Berkuliah Kembali Setelah 50 Hari Tertangguh

Sudah agak lama saya bercuti dari melaksanakan tugasan berkuliah di masjid dan surau-surau. Serasanya sudah hampir 50 hari tidak aktif mengajar kerana pelbagai urusan dan halangan. Walaupun sesekalinya mungkin sebagai alasan. Astaghfirullah ! Dalam tempoh ini ada juga sekali dua saya sempat juga berkuliah di sesetengah tempat.

InsyaAllah esok secara rasminya setelah 50 hari bercuti, saya akan memulakan tugasan ini dengan menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Tengku Mizan. Pada asalnya, jadual hari Ahad ini saya ke Surau Ketengah Jaya. Tapi pihak Jawatankuasa Masjid Tengku Mizan memohon agar saya mengambil jadual Kuliah Maghrib pada setiap Ahad. Setelah berbincang dengan Ummu Anwar, rasanya berbaloi juga untuk saya terima kerana boleh pulang ke Kuala Terengganu pada petang hari Khamis atau malamnya. Di Masjid Tengku Mizan, asalnya saya berkuliah pada setiap pagi Jumaat. Alhamdulillah.

Saya terus hubungi Cikgu Wahid untuk buat percubaan menukar jadual kuliah dari hari Ahad ke hari Selasa. Alhamdulillah, pihak jamaah surau bersetuju.

Jadual baru untuk kali ini, akan bermula pada Ahad ini di Masjid Tengku Mizan. Pengajian di masjid ini ialah kitab hadis hukum Bulughul Magham karangan Ibnu Hajar Al-'Asqolani. Disusuli dengan sesi soal jawab agama dari kalangan ahli jamaah. Sebelumnya saya tidak membuka kerana jarang sangat dapat soalan daripada ahli jamaah. Tapi dalam pengajian sebelum ini, saya diminta untuk membuka ruang persoalan. InsyaAllah saya amat berminat dengan cadangan ini.

Untuk hari Isnin, saya akan teruskan jadual asal di Surau Feri Kemasik. Pengajian yang dilaksanakan di surau ini ialah Tafsir Al-Quran, kini perbahasan pada Surah Al-Ahzab. Di surau ini agak seronok juga, kerana ahli jamaahnya ramai dan ramai jugak yang membawa kitab bersama-sama untuk menadah. Sesi soal jawab agama juga diselitkan. Biasanya di surau ini saya agak lewat hentikan kuliah. Paling biasa 20 minit selepas masuk waktu Isyak.

Selasa, pada asalnya di Surau Taman Selasih, kini saya telah pindahkan jadualnya ke Surau Ketengah Jaya. Untuk ahli jamaah Surau Taman Selasih, InsyaAllah saya akan carikan jadual baru di situ memandangkan surau ini agak suram dengan ahli jamaah dan suram juga kehadiran ustaz-ustaz tenaga pengajar. Saya akan memperuntukkan kembali, InsyaAllah. Di Surau Ketengah Jaya, ahli jamaahnya terdiri di kalangan kumpulan masyarakat yang berpendidikan tinggi. Rata-ratanya merupakan kakitangan MPOB, guru-guru, ahli perniagaan dan sebagainya. Di sini agak mencabar juga proses mengajarnya. Tapi saya cukup berpuas hati mengajar di sini kerana mereka boleh dibentangkan dengan pendekatan yang lebih ilmiah. Pengajian di sini, juga Tafsir Al-Quran. Kini perbincangan telah memasuki Surah At-Taubah.

Usai sahaja majlis di Surau Ketengah Jaya, saya perlu bergegas turun ke Paka untuk meneruskan Kuliah Haraki yang telah lama dilaksanakan di Markaz Kg. Cacar. Walaupun bilangan kehadiran tidaklah terlalu ramai, tapi saya menghormati kesungguhan wakilnya Abang Khalid yang sentiasa follow up kehadiran saya ke sana. InsyaAllah saya tidak akan sia-siakan harapan tersebut.

Rabu, pengajian di teruskan di Balai Islam TNB Paka. Di sini juga seronok kerana masing-masing menaruh minat yang tinggi untuk mempelajari ilmu. Saya menyampaikan kuliah hadis Riadhus Solihin pada Bab Taubat.

Khamis, saya gilirkan antara Surau Taman Murni Perdana (Paka), Surau Blok 9 di Kerteh I dan program tarbiyah jamaah. Di Surau Taman Murni Perdana saya gunakan kitab Mastika Hadis untuk perkongsian dan di Surau Blok 9 saya gunakan Sirah Nabawiah sebagai asas perbincangan.

Jumaat dan Sabtu, saya khaskan untuk jemputan khususnya di kawasan Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Juga untuk kawasan Dungun dan Kemaman.

Kalau pun ingin melakukan perkongsian, saya hanya ingin membuat perkongsian terhadap masa untuk muzakarah dan membuat rujukan. Mutakhir ini, kalau dapat 2 jam untuk membaca sudah dikira baiklah berbanding dengan dulu. Masa membaca begitu banyak dan lumayan. Tapi kebiasaannya dapat satu jam pun dah cukup baik untuk membaca. Itupun bukan dengan sepenuh tumpuan.

Jika, artikel ini dibaca oleh adik-adik yang masih menuntut di Universiti Al-Azhar dan lain-lainnya, manfaatkanlah masa dengan membaca muzakarah ilmu. Berada di medan juang di Malaysia akan menyebabkan kita menyesal tanpa kesudahan.

0 comments: