Pendaftaran PASTI Kemaman : Kini Dibuka

Bagi sesi pengajian 2010, PASTI Kemaman telah membuka pendaftaran kepada seluruh masyarakat tempatan di 24 buah PASTI yang berada di seluruh kawasan Kemaman.


Kenapa memilih PASTI ?

Sila ikuti maklumat asas berkenaan PASTI seperti di bawah :-

VISI

Melahirkan Insan Soleh di Malaysia melalui pendidikanp pra sekolah sebagai elemen terpenting.

MISI

Meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengurusan serta kuantiti PASTI di Malaysia bagi menjadikan PASTI pilihan utama kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam.

MATLAMAT PENUBUHAN PASTI

Matlamat Am

  1. Mengembalikan pemafahaman masyarakat umum kepada kepentingannya pendidikan Islam dan meransang kepekaan kebangkitan Islam sejagat.
  2. Mengadakan pendidikan awal (pra-sekolah) bagi melahirkan insan yang beriman, berilmu, beramal soleh dan berakhlak mulia.
  3. Menyediakan wadah awal pendidikan berorentasikan harakah Islamiah untuk jangka masa panjang.
  4. Menjadi pusat untuk membentuk fikrah masyarakat yang sedang mengalami dan menghadapi keruntuhan aqidah dan akhlak akibat dari serangan ideologi sekular dan kebendaan.
  5. Menyedarkan masyarakat umum tentang hakikat tarbiyah Islamiyyah beristiqamah dan beriltizam dengan Islam.
Matlamat Khas
  1. Menyedar dan meningkatkan kesempurnaan Tauhid agar beramal dengan setiap kebaikan yang diredhai Allah dan RasulNya dan meninggalkan setiap kemungkaran yang dimurkai Allah S.W.T.
  2. Membentuk peribadi insan agar mencontohi peribadi mulia Rasulullah s.a.w.
  3. Memberi galakkan kepada kanak-kanak secara intensif agar mereka dapat menjiwai fitrah kelahiran manusia dan mengabdikan diri hanya kepada Allah
  4. Memberi kesedaran betapa pentingnya bahasa sebagai alat komunikasi dalam kehidupan seharian terutamanya bahasa Al-Quran
OBJEKTIF PENDIDIKAN PASTI
  1. Menyediakan proses pendidikan awal yang berorentasikan sistem pendidikan Islam ke arah melahirkan anak yang soleh, berilmu dan beramal.
  2. Mendidik jiwa dan akal kanak-kanak dengan didikan Islam bersumberkan ajaran Al-Quran dan Hadis.
  3. Membimbing kanak-kanak supaya menghayati ibadah , akhlak dan cenderong melakukan ma’ruf serta meninggalkan mungkar.
  4. Melatih kanak-kanak membaca, menghafaz dan menghayati Al-Quran , doa dan zikir.
  5. Memberi pengetahuan kepada kanak-kanak asas-asas bahasa, matematik dan komunikasi ke arah kebolehan membaca, mengira, menulis dan menghafal.
Semoga anda tidak kecewa dengan PASTI !

Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 10 K

Tempoh berbaki untuk menerima kunjungan seluruh pemuda-pemuda PAS Negeri Terengganu ke Kemaman sudah begitu hampir. Acara tahunan yang besar ini telah memberikan peluang kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman untuk menjadi tuan rumah. Dataran Tok Guru di perkampungan Geliga menjadi pilihan untuk penganjuran program berprestij bagi pemuda PAS Terengganu.

Asakan keganasan dan budaya ala samseng Putera dan Pemuda Umno semasa tempoh kempen PRK di Bagan Pinang tempohari diharap menjadi satu lontaran semangat pemuda-pemuda PAS dari seluruh pelusuk Terengganu untuk berkunjung ke Kemaman, kawasan paling hujung selain Besut.

Bagi kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kemaman, pemilihan sebagai tuan rumah amat dihargai dan akan diusahakan untuk menjayakannya sebaik yang mungkin.

Kepadatan program pada setiap hujung minggu pada Oktober ini benar-benar menguji petugas-petugas jamaah. Proses untuk menjayakan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu Kali Ke 13 pada 17 Oktober dan Sambutan Jubli Perak PASTI Terengganu pada minggu berikutnya. Minggu terakhir Oktober, HIMPIT pula bakal menyusul.

InsyaAllah, jika tiada sebarang halangan, Jumaat terdekat ini satu khutbah sempena HIMPIT akan saya sampaikan di Masjid Pasir Minal, Kemaman. Tujuannya adalah untuk mendapatkan dana kewangan sebagai sokongan perjalanan HIMPIT pada tahun ini.

Dewan Pemuda PAS Kemaman mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Jawatankuasa Masjid Pasir Minal yang sudi memberikan ruang untuk tujuan ini.

Semua pemuda dan rakyat Kemaman dijemput menghadiri program ini di Dataran Tok Guru, Geliga sebagaimana maklumat yang dinyatakan dalam poster.


Sekali lagi, masa yang berbaki sudah tidak berapa lama lagi. Semoga HIMPIT pada kali ini berjaya mencapai sasaran yang digariskan.

"Selamat BerHIMPIT"



Majlis Sambutan Hari Raya 'Idil Fitri PAS Kemaman


PAS Kawasan Kemaman akan mengadakan Majlis Sambutan Aidil Fitri pada Khamis, 15 Oktober 2009 di Perkarangan Pejabat PAS dekat sini.

Yang Dipertua PAS kawasan Kemaman, Haji Ismail Harun berkata majlis anjuran bersama Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat bermula jam 12 tengahari hingga 3 petang.

"Majlis ini sepatutnya diadakan pada 3 Oktober yang lalu, tetapi terpaksa ditunda kerana pertembungan dengan pilihanraya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan,katanya lagi.

"Saya bagi pihak PAS Kawasan Kemaman menjemput orang ramai hadir beramai-ramai memeriahkan majlis ini, terutama warga Kemaman dan insyaAllah duit raya akan diberikan kepada kanak-kanak", katanya.

DPPKK Online dimaklumkan, disamping pelbagai juadah tradisional dan moden disediakan, kaunter pendaftaran ahli PAS dan semakan daftar pemilih turut diadakan.

BLOGRANTAU : Semua dijemput hadir memeriahkan sambutan ini.

http://dppkk.org

Bandaraya Islam & Ummah Yang Salam


Salam Ramadhan !

Seketika, membaca cerpen di bawah membuatkan mata saya bersinar menaruh harapan keindahan pemerintahan Islam. Saya yakin, sudah ramai pembaca yang mengikuti nukilan cerpen ini. Tetapi tidaklah salah untuk bercita-cita melihat Islam diamalkan oleh masyarakat dunia pada hari ini.

Justeru, cerpen ini mampu membawa semangat kepada semua pejuang Islam. InsyaAllah.

Hayatilah !

***

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot atau purba? begitulah detak hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampaknya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum Warahmatullah, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu sebahagian daripada iman." Bunyi satu suara di belakangnya. Dia bingkas berpaling.

Siapa kau berani menegurku? Aku Datuk Dr. Johar, orang besar negara ini.

"Pakcik, biarlah saya tolong kutip, sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya.

Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis.

Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang-siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka...Ah, di mana aku sekarang ini? gerutu hati Datuk Dr.Johar.

"Oi budak, Aku di mana sekarang?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. 'Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya?' teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar.

Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

"Assalamualaikum....Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Siddiq ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman.... Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan Salawat 100 kali." Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar tersentak. 'Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang.' Namun egonya membumbung tinggi.

Apa ? Kau nak marahkan aku ? Ni duit lima ratus. Aku tak mahu buat apa yang kau minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ha? tanyanya angkuh lagi ego.

Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat, kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.

Oh, oh.... maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu? Tanya pegawai itu pula.

"Aku yang gila, atau dia yang gila?" Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tidak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula, Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. 'Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.'

Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni.

Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Siddiq ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti Darul Siddiq.

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. Di mana aku sebenarnya ni? Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit di tengah Bandar Kuala Lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tidak ada.

Pakcik di Bandar Muthmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji Din, Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan zahir batin bandar ini.

Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi Jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar.

"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas solat nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat..."

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan usia berlari kepada seorang pegawai penguatkuasa.

Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah! seksa Neraka amat pedih.. Tolonglah, tuan. Hukumlah saya di dunia sebelum saya di hukum di Akhirat! rayu lelaki itu.

Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Dia lari sekuat-kuat hati. Peliknya mereka tidak mengejarnya. Dia terlepas... Lega. Dahaga, lapar mula menyerang tekak dan perutnya. Dia mesti makan. Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba dia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan :

"Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al Abrar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Beliau merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini beliau menjamu makan dan minuman. Silalah hadir!"

Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih makanan. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah. Matanya tak betah lagi melihat semua itu. Tapi kerana lapar dia masuk juga.

Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki.

Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan. Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya.

Ada tak restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni! Lelaki itu tersenyum.

Empat puluh tahun yang lalu adalah. Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad, Pemimpin Darul Khusus telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs. Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan. terangnya. Mukanya jernih. Serban dan jubahnya serba putih. "Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni... gila!"

Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Siddiq ini. Tidak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu... Masya`allah. Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika dia manggeleng-gelengkan kepalanya. 'Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar.' Datuk Dr. Johar pun duduk.

Nasi beriani sepinggan! ujarnya kepada pelayan.

Dalam pinggan, tuan? tanya pelayan itu kehairanan.

Ya! Apa peliknya?

Baik, tuan. Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang? tanya pelayan berkulit hitam itu.

Dia bertambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu ke tempat manusia yang sedang menikmati makanan. Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. 'Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian!' Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.

"Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki," kata pelayan itu dengan sopan. Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.

Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jamaah Subuh. ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja.

Enta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain? tanya sahabat di sebelah. Dia nampak bersimpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja.

Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit... Malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana. Keluhnya.

Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantu kita. Tolonglah terima sedekah kita. Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, Di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita. keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi.

Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Ana pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk ana daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya.. ana nak labur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat, kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan-lahan. Datuk Dr.Johar makin pelik.

Tambah nasi sepinggan lagi! ujarnya kepada pelayan restoran.

Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan... berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan. kata pelayan itu lagi.

Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran! bentaknya. Marah campur geram.

Tuan, mana ada hospital sekarang. Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital!

Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ? leternya perlahan-lahan.

Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990-an dulu. Sekarang penyakit tu dah tida ada sesiapa menghidapnya.

Batalkan saja order saya tadi, banyak sangat cakap, bosan. Saya perlu hiburan sekarang...Di mana boleh saya dapati ? tanyanya.

Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak usah risau pasal bil. Percuma.

Datuk Dr. Johar, orang besar negara melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai-bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelipan. Sangat rumit dan kekeliruan itu dapat di sembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya dia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya. Satu butang warna hitam ditekan . Dalam skrin timbul tajuk besar- KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI , MIZAN NOKTAH PENYESALAN , IZRAIL DATANG. Tiba-tiba... Oh...Oh... Seram sejuk tubuhnya.

"Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. Aku belum nak mati lagi'" protes hati Datuk Dr. Johar. Dia beralih ke butang hijau tanpa berlengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer: RAJA . Kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI. Kepala Datuk Dr. Johar makin pening. Semuanya tentang Akhirat. Apa sudah jadi ni?

Tak ada lagu yang hot ke? tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya.

Nanti ya pakcik. Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni. Top-hit anak-anak muda sekarang.

Ya, ya saya setuju, balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu. Ayat suci Al-Quran...

Eh ...ni suara orang mengaji. Nanti dulu pakcik, selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya. kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia. Kemudian getaran suara bergema.. Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu mendamba kasih yang tidak berhujung mengutip sayang di hamparan cinta suci. Inilah getaran hatiku memburu cinta... stanza hati merindu Iiahi!"

Datuk Dr. Johar tak tertahan lagi. Dia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.

Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tidak mampu bayar kami halalkan sajalah. Datuk Dr. Johar makin geram. Dia memprotes dan berkata

Saya bayar dengan kad kredit saja! Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya.

Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami halalkan sajalah.

Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-bungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri.

Darul Siddiq tidak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka.

Ah, aku tak nak dengar semuanya. Makin gila aku dibuatnya. pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar, semua pandangan menyakitkan hatinya. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi.

Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan 'MAKRUFAT AIR TRANSPORT' sibuk dengan urusannya. Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas, 'KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH'.

Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak mereka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah. 'Ishh,meluatnya!' Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya, semua itu seolah-olah menyindir dan mengejeknya.

Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus.

Datuk..!Datuk..! Bangun, Datuk. Ada berita buruk! Datuk Dr. Johar bangun. Dia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu. Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? tanya Datuk Dr. Johar.

Tidak, datuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tidak mahu demokrasi. Mereka tidak mahu pilihanraya.

Habis, mereka mahu apa?

Mereka mahu Islam, Datuk!

Islam? keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya.

"ISLAM KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG.. ITULAH JANJI ILAHI" kedengaran suara-suara itu bergema lagi.


Sumber : Atriza


Himpunan Mansuh ISA - Kezaliman Pemerintah, Kejahilan Rakyat


Saya mengucapkan tahniah kepada pejuang-pejuang kental yang menyertai Himpunan Mansuhkan ISA. Tanpa pengorbanan untuk hadir, perjuangan menuntut keadilan tidak mampu dilakukan. Tahniah kepada semua kerana mereka datang tanpa upah dan tanpa elaun. Semua perbelanjaan ditaja sendiri. Hatta membeli baju hitam berkolar putih juga dari duit poket sendiri. Suara anak-anak muda dibuktikan melalui pengorbanan ini.

Dari seluruh pelusuk tanahair, anggota masyarakat yang bencikan kezaliman akan berhimpun di ibukota ini. Melainkan yang keuzuran dan mempunyai masalah peribadi ataupun keluarga. Bagi yang ada kesempatan inilah masanya menunjukkan kebersamaan membantah kekejaman ISA.

Apatah lagi melihat keganasan polis dalam insiden tempohari. Tindakan ganas mereka seolah-olah binatang yang tidak mengenal batas kemanusiaan. Apalah salahnya membenarkan himpunan ini dilakukan dan berakhir dengan penyerahan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong? Peserta Himpunan Mansuh ISA ini adalah peserta yang berdisiplin dan dididik oleh jamaah Islam dan pertubuhan masing-masing. Satu panduan lengkap dikeluarkan untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini. Malahan disampaikan pesan, jika himpunan berjaya, ucapkan terima kasih kepada anggota polis yang bertugas.

Malangnya, tindakan polis kali ini sungguh biadab dan kebinatangan. Tiada lagi erti kemanusiaan. Mereka membalun secukupnya tanpa usul periksa. Ada yang datang sebagai peserta dan ada juga sebagai pengunjung ibu kota yang terperangkap. Masing-masing berdepan dengan kegawatan ini. Orang tua dan kanak-kanak tidak terkecuali. Gas pemedih mata menyebabkan ramai yang kesakitan dan kepedihan. Semua yang hadir merasai kesannya.

Saya antara yang mendengar sumpah seranah peniaga kepada kami. Ya ! Memang mereka marahkan kami, kami pula (bersama beberapa anggota Unit Amal) tidak pula menjawab kerana tahu perasaan panas mereka. Cuma kepada siapa yang mereka marahkan itu adalah bukti kejahilan. Mereka tidak mengerti apa itu ISA. Mereka tidak mampu menyelami perasaan isteri dan anak-anak yang kehilangan suami/bapa mereka tanpa mengetahui kesalahan suami/bapa mereka. Mereka juga tidak mengetahui bilakah masanya bapa mereka akan keluar.

Justeru kerana sedikit kerugian pada satu hari, kita sudah hilangkan nilai kemanusiaan kita. Kita tidak mampu menyelami erti kemanusiaan di kalangan sesama kita, alangkah malangnya bangsa Melayu dan ummat Islam.

Anggota FRU, mengejar tidak mengira tempat. Water Canon mereka menyerang peserta-peserta himpunan termasuk dengan gerai-gerai. Hairannya, sebahagian peniaga marahkan peserta himpunan bukannya kepada pihak anggota FRU.

Tanpa menafikan sebahagian besar peniaga pula, menyokong himpunan ini dan membantah kekejaman polis. Mereka adalah peniaga yang mengerti erti kezaliman dan memahami nilai kemanusiaan.

Apalah untungnya hadir ke himpunan ini kalau bertujuan untuk bertempur dengan polis semata-mata? Kalau itulah matlamatnya, peserta himpunan tidak akan hadir ke program ini. Tetapi himpunan ini untuk menyuarakan bantahan, membawa isu ini kepada pihak Yang Dipertuan Agong, memohon agar isu ini diberikan perhatian. Peserta himpunan akan terus beredar apabila misinya selesai. Peniaga tidak akan diganggu, lalulintas terkawal dan ibukota makmur dengan kehadiran pengunjung yang luar biasa.


Belajar Dari Universiti Perjuangan Islam


Saya telah tinggalkan blograntau hampir dua minggu tanpa sebarang update. Entry yang bertajuk Economic Crisis : Yet To Hit Bottom hanyalah copy paste saja dari blog lain. Itupun sekadar tak nak nampak terlalu usang. Jika ingin memberikan alasan, dari A hingga Z pun saya boleh kemukakan alasan kenapa tidak update blograntau. Usahkan update blog, membalas respon dalam Bicara Rantau pun turut gagal. Saya memohon maaf kepada semua pengunjung blograntau kerana kegagalan ini. Ya ! Saya mengira saya telah gagal dalam hal ini.

Sepanjang Julai yang lalu, saya dihimpit dengan aktiviti yang luar biasa. Bukan sahaja saya yang merasakan demikian, tapi ia turut dirasai oleh sebahagian besar sahabat-sahabat seperjuangan. Bukan sahaja sibuk dengan aktiviti jamaah. Di tempat kerja juga tidak kurang dengan aktiviti-aktiviti yang mendadak, di samping yang telah dijadualkan.

Kebanyakan program bersifat mega dan berprestij (kononnya). Saya pula terlibat secara langsung sebagai antara individu utama dalam program-program ini. Sebenarnya, inilah sukatan pelajaran yang diperkenalkan oleh Universiti Perjuangan yaitu Pengurusan Masa. Secara individu, saya masih meletakkan diri saya dalam senarai kegagalan berhubung dengan hal ini.

Memang, azam yang kuat ingin memastikan kerjaya yang diceburi sekarang tidak menjejaskan peranan dalam aktiviti jamaah. Begitu juga, penglibatan dalam jamaah tidak akan memberikan imej negatif kerana kegagalan dalam kerja di pejabat. Pun begitu, ternyata azam yang kuat ini tidak cukup tanpa latihan yang sewajarnya. Oleh kerana itu, seringkali juga terfikir apakah perlu untuk menjadi seorang murabithun? Sukar sekali untuk menjawab isu ini.

Sekadar untuk berkongsi perjalanan program-program besar pada bulan Julai sahaja :

10 Julai, satu sesi Munaqasyah Ucap Tema Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dianjurkan oleh Lajnah Penerangan Pemuda. Al-Fadhil Ustaz Nasaruddin Tantawi sendiri yang hadir dan membentangkan munaqasyah ini. Al-Hamdulillah banyak perkara yang perlu digarapkan untuk gerak kerja pemuda PAS.

16-18 Julai, saya ke Jambori Amal, Kuala Brang. Program ini di bawah seliaan Ustaz Saiful Anbiya. Saya hanya hadir untuk melihat anak buah dari Kemaman sebagai mewakili Ketua Dewan Pemuda PAS Kemaman. Ketua kontingen Kemaman sempena Jambori Amal ialah Ustaz Nakhaie. Sekadar hadir dan membawa sedikit bekalan makanan untuk adik-adik anggota Unit Amal. Bilangan yang hadir tidaklah membanggakan. Hanya sekadar 13 orang sahaja. Apapun, tahniah kepada yang hadir. Secara kebetulan, saya telah dijadualkan untuk Ceramah Israk dan Mikraj kepada Muslimat Dun Seberang Takir pada 18 Julai di Surau Telaga Daing. Sejurus selepas ceramah tersebut barulah saya bertolak balik.

20 Julai, adalah Hari Guru PASTI. Dianjurkan di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Terengganu. Saya hadir di atas kapasiti sebagai Pengerusi Jabatan PASTI Kawasan Kemaman. Kebetulan, turut membuat persembahan adalah guru-guru dari PASTI Kemaman. Tahniah ! Pada hari yang sama, DPPNT menganjurkan jaulah ke Hulu Terengganu. Saya memohon maaf kerana tidak dapat teruskan ke Hulu Terengganu ekoran kekangan kerja.

22 Julai, saya terlibat secara langsung dalam Pelancaran Bulan Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Pelancaran yang dibuat di Masjid Pengadang Baru menuntut kehadiran saya sebagai salah seorang AJK penganjur. Bertolak terus selepas waktu kerja untuk sampai sebelum program, tambahan saya perlu untuk menjadi moderatur forum yang dipanelkan oleh YB Ustaz Nasaruddin Isa, Ustaz Saiful Bahri Mamat dan YB Ustaz Mohd Nor Hamzah. Selesai sahaja program, terus bertolak balik ke Kemaman. Terima kasih kepada Abu Abbas yang sudi menemani walaupun turut disibukkan dengan pelbagai tugasan.

29 & 30 Julai, Badan Perhubungan PAS Terengganu telah menganjurkan satu retreat yang memberikan fokus terhadap memperkasakan jentera parti. Malangnya saya tidak dapat mengikuti program besar dan penting ini kerana pertembungan jadual yang lebih awal di tempat kerja.

31 Julai baru-baru ini, Konvensyen Pemuda PAS Kawasan Kemaman telah diadakan di Dewan Imam Asy-Syafei, Mujamma' Taman Islam. Kehadiran pemuda seramai hampir 300 orang ini dikira berjaya walaupun tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

Dalam konvensyen ini, saya diminta untuk bertindak sebagai Pengarah program. Secara peribadi, saya seronok dengan tugasan ini. Tetapi terpaksa akur juga dengan himpitan tanggungjawab yang lain sebelum dan selepas konvensyen ini.

Pelaksanaan konvensyen ini disusuli dengan Himpunan Gerakan Mansuhkan ISA di Kuala Lumpur keesokan harinya. Saya dan beberapa rakan turut sama dalam himpunan tersebut. Saya akan memberikan ulasan khas tentangnya.

Program besar yang menanti selepas ini ialah Ijtimak Nuqaba Pemuda Negeri Terengganu pada 14 Ogos 2009. Untuk program ini, saya juga akan bertindak sebagai Pengarah. Sekaligus akan mengetuai panel yang akan membentuk sistem dan sukatan bagi usrah-usrah pemuda. Begitu juga Majlis Makan Malam Infaq Ramadhan pada 13 Ogos 2009 di Chukai, Kemaman. Sebenarnya banyak lagi program-program yang tidak disenaraikan.

Kesemua program-program ini menuntut mesyuarat yang cukup banyak sehingga menyebabkan seringkali saya tidak dapat bersama-sama dengan keluarga. Sememangnya itulah adat resam berada dalam perjuangan. Keluar di awal pagi, balik sebelah petang dan melakukan persiapan untuk mengajar di surau atau masjid. Selepas Isyak akan terlibat pula dalam mesyuarat yang boleh dikatakan hampir setiap malam. Kembali ke rumah setelah jam menunjukkan 12.30 atau 1.30 pagi paling awal. Berada di rumah waktu tersebut dalam keadaan anak-anak telah melelapkan mata.

Saya kagum melihat semangat juang yang ada pada Dato' Seri Tuan Guru Presiden dan pimpinan-pimpinan yang lain. Semangat mereka tegar dan pengorbanan mereka tidak mampu untuk ditandingi.

Universiti Perjuangan Islam menuntut untuk kita lebih melakukan usaha gigih melepasi latihan dan ujian perjuangan yang bakal menentukan tahap duduk kita semua. Saya berharap, inilah masanya untuk menekuni latihan diri dalam perjuangan Islam.

Harapan yang paling tinggi, semoga Allah terus memilih kita semua berada di dalam perjuangan Islam sehingga ke akhir hayat.


Economic Crisis : Yet To Hit Bottom


KUALA LUMPUR: The economic crisis has not bottomed out yet but Bank Negara has adopted an aggressive stance on interest rates and its main objective is to ensure banks continue lending, said Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.


The Bank Negara governor said on April 15 the central bank's assumption was that the second half would see some stabilisation taking place as fiscal stimulus got under way.

"We expect flat growth because of contraction of external sector that is offset by domestic demand. The financial sector resolutions in the advanced countries are still taking place, so we have to wait and see before we see stabilisation occurs," Zeti said.


On the first quarter's performance, she said 1Q was "very affected by contraction in export numbers, and it will continue to show in the second quarter".

Zeti was speaking to reporters on the sidelines of a conference organised by the Association of Islamic Banking Institutions Malaysia.

However, she said the second half of the year would be better, mitigated by domestic economy demand and lending from banks.

She said non-performing loans (NPLs) were still trending downwards, hitting a historical low of 2.2% currently. Zeti said even if there was a spike, banks would still be able to handle it.
The central bank governor said there was no need to raise banks minimum capital requirement at the moment.

On the exchange rate, Zeti said the central bank does not manage exchange rate as it is not a policy instrument but to facilitate trade and investments.

Source: theedgemalaysia.com