Kembara Ilmu..Mengimbau Kenangan

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah buat adinda Hafiz kerana berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pengajian Bahasa Arab dan Kesusasteraan bukanlah satu bidang pengajian yang mudah. Pengajian ini memerlukan ketekunan dan kesungguhan. Kesungguhan menguasai Bahasa Arab dan kesusasteraannya amat besar manfaat untuk menguasai kitab-kitab Arab.

Di Universiti Al-Azhar, Fakulti Bahasa Arab merupakan antara fakulti tersukar untuk mahasiswanya samada mahasiswa itu berbangsa Arab mahupun warga asing. Ramai yang kecundang kerana sukarnya menguasai pelajaran-pelajaran yang diperkenalkan dalam fakulti ini.

Saya mengambil cuti pada Ahad yang lalu untuk menguruskan pendaftaran Hafiz. Bertempat di Main Hall, Central Activities Centre, saya dapati ramai juga mahasiswa baru sedang mendaftarkan diri. Rakyat Malaysia kebanyakkannya dan tidak kurang warga asing.

Kesempatan ini, saya gunakan untuk lepaskan gian bercakap Arab dengan beberapa warga asing mahasiswa senior yang turut membantu rakan-rakan senegara mereka yang baru mendaftarkan diri. Ada yang berasal dari Palestin, dari Sudan dan ada juga dari Syria. Seronok juga kembali berbahasa Arab setelah meninggalkan bumi Mesir pada tahun 2003 dan bumi Syria pada tahun 2006. Rasa rindu untuk kembali menjejakkan kaki ke tanah Arab begitu menebal buat masa ini, khususnya Mesir dan Syria.

Perasaan ini turut dikongsi sama oleh Ummu Anwar. Rasa rindu kami berada di Husain begitu menebal. Teringin jugak menziarahi beberapa orang mahaguru kami yang berada di bumi Mesir. Rindu yang amat kepada Profesor Dr. Thol'aat 'Afifi (Dekan Fakulti Dakwah Al-Azhar), Profesor Nasr Farid Wasil (bekas Mufti Mesir), Profesor Dr. Husain Syehatah (Pakar Ekonomi) dan lain-lain.

Rindu juga kepada rakyat Mesir seperti Khaleed 'Auni, Kontraktor Mohammad Manyalawi, Ammu Nasir Firash, Kolonel Mohamad, Ammu Subhi dan lain-lain yang tak mampu dicatatkan namanya.

Di Syria, rindu kami kepada Profesor Dr. Mohammad Said Ramadhan Al-Buthi, Profesor Dr.Wahbah Az-Zuhayly, Asy-Syeikh Abdus Salam Syinnar dan lain-lain. Begitu juga ingatan yang tak pernah luput buat Al-Marhum Profesor Dr Mustafa al-Khan, Al-Marhum Asy-Syeikh Sodik Habannakah dan lain-lain mahaguru yang baru sahaja meninggal dunia.

Berada di kawasan kampus, mengembalikan nostalgia lama berada di Al-Azhar. Walaupun, infrastruktur Al-Azhar tidaklah sehebat UIAM. Tetapi suasana alam kampus tetap sama. Kalau dahulu, rasa cukup muak dan tertekan dengan sikap pegawai-pegawai syu'un (pejabat pentadbiran kuliah). Kini, perasaan tersebut telah bertukar kepada lucu dan menghiburkan.

Sementara menunggu Hafiz menyelesaikan urusan pendaftarannya, kami (saya, kak Nani dan adik perempuan - Maisarah) merencana rancangan sementara Hafiz menyelesaikan urusannya. Kami mengambil keputusan untuk ke Kuala Lumpur dan ke Plaza Low Yat tentunya. Maisarah bercadang untuk membeli sebuah laptop kegunaan peribadinya. Saya pun agak minat untuk meronda-ronda di Low Yat melihat dan meninjau peralatan komputer dan IT.

Maisarah angkat sebuah laptop HP Pavilion DV2. Kak Nani pula angkat sebuah Acer Aspire One D250 yang bersaiz 10.1". Agak menarik, harga pun boleh tahan di samping dengan gift yang cukup lumayan. Terima kasih buat adik Dollah yang begitu tekun melayani karenah kami.

Selesai saja urusan membeli laptop ni, kami terus merancang untuk menikmati hidangan makanan Arab di Restoran Rausyah (Jalan Damai, Ampang). Menu yang dipilih hanya satu hidangan yaitu nasi Mandi, satu hidangan Sya'af dan jus buah-buahan. Cukuplah untuk melepas rindu merasai makanan Arab. Walaupun hanya satu hidangan, tapi ia mencukupi untuk kami bertiga. Memang hidangannya untuk 3 orang Melayu. Tetapi kami semua amat kekenyangan menikmati hidangan Arab ala Lubnan ini.

Mat'am Al-Rawsha

Hidangan Nasi Mandi seperti di Restoran Rausyah

Hidangan Nasi Mandi di Syria

Saya antara penggemar makanan Arab. Di Mesir, makanan kegemaran adalah Kabab (macam Sya'af di Syria), Hamam Masywi, Hamam Mahsyi, Nasi Kusyari, Syish Thowuk (ala Barat), Firakh Baniah,(ala Barat), Foul, Tho'miah (makanan rasmi sebelum kuliah atau selepas kuliah) dan lain-lain lagi. Kegemaran ini dikongsi sama dengan Ummu Anwar. Nampaknya, selera Ummu Anwar pun tak kurang hebatnya menjamah makanan Arab.

Sekilo kabab mampu dihabiskan oleh kami berdua. Memang lazat dan tidak memeningkan kepala seumpama makan kambing di Malaysia. Mungkin cara masakan menyebabkan ia sesuai di makan walaupun untuk seseorang yang mempunyai penyakit darah tinggi. Cuma ianya agak mahal dan tidak mampu untuk dinikmati selalu. Sebelum meninggalkan Mesir, harganya sekitar LE 35.00 sekilo. Begitu juga dengan Hamam. Bagi Hamam Masywi, harganya LE 10 dan Hamam Mahsyi LE 12 seekor.

Kabab

Kabab ialah potongan daging kambing yang dibakar. Ia dimakan dengan tuhainah atau baba ghonoush (بابا غنوج). Tidak sesuai dimakan dengan menggunakan sos cili. Biasanya dimakan bersama dengan 'Ish Baladi (Roti seperti roti tempayan di tempat kita). Di Syria, ia seakan sama jugak tapi dikenali dengan sya'af. Harganya lebih mahal kalau nak dibandingkan dengan Mesir. Sekitar LS 500. Jarang benar dapat merasai Sya'af ini. Rasanya pun sedap dan setanding dengan Kabab Mesir.

Kuftah ialah daging kisar atau hancur yang dikepal-kepal hingga melekat dan dipanggang. Biasanya daging yang digunakan juga daging kambing. Kebiasaan hidangan, ialah mencampurkan kuftah dan kabab. Tetapi jika saya diberi pilihan, saya hanya mahukan kabab berbanding dengan kuftah.
Kuftah

Hamam Masywi pula ialah merpati panggang. Manakala Hamam Mahsyi ialah merpati yang disumbat nasi di dalamnya. Saya dan Ummu Anwar lebih menggemari yang Masywi. Dimakan pula dengan sup. Ia amat menyelerakan.

Hamam Masywi

Hamam Mahsyi

Makanan yang agak menjimatkan di Mesir ialah Nasi Kusyari. Ia merupakan campuran nasi, makaroni, kacang dal, kacang kuda dan bawang goreng. Dihidangkan bersama cuka (air lada) dan berkuahkan sos tomota dan sambal cili. Hanya LE 1 sepinggan, kita akan dapat menikmatinya dengan penuh kepuasan. Kusyari adalah makanan kebanyakan pelajar Malaysia semasa musim peperiksaan, khususnya sebelum imtihan atau selepas selesai menjalani imtihan (sebelum balik ke rumah sewa atau asrama). Begitu juga dengan tho'miah atau falafil (di Syria). Dengan harga LE 0.50, tho'miah akan dinikmati oleh kita dengan begitu lazat. Foul juga tak kurang lazatnya jika di makan dengan isy baladi.

Tho'miah atau Falafil

Foul

Ish, panjang pula cerita pasal makan.. Hanya gara-gara bertemu Arab, merasai nikmat alam kampus dan menikmati makanan Arab.

Benar sekali, kembara ilmu membuatkan kita terkenang kepada zaman yang lalu. Penuh kenangan yang mampu membuatkan kita mengukir senyuman ! Kekadangnya juga membuatkan kita tergumam menyesali kesilapan yang sukar ditebus !

4 comments:

  • menarik makanan kt dlm gmbr tue,
    kawan yg rekemen-kn sy blog nih, die bg sy tgk gmbr mknn kt cnie elok2 je time sy tgh cari kelainan dalam menu makanan harian sy.
    terliur gk tgk menu yg ade tu..

    Sepertinya mknn itu mudah didapati di Malaysia yea skrg?
    lau ustaz boleh letakkn harga utk stiap hidangan n alamat restoran tu pn elok jgk,
    leh kami p tinjau2 n cuba makanan kt cna nanti..

    regards,
    wan siti

  • Makanan Arab ni sebenarnya dah agak mudah didapati di Malaysia. Rawsha berada di alamat 78, Jalan Damai, Ampang.

    Harga makanan kat situ saya tak tahulah semuanya. Cubalah dulu pergi dan lihat katalognya. Cuma yang saya masih ingat, kalau Nasi Mandi Kambing satu hidangan harganya RM22. Nasi Mandi Ayam satu hidangan harganya RM17. Shawarma Ayam RM5. Kambing panggang (kabab) untuk satu hidangan RM 16. Air minuman agak mahal. Biasanya jusnya sahaja RM10 ke atas.

  • huih, makanan....

    selamat tak ambik gambar kat Low Yatt......

    hihihiih...

    putih mata tgk laptop terkini....

  • kalau lebih jimat ...sila ke restoren arab di gombak...pemiliknya bekas pelajar malaysia di Syria...