Hari Khamis baru-baru ini, saya agak kelam kabut. Jam 4.05 petang, saya terus keluar dari pejabat kerana Ummu Anwar hantar mesej suhu Aiman dah 40 darjah celcius. Walaupun masih banyak kerja berbaki untuk di selesaikan. Khususnya sempena Appreciation Day yang akan diadakan pada bulan ini.
Sampai di rumah, terus bersiap-siap untuk pergi ke sebuah klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan. Tapi ditakdirkan Allah, Aiman rebah dalam kereta. Jarak ke klinik sudah dekat, sekitar 500 meter sahaja. Aiman terkena sawan demam atau febrile fits. Saya tak dapat buat apa-apa kerana sedang memandu dan terus lajukan untuk cepat sampai ke klinik. Ummu Anwar tarik Aiman ke depan, matanya terbeliak (uprolling of eyeballs), mulutnya berbuih (drooling of saliva) dan kekejangan. Mujurlah cepat sampai di klinik dan terus mendapatkan rawatan kecemasan. Terima kasih buat Dr.Azurawati dan petugas-petugas di klinik tersebut yang cekap memberikan rawatan untuk Aiman. Dua dos suppository afren diberikan kepada Aiman dan badan Aiman dilap dengan air sejuk. Tak berapa lama, Aiman sedarkan diri. Dr. Azurawati mintak saya bawa Aiman ke Klinik Kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kami terus ke sana dan dapatkan petugas perubatan yang on call pada hari tersebut. Aiman diarahkan supaya dibawa ke Hospital Kemaman untuk teruskan rawatan. Kami terus bergegas ke sana kerana bimbang jika suhunya kembali naik dalam tempoh terdekat.
Doktor perubatan yang merawat Aiman di Hospital Kemaman mengesahkan Aiman mesti berada dalam kawalan pihak hospital kerana dibimbangi berlaku sawan untuk kali kedua. Kami akur walaupun tahu agak sukar sebenarnya dalam suasana sekarang untuk berada di hospital. Kuliah Maghrib saya di Taman Murni Perdana terpaksa dibatalkan. Pohon maaf untuk Akh Ismayuddin dan ahli jamaah surau tersebut. Kita merancang Allah lebih hebat perancangannya.
Aiman perlu dimasukkan air (intravenous fluid drip) untuk rendahkan suhu badan. Tambahan Aiman pula tak minum dan tak makan (hilang selera). Darah turut diambil untuk memastikan tiada jangkitan kuman. Alhamdulillah, Aiman tak pula menangis bila jururawat melakukan proses-proses ini. Aiman hanya lihat dan sedikit mengaduh sakit semasa mula-mula dicucuk.
Aiman dipindahkan ke Wad Pediatrik. Tapi waktu tu, Aiman sedikit segar malah cukup riang bermain dengan Anwar. Saya tidak boleh untuk menemani Aiman hingga ke pagi. Penjaga yang dibenarkan hanya seorang sahaja. Saya balik dengan Anwar setelah menyediakan keperluan untuk Ummu Anwar berada di hospital.
Pagi esoknya, kami bertolak dulu ke Dungun untuk bertemu dengan adik di Sek.Men.Sains Dungun. Baju Waqiuddin perlu diserahkan sebelum Jumaat. Kami ke sana dulu untuk selesaikan urusan tersebut. Kemudian terus ke Hospital Kemaman. Ummu Anwar nampak sangat letih. Aiman kena sekali lagi fits pada pagi tadi, tapi tak lama. Aiman bangun dari tidur sejak pukul 3 pagi. Tak tidur lagi selepas itu sehingga pukul 12.00 tengahari.
Saya berjumpa dengan jururawat bertugas untuk memohon pertukaran hospital. Kami bercadang untuk ke KT Specialist. Jam 12.30 tengahari, mak sampai dengan adik (Pie dan keluarganya) di hospital. Kebetulan saya dah buat urusan untuk keluarkan Aiman dari hospital. Bukan kerana layanan buruk di hospital Kemaman (kalau ikutkan layanan, kami amat berpuas hati. Petugas mereka mesra dan baik-baik). Cuma kesukaran untuk menjaga Aiman di pihak kami. Ummu Anwar tak larat kerana sedang berbadan dua. Bulan April dijangkakan akan bersalin. Jadi cara terbaik, membawa balik Aiman ke Kuala Terengganu. Mak juga bersetuju.
Selepas Jumaat kami bertolak pulang ke Kuala Terengganu. Ummu Anwar terpaksa meriba Aiman selama 3 jam. Cadangan untuk ke KT Specialist dibatalkan. Terus ke rumah mak dan mendapatkan rawatan secara kampung.
Alhamdulillah penawar akar kayu yang diberikan menurunkan suhu panas badan Aiman. Malamnya dapat tidur nyenyak hingga ke pagi. Walaupun suhu panas belum stabil sepenuhnya, Aiman agak cergas dan semakin pulih. InsyaAllah, kami akan balik ke rumah petang ini.
Saya gagal mengikuti perkembangan di Perak dengan baik. Internet tak sempat nak jenguk. TV pun tak sempat nak tengok. Apapun, kita harapkan yang terbaik untuk rakyat dan Islam.
Segala pujian untuk Allah SWT.
0 comments:
Post a Comment