Al-Iman Consultant And Training Centre

Awal Mac nanti merupakan tarikh yang amat mendebarkan bagi saya dan rakan-rakan. Al-Iman Consultant And Training Centre -ICTC (yang selama ini bergerak tanpa pejabat dan pusat pentadbiran) akan memulakan operasi secara rasmi di sebuah bangunan di Jalan Air Putih, Kemaman. Lokasi yang strategik di kawasan perumahan Taman Permai Jaya akan menjadi saksi perjalanan Pusat Pengajian Al-Iman. ICTC telah lama mengambil lokasi ini, sejak bulan Disember lagi. Tetapi kerana kekurangan modal, ia tertangguh. Hasratnya akan dimulakan pada Januari 2009. Tapi terpaksa ditangguhkan sehingga awal Mac. Usaha ini sangat serius untuk membawa mesej dakwah di Terengganu Darul Iman.

Pusat Pengajian Al-Iman akan memulakan siri pengajian ini dengan Kelas Tahfiz Back To Home. Ibu bapa yang berminat akan menghantar anak-anak untuk mengikuti kelas tahfiz tanpa perlu berada di asrama. Mereka boleh balik dan datang kembali untuk mengikuti kelas tahfiz. Cara ini sememangnya tidak sebaik berada terus di pusat-pusat tahfiz, tetapi matlamat ICTC hanya untuk memudahkan ibubapa. Malahan Kelas Tahfiz Back To Home merupakan garis mula untuk pelajar mengenal erti hafazan.

Kelas pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain turut diperkenalkan. Begitu juga dengan Kelas Al-Quran Dewasa.


ICTC baru saja dua tahun mencurahkan khidmat di bumi Kemaman ini. Kebiasaannya, program Kem Motivasi Pelajar, Kem Anak Soleh, Kem Tahfiz Al-Quran (semasa cuti sekolah), Team Building untuk syarikat korporat, kursus-kursus pengajian Islam dan pelbagai lagi. Tetapi waktu itu perjalanannya tidaklah terlalu serius. Dengan pewujudan Pusat Pengajian Al-Iman, ICTC mengharapkan agar usaha ini mendapat sambutan di kalangan masyarat di Kemaman ini. Sahabat saya, Ustaz Osama menguruskan sepenuhnya syarikat ini dengan dibantu oleh Ustaz Syed Syahrunuddin (Yaman). Tidak dilupakan kepada Haji Johan (Bahtera Marin) yang sudi mengizinkan bangunan tersebut dimajukan oleh ICTC. Semoga Allah membalas sumbangan anda dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.

Semoga ICTC mampu berdiri kukuh membawa mesej dakwah, pendidikan dan ekonomi Islam.

Pertemuan Dengan Dr.Sami Abu Zuhri


Alhamdulillah, Ahad lepas sebelum ro
mbongan Dr.Sami Abu Zuhri berlepas pulang ke Syiria, sempat juga bersama-sama dengan beliau sebagai pertemuan perpisahan. Pertemuan dengan Dr.Sami dan Abu Hussam cukup bererti buat saya.

Dr. Sami Abu Zuhri

Saya memanggilnya Dr. Sami sekalipun beliau sedang menyiapkan tesis Phd. Panggilan ini sebagai penghormatan dan merupakan senario biasa di kalangan masyarakat Arab bagi pensyarah-pensyarah universiti. Justeru, saya merasakan panggilan yang paling hormat untuk beliau ialah Dr. Sami.

Beliau merupakan bekas tahanan rejim Zionis selama 7 tahun. Pengalaman diseksa Yahudi sudah begitu masak untuk jiwa pemimpin muda Hamas ini. Menjadi jurucakap rasmi Hamas (Hamas Official Spokesman) di Ghazzah dalam usia ini menampakkan kewibawaan tersendiri yang dimiliki Dr.Sami. Saya tak sempat berceloteh panjang dengan beliau dan rombongan.

Beberapa faedah yang disampaikan sudah cukup untuk menjadi panduan guna sebagai bekal dalam perjalanan yang masih jauh ini. Rasa persaudaraan melalui ikatan akidah begitu kukuh dalam diri apabila bersama-sama dalam satu majlis.

Bernada lembut dan penuh berhemah menyerlahkan lagi kreadibiliti wakil Hamas ini. Secara tegas, beliau mengulangi kita menang dalam peperangan ini. Angka korban bukan menjadi ukuran. Tetapi berundur lebih awal menjadi ukuran yang jelas dengan dakwaan Rejim Zionis, objektif telah tercapai. Sedangkan Hamas masih kukuh berada di hati rakyat Palestin.

Menikmati hidangan bersama

Sekalipun peperangan ini meletus, rakyat Palestin tetap meneruskan kehidupan seperti biasa. Tiada perubahan besar. Kami dah biasa melaluinya. Rakyat Ghazzah telah dikepung ekonominya semenjak sekian lama. Rakyat Palestin biasa menyamar di kalangan orang-orang Yahudi tanpa mereka sedari.

Semangat Asy-Syahid Syeikh Ahmad Yaasin, Dr. Abdul Aziz Rantisi, Yahya 'Ayyash dan lain-lain syuhada' tetap segar di hati kami. Fatah bukan musuh kami. Pemimpin negara Arab bukan musuh kami. Tetapi Rejim Zionis adalah musuh kami dan musuh seluruh ummat Islam. Kami juga akan menjadi musuh kepada sesiapa sahaja yang memusuhi perjuangan kami. Keutamaan kami ialah menghalau rejim Zionis dari Palestin, ujar Dr.Sami.

Pohon bimbingan ...

Beliau sebenarnya dari Palestin ke Damsyik untuk menghadiri mesyuarat khas Hamas. Kehadiran beliau sebelum peperangan meletus pada 27 Disember 2008. Setibanya di Syiria dan setelah selesainya mesyuarat, beliau mendapat makluman tentang serangan Rejim Zionis ke atas bumi Ghazzah.

Melalui senario seumpama ini, sewajarnya ummat Islam kembali yakin kepada janji Allah SWT dan RasulNya SAW. Rawatilah penyakit wahan (kasihkan dunia dan bencikan mati). Hujanilah kembali al-Mahabah di kalangan musuh agar mereka kembali gerun kepada ummat Islam. Inilah
yang dimaksudkan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Thauban r.'a.

Aiman Masuk Hospital


Hari Khamis baru-baru ini, saya agak kelam kabut. Jam 4.05 petang, saya terus keluar dari pejabat kerana Ummu Anwar hantar mesej suhu Aiman dah 40 darjah celcius. Walaupun masih banyak kerja berbaki untuk di selesaikan. Khususnya sempena Appreciation Day yang akan diadakan pada bulan ini.

Sampai di rumah, terus bersiap-siap untuk pergi ke sebuah klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan. Tapi ditakdirkan Allah, Aiman rebah dalam kereta. Jarak ke klinik sudah dekat, sekitar 500 meter sahaja. Aiman terkena sawan demam atau febrile fits. Saya tak dapat buat apa-apa kerana sedang memandu dan terus lajukan untuk cepat sampai ke klinik. Ummu Anwar tarik Aiman ke depan, matanya terbeliak (uprolling of eyeballs), mulutnya berbuih (drooling of saliva) dan kekejangan. Mujurlah cepat sampai di klinik dan terus mendapatkan rawatan kecemasan. Terima kasih buat Dr.Azurawati dan petugas-petugas di klinik tersebut yang cekap memberikan rawatan untuk Aiman. Dua dos suppository afren diberikan kepada Aiman dan badan Aiman dilap dengan air sejuk. Tak berapa lama, Aiman sedarkan diri. Dr. Azurawati mintak saya bawa Aiman ke Klinik Kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kami terus ke sana dan dapatkan petugas perubatan yang on call pada hari tersebut. Aiman diarahkan supaya dibawa ke Hospital Kemaman untuk teruskan rawatan. Kami terus bergegas ke sana kerana bimbang jika suhunya kembali naik dalam tempoh terdekat.

Doktor perubatan yang merawat Aiman di Hospital Kemaman mengesahkan Aiman mesti berada dalam kawalan pihak hospital kerana dibimbangi berlaku sawan untuk kali kedua. Kami akur walaupun tahu agak sukar sebenarnya dalam suasana sekarang untuk berada di hospital. Kuliah Maghrib saya di Taman Murni Perdana terpaksa dibatalkan. Pohon maaf untuk Akh Ismayuddin dan ahli jamaah surau tersebut. Kita merancang Allah lebih hebat perancangannya.

Aiman perlu dimasukkan air (intravenous fluid drip) untuk rendahkan suhu badan. Tambahan Aiman pula tak minum dan tak makan (hilang selera). Darah turut diambil untuk memastikan tiada jangkitan kuman. Alhamdulillah, Aiman tak pula menangis bila jururawat melakukan proses-proses ini. Aiman hanya lihat dan sedikit mengaduh sakit semasa mula-mula dicucuk.

Aiman dipindahkan ke Wad Pediatrik. Tapi waktu tu, Aiman sedikit segar malah cukup riang bermain dengan Anwar. Saya tidak boleh untuk menemani Aiman hingga ke pagi. Penjaga yang dibenarkan hanya seorang sahaja. Saya balik dengan Anwar setelah menyediakan keperluan untuk Ummu Anwar berada di hospital.

Pagi esoknya, kami bertolak dulu ke Dungun untuk bertemu dengan adik di Sek.Men.Sains Dungun. Baju Waqiuddin perlu diserahkan sebelum Jumaat. Kami ke sana dulu untuk selesaikan urusan tersebut. Kemudian terus ke Hospital Kemaman. Ummu Anwar nampak sangat letih. Aiman kena sekali lagi fits pada pagi tadi, tapi tak lama. Aiman bangun dari tidur sejak pukul 3 pagi. Tak tidur lagi selepas itu sehingga pukul 12.00 tengahari.

Saya berjumpa dengan jururawat bertugas untuk memohon pertukaran hospital. Kami bercadang untuk ke KT Specialist. Jam 12.30 tengahari, mak sampai dengan adik (Pie dan keluarganya) di hospital. Kebetulan saya dah buat urusan untuk keluarkan Aiman dari hospital. Bukan kerana layanan buruk di hospital Kemaman (kalau ikutkan layanan, kami amat berpuas hati. Petugas mereka mesra dan baik-baik). Cuma kesukaran untuk menjaga Aiman di pihak kami. Ummu Anwar tak larat kerana sedang berbadan dua. Bulan April dijangkakan akan bersalin. Jadi cara terbaik, membawa balik Aiman ke Kuala Terengganu. Mak juga bersetuju.

Selepas Jumaat kami bertolak pulang ke Kuala Terengganu. Ummu Anwar terpaksa meriba Aiman selama 3 jam. Cadangan untuk ke KT Specialist dibatalkan. Terus ke rumah mak dan mendapatkan rawatan secara kampung.

Alhamdulillah penawar akar kayu yang diberikan menurunkan suhu panas badan Aiman. Malamnya dapat tidur nyenyak hingga ke pagi. Walaupun suhu panas belum stabil sepenuhnya, Aiman agak cergas dan semakin pulih. InsyaAllah, kami akan balik ke rumah petang ini.

Saya gagal mengikuti perkembangan di Perak dengan baik. Internet tak sempat nak jenguk. TV pun tak sempat nak tengok. Apapun, kita harapkan yang terbaik untuk rakyat dan Islam.

Segala pujian untuk Allah SWT.


Kerana Gaza, Erdogan berang di Davos : Peres terdiam, Amru Musa bertepuk gembira



Ahad, 01/02/2009 - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bangun meninggalkan sidang ekonomi dunia di Switzerland dalam keadaan berang sebagai bantahan kerana tidak diberi masa yang mencukupi bagi menjawab kenyataan yang dibuat oleh Simon Peres, Presiden Israel, yang berucap panjang dan memberikan pelbagai alasan terhadap penyembelihan dilakukan tentera Israel di Gaza.

Dalam sidang mengenai Gaza di forum Davos petang Khamis lalu, Peres bercakap selama 25 minit mengatakan HAMAS lah sebenarnya yang mendorong Israel ke kancah peperangan, kerana ia melancarkan roketnya ke kawasan penempatan Israel. Ketika bercakap, Peres menggunakan nada yang keras dan memandang tepat ke arah Erdogan dari masa ke semasa.

Tiba gilirannya, Erdogan membuat komentar dengan berkata, “Peres lebih berusia daripada saya, namun dia menggunakan perkataan yang keras.” Seterusnya beliau menyambung dan menujukan kata-katanya kepada Peres dengan tegas, “Saya masih teringat kepada kanak-kanak yang terbunuh di tepi pantai, saya masih teringat betapa ramai yang telah anda bunuh di Gaza.” Ketika itu, Peres menyampuk, “mereka juga akan melakukan apa yang kami lakukan jika roket-roket tersebut jatuh di Istanbul.”

Erdogan dengan muka yang merah kerana marah juga menujukan kritikan pedas kepada sebahagian hadirin yang bertepuk tangan terhadap ucapan Peres, “adalah suatu yang amat mengaibkan kamu bertepuk tangan terhadap serangan yang membunuh ribuan kanak-kanak dan wanita yang dilakukan oleh tentera Israel di Gaza.”

Baru lebih kurang 10 minit Erdogan berucap, pengerusi majlis memaklumkan waktunya sudah habis. Dalam keadaan marah Erdogan segera beredar sambil memungut failnya seraya berkata, “terima kasih kerana anda tidak memberi peluang untuk saya bercakap.. Saya hanya bercakap separuh daripada masa yang digunakan oleh Peres.. Saya tidak akan datang lagi ke Davos.”

Ketika Erdogan bangun untuk meninggalkan dewan, Peres kelihatan tergamam berpaling ke kiri dan ke kanan tanpa mengeluarkan sepatah perkataan.

Setiausaha Agung Liga Negara Arab, Amru Musa berdiri dan bertepuk tangan dengan gembira kemudian berjabat tangan dengan Erdogan yang meninggalkan dewan di tengah-tengah tepukan daripada beberapa orang hadirin.

Setelah Erdogan meninggalkan dewan, Amru Musa kelihatan berpaling ke kanan dan ke kiri , lalu Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu memintanya duduk lalu beliau kembali mengambil tempat.

Erdogan berkata dalam sidang akhbar yang diadakan selepas forum tersebut, “Peres berucap selama 25 minit, dalam nada keras dan memandang tepat kepada saya dengan cara yang tidak sesuai dengan kebebasan awam.”

Beliau menambah, “apabila saya berucap, tiada pihak yang memberikan saya peluang untuk mengungkapkan pandangan saya, maka adalah suatu yang tepat saya mengambil tindakan meninggalkan forum tersebut.”

Permohonan maaf Israel

Saluran kedua TV Turki melaporkan Peres memohon maaf daripada Erdogan terhadap apa yang berlaku melalui panggilan telefon, tanpa memberikan penghuraian panggilan tersebut. Agensi berita Anatolia juga mengesahkan berita tentang permohonan maaf tersebut. Ia melaporkan daripada sumber-sumber yang hampir dengan Erdogan bahawa Peres menghubungi Perdana Menteri Turki itu selama 5 minit.

Ketika membuat komentar tentang kejadian tersebut, ketua Persatuan Penentang Zionis di Amman, Layth Shubeilat memuji tindakan Erdogan dengan berkata, “pendirian beliau menampilkan kemajuan dari sudut mengambil pendirian yang membebaskan diri daripada warisan sekular Turki.”

Rabu lalu, Erdogan mengutuk pencerobohan Israel terhadap Gaza dan beliau tidak bersetuju langkah mengkategorikan HAMAS sebagai salah sebuah pertubuhan pengganas. Dalam masa yang sama, beliau menyeru Presiden Amerika yang baru, Barrack Obama supaya mengkaji semula definisi pertubuhan-pertubuhan pengganas yang terdapat di Timur Tengah.

Dalam perkembangan berkaitan, Layth Syubeilat mengkritik kehadiran Setiausaha Agung Liga negara Arab ke forum tersebut bersama-sama dengan Perdana Menteri Israel.

Beliau berkata, “Bagaimana bangsa Arab boleh membenarkan Amru Musa duduk bersama dengan pemimpin Israel.” Beliau juga menambah duduknya Amru Musa setelah Erdogan meninggalkan dewan menyebabkan situasi menjadi bertambah rumit. Beliau juga memberikan komentar dengan berkata bahawa para pemimpin Arab tidak tahu apa yang mereka lakukan.”


sumber : islamonline.net
penterjemah : muhajir