Hilang Suara : Ujian Allah

Semalam saya berusaha juga mendapatkan rawatan daripada doktor ekoran kehilangan suara. Saat berkuliah Maghrib di Masjid Tengku Mizan semalam, amat memeritkan. Begitu juga semasa kelas muslimah pada pagi keesokannya. Tempoh sejam begitu lama dirasai.


Suara saya hilang sejak daripada Jumaat malam Sabtu. Malam tersebut, saya berkuliah kepada peserta Himpit di tapak musolla perkhemahan. Kebetulan baru saja di awal kuliah, elektrik terputus. Kami bergelap dan saya pula terpaksa melaungkan suara dengan begitu kuat untuk memastikan Kuliah Maghrib dapat dihayati oleh semua peserta.

Semasa konsert pada malam tersebut, saya berdekatan dengan seorang anak muda yang tekun menghisap rokok. Nak melarikan diri, serba salah. Tapi akibatnya diri sendiri yang terpaksa menanggung. Kes kehilangan suara seperti ini dikategorikan sebagai kes tidak bahaya (benign). Selain berpunca dari jangkitan kuman, demam selsema atau batuk. Ia turut berpunca daripada bahan-bahan yang menyebabkan keradangan seperti merokok, terhidu atau tertelan bahan kimia.

Hasilnya, malam tersebut saya batuk dan kekeringan tekak. Terpaksa balik ke rumah untuk dapatkan mana-mana ubat yang ada. Pun begitu, kes ini berlarutan sehingga hari ini.


Menurut Doktor, peti suara saya bengkak dan berlaku jangkitan kuman (Acute laryngitis-barangkalinya). Atas nasihat Doktor, saya sebolehnya berehat dahulu daripada berkuliah atau berceramah. Bagi memulihkan sepenuhnya suara saya yang hilang ini, kuliah di Surau Feri Kemasik, Surau Ketengah Jaya, Markaz Cacar dan Balai Islam TNB terpaksa ditangguhkan dulu sehingga suara kembali pulih.

Apapun, ujian Allah ini pasti ada hikmah dan kebaikannya. Ampunkanlah dosaku Ya Allah !

1 comments: