Di Universiti Al-Azhar, Fakulti Bahasa Arab merupakan antara fakulti tersukar untuk mahasiswanya samada mahasiswa itu berbangsa Arab mahupun warga asing. Ramai yang kecundang kerana sukarnya menguasai pelajaran-pelajaran yang diperkenalkan dalam fakulti ini.
Saya mengambil cuti pada Ahad yang lalu untuk menguruskan pendaftaran Hafiz. Bertempat di Main Hall, Central Activities Centre, saya dapati ramai juga mahasiswa baru sedang mendaftarkan diri. Rakyat Malaysia kebanyakkannya dan tidak kurang warga asing.
Kesempatan ini, saya gunakan untuk lepaskan gian bercakap Arab dengan beberapa warga asing mahasiswa senior yang turut membantu rakan-rakan senegara mereka yang baru mendaftarkan diri. Ada yang berasal dari Palestin, dari Sudan dan ada juga dari Syria. Seronok juga kembali berbahasa Arab setelah meninggalkan bumi Mesir pada tahun 2003 dan bumi Syria pada tahun 2006. Rasa rindu untuk kembali menjejakkan kaki ke tanah Arab begitu menebal buat masa ini, khususnya Mesir dan Syria.
Perasaan ini turut dikongsi sama oleh Ummu Anwar. Rasa rindu kami berada di Husain begitu menebal. Teringin jugak menziarahi beberapa orang mahaguru kami yang berada di bumi Mesir. Rindu yang amat kepada Profesor Dr. Thol'aat 'Afifi (Dekan Fakulti Dakwah Al-Azhar), Profesor Nasr Farid Wasil (bekas Mufti Mesir), Profesor Dr. Husain Syehatah (Pakar Ekonomi) dan lain-lain.
Rindu juga kepada rakyat Mesir seperti Khaleed 'Auni, Kontraktor Mohammad Manyalawi, Ammu Nasir Firash, Kolonel Mohamad, Ammu Subhi dan lain-lain yang tak mampu dicatatkan namanya.
Di Syria, rindu kami kepada Profesor Dr. Mohammad Said Ramadhan Al-Buthi, Profesor Dr.Wahbah Az-Zuhayly, Asy-Syeikh Abdus Salam Syinnar dan lain-lain. Begitu juga ingatan yang tak pernah luput buat Al-Marhum Profesor Dr Mustafa al-Khan, Al-Marhum Asy-Syeikh Sodik Habannakah dan lain-lain mahaguru yang baru sahaja meninggal dunia.
Berada di kawasan kampus, mengembalikan nostalgia lama berada di Al-Azhar. Walaupun, infrastruktur Al-Azhar tidaklah sehebat UIAM. Tetapi suasana alam kampus tetap sama. Kalau dahulu, rasa cukup muak dan tertekan dengan sikap pegawai-pegawai syu'un (pejabat pentadbiran kuliah). Kini, perasaan tersebut telah bertukar kepada lucu dan menghiburkan.
Sementara menunggu Hafiz menyelesaikan urusan pendaftarannya, kami (saya, kak Nani dan adik perempuan - Maisarah) merencana rancangan sementara Hafiz menyelesaikan urusannya. Kami mengambil keputusan untuk ke Kuala Lumpur dan ke Plaza Low Yat tentunya. Maisarah bercadang untuk membeli sebuah laptop kegunaan peribadinya. Saya pun agak minat untuk meronda-ronda di Low Yat melihat dan meninjau peralatan komputer dan IT.
Maisarah angkat sebuah laptop HP Pavilion DV2. Kak Nani pula angkat sebuah Acer Aspire One D250 yang bersaiz 10.1". Agak menarik, harga pun boleh tahan di samping dengan gift yang cukup lumayan. Terima kasih buat adik Dollah yang begitu tekun melayani karenah kami.
Selesai saja urusan membeli laptop ni, kami terus merancang untuk menikmati hidangan makanan Arab di Restoran Rausyah (Jalan Damai, Ampang). Menu yang dipilih hanya satu hidangan yaitu nasi Mandi, satu hidangan Sya'af dan jus buah-buahan. Cukuplah untuk melepas rindu merasai makanan Arab. Walaupun hanya satu hidangan, tapi ia mencukupi untuk kami bertiga. Memang hidangannya untuk 3 orang Melayu. Tetapi kami semua amat kekenyangan menikmati hidangan Arab ala Lubnan ini.
Saya antara penggemar makanan Arab. Di Mesir, makanan kegemaran adalah Kabab (macam Sya'af di Syria), Hamam Masywi, Hamam Mahsyi, Nasi Kusyari, Syish Thowuk (ala Barat), Firakh Baniah,(ala Barat), Foul, Tho'miah (makanan rasmi sebelum kuliah atau selepas kuliah) dan lain-lain lagi. Kegemaran ini dikongsi sama dengan Ummu Anwar. Nampaknya, selera Ummu Anwar pun tak kurang hebatnya menjamah makanan Arab.
Sekilo kabab mampu dihabiskan oleh kami berdua. Memang lazat dan tidak memeningkan kepala seumpama makan kambing di Malaysia. Mungkin cara masakan menyebabkan ia sesuai di makan walaupun untuk seseorang yang mempunyai penyakit darah tinggi. Cuma ianya agak mahal dan tidak mampu untuk dinikmati selalu. Sebelum meninggalkan Mesir, harganya sekitar LE 35.00 sekilo. Begitu juga dengan Hamam. Bagi Hamam Masywi, harganya LE 10 dan Hamam Mahsyi LE 12 seekor.
Makanan yang agak menjimatkan di Mesir ialah Nasi Kusyari. Ia merupakan campuran nasi, makaroni, kacang dal, kacang kuda dan bawang goreng. Dihidangkan bersama cuka (air lada) dan berkuahkan sos tomota dan sambal cili. Hanya LE 1 sepinggan, kita akan dapat menikmatinya dengan penuh kepuasan. Kusyari adalah makanan kebanyakan pelajar Malaysia semasa musim peperiksaan, khususnya sebelum imtihan atau selepas selesai menjalani imtihan (sebelum balik ke rumah sewa atau asrama). Begitu juga dengan tho'miah atau falafil (di Syria). Dengan harga LE 0.50, tho'miah akan dinikmati oleh kita dengan begitu lazat. Foul juga tak kurang lazatnya jika di makan dengan isy baladi.
Ish, panjang pula cerita pasal makan.. Hanya gara-gara bertemu Arab, merasai nikmat alam kampus dan menikmati makanan Arab.
Benar sekali, kembara ilmu membuatkan kita terkenang kepada zaman yang lalu. Penuh kenangan yang mampu membuatkan kita mengukir senyuman ! Kekadangnya juga membuatkan kita tergumam menyesali kesilapan yang sukar ditebus !