Alfu Mubarak ! Calon Kepimpinan Pemuda


Dalam suasana gawat pemilihan kepimpinan PAS sempena muktamar pada tahun ini dengan isu yang dimainkan oleh media antara ulama' dan profesional, calon kepimpinan tertinggi Dewan Pemuda PAS memberikan isyarat yang jelas tentang kedudukan syura di kalangan mereka.

Langkah yang ditunjukkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat ini wajar disanjung apatah lagi ketika berada dalam suasana panas pemilihan pada kali ini.

Sekalung tahniah diucapkan kepada Ustaz Nasaruddin Hasan Tantawi yang telah menang tanpa bertanding sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Tahniah juga kepada Ustaz Azman Syafawi Abdul Rani dan Saudara Sabki Yusuf yang menang tanpa bertanding sebagai Timbalan dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Ustaz Nasaruddin Hasan Tantawi

Isyarat ini juga sebagai petanda bahawa Dewan Pemuda PAS Pusat mempunyai semangat yang terus kukuh untuk terus membawa misi PAS Untuk Semua. Justeru, polemik Ulamas vs Profesional sebenarnya bukanlah isu besar untuk diutamakan. Kini, gabungan Ulama-Profesional tetap kukuh di peringkat kepimpinan tertinggi Dewan Pemuda PAS Pusat.

Ustaz Azman Syafawi






Sdr Ahmad Sabki Yusuf



Semangat syura inilah yang bakal menyelesaikan banyak permasalahan yang berlaku pada hari ini, InsyaAllah.

Hayatilah syair berikut :


Majulah ke hadapan dan ceburkanlah diri
Engkaulah pemudanya
dan madahku adalah nyalaan
Semoga iramaku menyalakan api dalam dirimu
Niat hati hanya untuk melihat
Setitik air dalam dirimu
Bakal menjadi lautan yang dalam
Semoga jiwa ini sentiasa beroleh ketenangan
Jadikanlah dirimu
dicipta untuk bekerja bersungguh-sungguh

Nilai Masa Dalam Perjuangan Islam


Bicara soal masa, sedari awal lagi Allah SWT menekankannya lewat di dalam Surah Al-Asr. Hal inilah yang menarik minat Prof. Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi merakamkan kupasan penting melalui kitabnya Al-Khittah Al-Barraqah Li Zi An-Nafsi At-Tawwaqah. Beliau memberikan tumpuan yang jelas ketika mengemukakan perbahasan tentang masa hasil bimbingan wahyu Ilahi.

Prof. Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi

Usaha yang lebih awal dirintis oleh Fadhilah Asy-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah hafizahullah dalam kitabnya Qimah Az-Zaman 'Inda al-Ulama. Karangan yang dicetuskan untuk anak-anak muda agar memanfaatkan masa yang dianugerahkan dengan perkara yang berfaedah khususnya dalam usaha menuntut ilmu. Al-Imam Fakhruddin Ar-Razi rahimahullah lewat pentafsiran beliau terhadap Surah Al-Asr juga banyak mengemukakan pandangan yang kritis dan tajam agar ummat Islam menghargai masa.

Asy-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah

Saya kemukakan hal ini apabila melihat keterbatasan waktu untuk dimanfaatkan demi Islam. Segala-galanya memerlukan ketekunan dalam memanfaatkan tempoh 24 jam setiap hari. Seringkali kita terleka. Terleka kerana diulit keseronokan bersembang antara satu sama lain. Lalai kerana dihiburkan dengan pelbagai hiburan moden. Pastinya, masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.

Tanggungjawab yang banyak menuntut kesungguhan kita memanfaatkan masa. Kini tekanan cukup banyak untuk dilunaskan. Program yang berduyun-duyun tiba tanpa henti memerlukan proses yang serius bagi melaluinya.

Berada dalam medan dakwah memerlukan persiapan yang sangat rapi. Apabila mengimbas kembali kenangan semasa belajar di Mesir dan Syria, rasa sangat menyesal kerana tidak memanfaatkan masa tersebut dengan sebaiknya.

Meletakkan diri dalam barisan pendakwah menuntut ilmu yang mantap, kemahiran yang tinggi dan tarbiyah yang seimbang. Sekadar perkongsian, program-program dakwah mutakhir ini memerlukan sentuhan yang sentiasa berbeza berdasarkan penyertaan audien. Berdakwah dalam sektor korporat berbeza dengan dakwah di kalangan masyarakat awam. Berdakwah untuk pelajar sekolah berbeza dengan dakwah di kalangan kumpulan dewasa terpelajar. Justeru, ia memerlukan adunan yang penting antara ilmu, kemahiran dan pengukuhan jiwa. Pengalaman, ia akan menyusul selepas menceburi bidang dakwah ini. Yang pasti, terjun dalam arena dakwah memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit.

Buat masa ini, kekangan waktu cukup menguji keutuhan jiwa sendiri. Seringkali gagal melunasi tanggungjawab seorang bapa untuk hulurkan belaian kasih sayang yang mencukupi. Seringkali gagal untuk membantu si isteri yang seharian mengabdikan diri untuk keluarga tercinta. Apatah lagi untuk diri sendiri.

Hari Jumaat nanti, satu program Brunch Nisa' Kemaman akan diadakan di Restoran Seri Kalung, Bukit Kuang. Tajuk ceramah pada hari tersebut ialah Aurat Wanita : Sopan vs Berani. Walaupun program ini nampak santai, tapi persiapan untuk menjayakannya bukanlah satu perkara yang mudah. Paling tidak satu slide berkenaan dengannya perlu disiapkan. Saya cuba juga mencelah waktu yang ada untuk menyiapkan slide tersebut agar pembentangan yang dibuat mencapai objektif yang disasarkan.

Slide Aurat Wanita : Sopan vs Berani

Susulan program tersebut, bergegas pula untuk ke Pulau Serai, Dungun bagi menyampaikan khutbah Jumaat di sana. Tajuk belum lagi disediakan. Undangan ini berkebetulan dengan jemputan sebagai Naqib Usrah Tamu bagi Usrah Gabungan di Alur Tembesu sejurus selepas selesai Solat Jumaat di sana.

Pada waktu yang sama, rakan-rakan PASTI Kawasan Kemaman sedang bertungkus lumus melakukan proses persiapan akhir di Bandar Baru Bukit Mentok bagi menjayakan Karnival Sukan PASTI Negeri Terengganu. Pada tahun ini, Kemaman akan menjadi tuan rumahnya. Rehearsal yang dijadualkan pada sebelah petangnya tidak berjaya untuk diikuti.

Di Dungun juga, program pada malam itu diteruskan dengan pembentangan berkenaan dengan Taat dan Tajarrud.

Apapun alhamdulillah. Penyusunan jadual ini semuanya untuk kepentingan dakwah.

Hari Sabtu adalah hari paling penting untuk berusaha menjayakan Karnival Sukan PASTI Negeri Terengganu. Acara tahunan ini perlu dipastikan berjaya dengan baik agar kontinjen yang berkunjung ke bumi Kemaman berpuas hati dan ceria menyambut karnival ini.

Waktu itu seperti pedang
Jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu

Pada Allah dipulangkan harapan. Semoga berjaya dalam liku-liku kehidupan sebagai insan yang terkecuali dari kalangan manusia yang kerugian !

Suramnya Syura Dalam Jamaah Islam


PAS Sebuah Jamaah Islam


Mutakhir ini, Pakatan Rakyat makin diterima rakyat Malaysia. Ketelusan dan keseriusan membela rakyat terpancar melalui gerak kerja dan usaha kebanyakan pimpinan Pakatan Rakyat. Antara parti terbesar dan berpengaruh dalam Pakatan Rakyat ini ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS).

PAS bukan sahaja sebuah parti politik. Malahan ia merupakan sebuah jamaah Islam yang bercita-cita untuk melihat Islam didaulatkan di negara ini. Cita-cita ini diperjuangkan oleh pendokong-pendokong PAS sehingga ada yang terkorban seperti di Memali, Lubuk Merbau, ada yang tercedera seperti kes di Batu Buruk dll, ada juga yang menang sehingga berjaya memerintah seperti di Kelantan dll.

Jamaah yang besar dan bercita-cita mulia ini semakin hari semakin kuat dan berpengaruh. Pun begitu, mutakhir ini agak malang apabila pucuk kepimpinan yang dipilih di peringkat kawasan (khususnya) makin menghilangkan identiti anggota jamaah Islam. Mereka dipilih oleh perwakilan dan menggunakan sepenuhnya kuasa yang diberi hingga membelakangkan budaya tarbiyah yang sepatutnya sentiasa mekar dalam jamaah Islam.

Walaupun isu ini bersifat dalaman, tetapi saya berpandangan dengan pendedahan ini, generasi pelapis perlu menyedari betapa pentingnya tarbiyah diadun dalam perjuangan Islam yang suci ini. Kepimpinan yang ada pasti akan melalui zaman berakhirnya untuk beberapa tempoh. Tetapi dalam masa yang sama, tidak wajar seandainya dibiarkan budaya ini berterusan tanpa dirawati. Paling ditakuti, penyakit kronik ini sempat merebak kepada generasi pelapis. Wal'iyazubillah.

Hilangkan Politik Melampau Dalam Jamaah

Memimpin PAS tidak wajar melihat dari sudut pandang politik semata-mata. Tetapi memimpin PAS mesti melihat dari sudut pandang sebuah Jamaah Islamiah. Justeru, di situ adanya akhlak sesama anggota bukannya melihat anggota untuk dicantas dan dikebumikan karier politik dan sumbang dakwah yang diusahakannya.

Saya tampilkan perbincangan terbuka ini untuk mengajak pembaca artikel ini agar berwaspada dengan ujian dan dugaan di luar batas pemikiran kita. Kefahaman inilah yang menuntut ketekunan anggota jamaah untuk memperelokkan lagi perjuangan Islam ini.

Tidak wajar jika pemimpin hanya membuka sejarah dan pengalamannya semata-mata. Sehingga seringkali melekeh-lekehkan pandangan anggota jamaah yang berusia kurang daripadanya.

Al-Imam Al-Bukhari mendedahkan ahli mesyuarat Saidina 'Umar al-Khattab r.a : "Adalah al-Qurra' menjadi ahli mesyuarat Umar samada ia golongan dewasa mahupun pemuda". (Lihat : Al-Bukhari : 9/138)

Terlampau berpolitik, menyebabkan kita ghairah untuk menutup potensi sahabat-sahabat seangkatan. Kita tidak berjiwa besar untuk sama-sama memacu perjuangan Islam. Maka lahirlah kepentingan peribadi mengatasi segala-gala.

Terlampau berpolitik, menyebabkan kita seolah-olahnya tidak berdiri di atas paksi jamaah Islam yang sebenar. Asas berjamaah yang dibina di atas dasar ukhuwwah dilenyapkan dengan kuasa sementara yang dimiliki. Asas berjamaah yang dibina di atas dasar thiqah (kepercayaan) dihancurkan dengan sewenang-wenangnya.

Saya ingin fokuskan, apabila seseorang pemimpin menggunakan kuasa politik hingga membelakangkan syura, di sinilah bermulanya babak perpecahan di kalangan anggota jamaah. Al-Imam Al-Qurthubiy dalam Al-Jamie' Li Ahkam Al-Quran mengutip pandangan Ibnu 'Athiah, katanya : "Syura adalah dari prinsip syarak dan teras kepada hukum, sesiapa yang tidak bersyura (bermesyuarat) dengan pihak yang berpengetahuan dan ahli agama, maka berpisah dengannya adalah wajib, tiada khilaf lagi dalam kes ini". (Al-Jamie' : Jilid 4 : 249)

Justeru, saya ingin tegaskan bahawa syura adalah suatu kemestian dalam berjamaah tetapi ia adalah suatu perkara yang tidak perlu dalam berpolitik. Politik semata-mata boleh menggunakan strategi peribadi, boleh menurut hawa nafsu, boleh gunakan teori Machiavelli dan sebagainya. Tetapi dalam Jamaah Islam panduan syura adalah langkah yang paling cermat. Apatah lagi diadun dengan bimbingan wahyu Al-Quran dan Sunnah Nabawiah.

Justeru, Al-Imam Al-Mawardi menegaskan hal ini di dalam kitabnya At-Tuhfah Al-Mulukiah Fi Al-Aadab As-Siasiah berkenaan dengan kewajiban bersyura. Beliau menegaskan : "Awas kamu jika meninggalkan musyawarah". Malahan hadis Nabi SAW juga menontonkan hikmah syura untuk ummatnya :

ما خاب من استخار ولا ندم من استشار

Maksudnya :
"Tidak akan rugi sesiapa yang beristikharah dan tidak akan menyesal sesiapa yang bermusyawarah".

Budaya Sate Dalam Berpolitik

Oleh kerana terlampau berpolitik, budaya sate menjadi amalan kebanyakan ahli politik (baca:ahli jamaah Islam). Saya pernah sebutkan budaya ini kepada beberapa orang sahabat pemuda. Mereka pohon huraian saya tentang budaya ini. Justeru saya tegaskan, budaya sate ni ialah budaya cucuk-cucuk, kipas-kipas dan api-apikan. Pakej yang lengkap untuk hancurkan jamaah. Tapi cukup enak membudayakannya seenak menikmati satenya.


Maka tulang-tulang ayam yang keras-keras semua tidak digunakan untuk hasilkan sate. Sebagaimana dalam perjuangan, yang keras-keras, bangkang-bangkang semuanya perlu disingkirkan untuk hasilkan sate politik yang lazat. Sedangkan mereka antara aset penting untuk sinarkan jamaah. Berbanding semuanya Yes Man belaka.

Semoga Allah SWT lindungi perjuangan ini dengan meletakkan ketabahan dalam diri kita semua dan meningkatkan kesungguhan untuk kita terus berkorban dalam perjuangan Islam.

Ambillah yang baik dan buanglah yang keruh.


Apabila Ulama Cepat Melatah


Alhamdulillah, saya berkesempatan menelaah kembali sukatan tarbiyah yang disusun oleh Asy-Syeikh Muhammad Abdullah Al-Khathib yang merupakan salah seorang murabbi unggul Ikhwan Muslimin di Mesir. Melalui 5 siri Mafahim Tarbawiyah, pembaca yang mengikuti tulisan beliau akan mencedok isi kandungan yang sangat tinggi nilainya untuk dakwah Islam.
Dalam artikel pada kali ini, saya ingin mengutip ulas bicara Asy-Syeikh pada siri kedua berkenaan dengan Akhlak Ulama. Saya tidak bermaksud untuk menujukan artikel ini kepada sesiapa, jauh sekali bertujuan untuk menempelak sesiapa.

Tetapi dalam suasana hari ini, saya rasa terpanggil untuk menukilkan pandangan Asy-Syeikh untuk seluruh ulama-ulama Islam di tanahair ini. Melihat senario semasa, sebahagian dari kalangan agamawan menuturkan bicara yang agak kesat dan tidak mencerminkan kesopanan. Seringkali juga kita mendabik dada inginkan kita (yang bergelar ulama) bertakhta sedangkan kita belum lagi membuktikan yang terbaik. Saya berharap tulisan ini tidak semberono dan boleh mencetuskan ketegangan baru dalam proses pemilihan pucuk kepimpinan PAS pada kali ini.

Saya yakin, tulisan Ustaz Nik Abduh adalah penjernihan semula terhadap tanggapan negatif masyarakat kepada ayahandanya sendiri. Saya yakin, tulisan Ustaz Nasaruddin Tantawi merupakan suatu pandangan yang sopan untuk memartabatkan institusi kepimpinan ulama sejajar dengan perjuangan Dewan Pemuda PAS Pusat suatu ketika dahulu. Saya yakin, penjelasan semula YB Khalid Samad dengan tujuan sama untuk mengelakkan tanggapan negatif masyarakat betapa kumpulan profesional kini ingin merangkul kuasa dari kepimpinan ulama.

Tetapi di sebalik penulisan tersebut, masih ada kedapatan tulisan-tulisan blogger lain yang memaparkan pandangan yang sinis, keras, radikal dan ekstrim (jika istilah ini dibenarkan) terhadap musuh masing-masing. Mendedahkan kumpulan ulama menentang bukan ulama dan bukan ulama menentang ulama.

Justeru, Asy-Syeikh mengajak kita merenungi
firman Allah SWT :


"Dan Kami jadikan di kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat kami". (Surah As-Sajdah : 24)

Kata sebahagian golongan Salaf :
"Dengan sabar dan yakin, tercapailah tahap kepimpinan dalam agama". Direkodkan di dalam Athar (diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi) : "Ilmu itu dua jenis. Ilmu yang berada di hati, itulah ilmu yang bermanfaat dan ilmu yang berada di lisan, itulah hujah Allah atas anak Adam".

Ulama yang sebenar ialah golongan yang menyinari sejarah ummat Islam. Mereka mempunyai ilmu yang dihubungkan dengan amalan. Mereka memiliki pengetahuan yang diikat dalam perjalanan hidup dan mereka berjuang memberikan bimbingan kepada penduduk dunia bagaimana dunia yang sepatutnya. Ketakutan mereka kepada Allah SWT memudahkan semua rintangan dilalui mereka.

Ibnu Mas'ud menegaskan : "Ilmu itu bukan dengan banyak bicara, tetapi ilmu itu dengan banyaknya khashyah (takut kepada Allah)". Orang yang berilmu ialah orang yang merasai bebannya amanah dan besarnya tanggungjawab. Justeru, faktor ini mendorong mereka untuk lebih hebat beramal untuk agama dan dunia. Ibnu Hibban dan Al-Baihaki menukilkan : "Seseorang itu tidak digelar sebagai alim sehinggalah dengan ilmunya itu diamalkan". Seseorang ulama hendaklah memperelokkan perjalanan hidupnya, hendaklah menjadikan gerak kerjanya bertepatan dengan syarak, bertepatan kata-katanya dengan neraca syarak.

MasyaAllah ! Sukar sekali berstatuskan ulama. Seringkali kita menyampaikan tazkirah, kuliah agama dan ceramah, saat itu jugalah kita menjadi manusia yang mengingkari pedoman hikmat yang telah disadur begitu rapi melalui hiasan ceramah, tazkirah dan kuliah. Lantas, bertitlekan seorang USTAZ, kita dikategorikan sebagai ulama. Insaf ataupun tidak, kita belum tentu di kalangan hamba Allah SWT yang terpilih. Mungkin kita hanya pinjam sahaja title ustaz, walhal kita di sebaliknya.

Sebagai ulama, sewajarnya kita bertenang menghadapi situasi ini. Tidak perlu untuk bidas membidas antara satu sama lain. Tidak perlulah mengadu domba antara satu sama lain. Usahlah terlalu cepat melatah !

Suasana panas sempena Muktamar PAS pada kali ini memerlukan pendekatan ahli jamaah yang matang dan berjiwa besar. Kebanyakan kepimpinan yang menyuarakan pandangan peribadi mereka yang mahukan Timbalan Presiden seorang ulama hendaklah dihormati. Demikian juga sebahagian kepimpinan PAS yang menyuarakan pandangan peribadi agar jawatan Timbalan Presiden boleh juga disandang oleh bukan ulama hendaklah diraikan. Pada saya kombinasi inilah yang mampu menjernihkan kembali kedudukan jamaah Islam yang terbesar ini. Wujudnya pertentangan ini, menyebabkan ketegangan terus berlaku tanpa kesudahan dan budaya berprasangka buruk juga makin hebat menular. Sedangkan kita diajar agar sentiasa bersangka baik.

Kalaulah jawatan Timbalan Presiden pada sesi depan berjaya disandang oleh ulama, sewajarnya tokoh pimpinan tersebut membuktikan kewibawaan ulama yang sebenar. Sangat tidak wajar kalau setakat mengisi kerusi tersebut untuk memenuhi syarat seorang ulama sedangkan penyandang tersebut tidak mampu meringankan beban Presiden.

Kalaulah jawatan Timbalan Presiden pada sesi depan berjaya disandang oleh bukan ulama, sewajarnya tokoh pimpinan tersebut membuktikan pencapaian kerja yang memberangsangkan dan penuh dengan keikhlasan memperjuangkan agama Islam dengan sebaiknya.

Saya adalah pendokong kepimpinan ulama. Tetapi saya tidak begitu ghairah ingin melihat ulama yang mentadbir keseluruhannya. Ini kerana kita memerlukan penglibatan menyeluruh tanpa melabelkan ulama atau tidak.

Bagaimana ahli jamaah ingin meletakkan keyakinan kepada ulama sedangkan dalam sejarah, ulama juga seringkali mengkhianati perjuangan. Tanpa perlu mendedahkan nama-nama mereka, pembaca tentu sekali sudah boleh menyenaraikan nama-nama tokoh ulama dalam PAS dan mengkhianati perjuangan Islam.

Untuk akhirnya, persoalan memilih kepimpinan disentuh secara langsung oleh tokoh ulama haraki yang masyhur iaitu Asy-Syeikh Abdullah Naseh 'Ulwan dalam kitabnya Silsilah Madrasah Ad-Duah melalui siri terakhir, kesalahan dalam organisasi. Antara tajuk perbincangan dalam siri ini ialah kesalahan memilih kepimpinan dan cadangan penyelesaiannya. Sila rujuk untuk menilai pandangan tokoh besar ini. Jika berkesempatan saya akan lanjutkan perbincaraan tentangnya nanti, InsyaAllah.

Sila baca artikel Ustaz Hasrizal Jamil :

1. Konsep Ulama Dan Kepimpinannya

2. Kepimpinan Ulama Di Bawah Suluhan Sejarah