabkan ramai yang kesakitan dan kepedihan. Semua yang hadir merasai kesannya.

Saya antara yang mendengar sumpah seranah peniaga kepada kami. Ya ! Memang mereka marahkan kami, kami pula (bersama beberapa anggota Unit Amal) tidak pula menjawab kerana tahu perasaan panas mereka. Cuma kepada siapa yang mereka marahkan itu adalah bukti kejahilan. Mereka tidak mengerti apa itu ISA. Mereka tidak mampu menyelami perasaan isteri dan anak-anak yang kehilangan suami/bapa mereka tanpa mengetahui kesalahan suami/bapa mereka. Mereka juga tidak mengetahui bilakah masanya bapa mereka akan keluar.

Justeru kerana sedikit kerugian pada satu hari, kita sudah hilangkan nilai kemanusiaan kita. Kita tidak mampu menyelami erti kemanusiaan di kalangan sesama kita, alangkah malangnya bangsa Melayu dan ummat Islam.

Anggota FRU, mengejar tidak mengira tempat. Water Canon mereka menyerang peserta-peserta himpunan termasuk dengan gerai-gerai. Hairannya, sebahagian peniaga marahkan peserta himpunan bukannya kepada pihak anggota FRU.

Tanpa menafikan sebahagian besar peniaga pula, menyokong himpunan ini dan membantah kekejaman polis. Mereka adalah peniaga yang mengerti erti kezaliman dan memahami nilai kemanusiaan.

Apalah untungnya hadir ke himpunan ini kalau bertujuan untuk bertempur dengan polis semata-mata? Kalau itulah matlamatnya, peserta himpunan tidak akan hadir ke program ini. Tetapi himpunan ini untuk menyuarakan bantahan, membawa isu ini kepada pihak Yang Dipertuan Agong, memohon agar isu ini diberikan perhatian. Peserta himpunan akan terus beredar apabila misinya selesai. Peniaga tidak akan diganggu, lalulintas terkawal dan ibukota makmur dengan kehadiran pengunjung yang luar biasa.


0 comments: