Kerajaan Perpaduan : Siapa Yang Bercelaru


Saya tertarik dengan satu penulisan yang dihasilkan oleh Ibnu Zack. Agak bagus sebenarnya untuk diteliti.. Tahniah Ibnu Zack... Ikuti perbincangan berikut !


Assalamu'alaykum..


Kalaulah mahu dihitung kezaliman BN kepada seluruh rakyat Malaysia, barangkali tidak ada kalkulator yang mampu menjumlahkannya. Semua orang sedar hakikat itu. Seorang saudara saya mengalami sakit jiwa apabila bapanya dimasukkan ke dalam tahanan tanpa bicara atas sebab yang tidak pernah dibuktikan hingga ke saat ini. Duit yang sepatutnya diguna untuk membangunkan negeri saya, dirampas atas nama ehsan dan tidak pernah dipulang hingga ke hari ini. Kesan kekasaran FRU pula mengekalkan kesan di badan saya selama beberapa hari.

Pendek kata, cukup banyak.

Jesteru itu memang saya membenci BN. Parti ini berada di tempat ke 3 selepas Zionis dan Amerika pada kebencian saya. Jesteru, jangan ada sesiapa yang gatal mulut menyebut tentang perpaduan dengan mereka ini. Jangan ada sesiapa yang cuba menjadi najis dan memperdekatkan kita dan mereka ini. Mereka tidak layak diperdekat, dan mereka tidak layak disalami sedang tangan mereka masih berbau darah Memali.

Namun apabila Tuhan menyebut "Wa ta'a wanuu 'alal birri wat taqwaa" iaitu "Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebajikan dan taqwa" dan "Wala Yajrimannakum syana aanu Qaumin 'alaa alla ta'dilu" bermaksud "Janganlah kerana kebencian kamu kepada sesuatu kaum, menyebabkan kamu berlaku tidak adil kepada mereka" (Al-Maidah), maka tolong bagitahu saya bagaimana saya nak melawan Tuhan dalam perkara ini? Saya tidak reti dan tidak diajar bagaimana. Saya bertalaqqi beberapa kitab dan membaca beberapa yang lainnya, bermula Fiqh Auliyyat dan berakhir Mafahim Yajibu An-Tusohhah (belum habis), saya tidak jumpa satu mukasuratpun untuk bagaimana saya boleh melawan Tuhan dan Tuhan redha akan perbuatan saya itu. Saya tidak jumpa.

Disebabkan saya tidak reti melawan itulah barangkali Dewan Muslimat tidak mendesak JAKIM untuk menyiasat dan mengharamkan saya jika terbukti bersalah sepertimana yang diusul mereka kepada sebuah pertubuhan feminis-liberal. Ya, barangkalilah..

Apa yang membezakan ahli jemaah Islam dan jemaah biasa adalah kita tidak pernah diajar untuk meletakkan emosi kita mengatasi iman dan fikiran kita dan akhirnya memandu perbuatan kita. Kita diajar untuk menjadikan iman menguasai fikiran dan fikiran itu menguasai perbuatan kita. Meletakkan emosi dan amarah hanya mengakibatkan wujudnya ketidak rasionalan dalam pendapat dan tindakan kita.

Benar mereka pernah zalim kepada kita ketika mereka kuat. Mereka pernah enggan berunding dengan kita tatkala kita lemah dan tiada daya. Tetapi jika kita yang kuat pada hari ini enggan berunding dan menyelamatkan mereka yang sudah lemah daripada terus hanyut dengan dunia mereka dan kemudiannya akan memusnahkan negara, maka kita bukan sudah sama dengan mereka.... tapi kita adalah mereka!

Ada orang menulis menolak 'unity government' ini dengan kejadian 1977 dan dalil 'Orang mukmin itu tidak akan dipatuk ular 2 kali di lubang yang sama'. Namun, unity government terlalu berbeza dengan coalition government yang dibentuk 35 tahun lalu. Ia diperjelaskan sendiri oleh Dato Tuan Ibrahim Tuan Man di blognya dan ditambah syarat-syarat pembentukannya oleh Tuan Guru beberapa detik tadi.


Antara Kerajaan Perpaduan dan Projek 16 September

Lantas pastinya sesetengah akan mempersoalkan, mengapa terlalu lambat mengeluarkan syarat dan kenyataan? Mengapa ditunggu sehingga retak jemaah baru membetulkan keadaan?

Saya masih merasai gegaran 16 September tahun lepas. Sepertimana Unity Government, 16 September juga berkongsi matlamat serupa; membetul dan memandu negara ke arah yang sempurna.

Saat itu pernahkah kita didedahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan strategi pembentukannya, syarat-syarat (tawaran) kemasukan ahli lompatnya, kedudukan ahli lompat dalam kabinetnya hatta siapakah Timbalannya?!. Tidak ada.

Kenapa?

Kerana politik adalah seni serba mungkin. Politik adalah seni menggoda. Politik juga adalah seni perang. Tidak ada jeneral yang memberitahu strateginya kepada para tentera tatkala telinga musuh tertadah di sebelah. Itu jeneral tak mumayyiz namanya.

Apabila DSAI mengumumkan 16 September, tidak ada seorang pun antara kita yang menganggap itu cubaannya yang mahukan kuasa walaupun umum tahu dia akan jadi PM jika PR memerintah. Tetapi apabila Tuan Guru Presiden menggagaskan 'Unity Government' kita anggap dia nyanyuk dan gila kuasa padahal kita tak tahupun kalau jadi pelan itu Tuan Guru akan jadi siapa.

Apabila DSAI berahsia tentang strategi 16 Septembernya, kita anggap itu taktik dan tindakan politik matang. Apabila Tuan Guru berahsia tentang strateginya, kita anggap dia pembohong, lembap dan patut diludah mukanya.

Begitu juga apabila tarikh itu berlalu, DSAI semakin tidak menyebut tentang 16 September. Dan kita mentaatinya dengan tidak berbicara lagi tentangnya kerana kita tahu itu bisa menggugat perpaduan antara parti komponen dalam PR. Kita sanggup bertindak lebih jauh dengan membelasah siapa juga yang cuba mempertikaikan kejayaan 16 september walaupun semua orang tahu tokoh itu betul dalam tekaan politiknya. Tetapi apabila Dato Mustafa Ali meminta kita jangan mempolemikkan 'Unity Government' kkerana ia mengocak keamanan dalam parti, kita anggap dia cuba menutup pelan busuknya. Walhal rayuan tokoh ini selari dengan kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah di blog suaminya.

Kenapa kita husnuzzon (sangka baik) pada tokoh luar dan syirruzzon (sangka buruk) pada tokoh sendiri?

Saya tidak marah atau tersinggung bilamana kita semua mentaati dan menyanjung DSAI sebegitu rupa; kerana saya adalah salah seorang dari kelompok itu juga. Saya mengkaguminya sebermula gelaran TPM melekat di dadanya.

Tetapi saya pelik dan jijik bilamana kita sanggup menumpahkan taat setia seorang pemimpin yang berada di luar jemaah tetapi dalam masa yang sama kita memijak dan menyepak kepala pemimpin jemaah kita sendiri sampai lunyai!

Saya tidak harap kita mampu jadi seperti sahabat Nabi, yang mana mereka tidak mempersoalkan tindakan baginda sebaliknya sentiasa menyebutkan "Allah dan Rasulnya lebih tahu". Saya tidak mampu harap ketaaatan sebegitu. Mimpi sahaja. Kerana Rasulullah jauh lebih indah daripada Tuan Guru dan kita jauh lebih hina dari tapak kaki para sahabat. Tetapi bukankah Allah menyebutkan; "Laqod kaana fi qososihim 'ibratun li ulil albab"? (Sesungguhnya dalam kisah-kisah mereka itu ada pengajaran bagi orang yang berakal).

Tidak adakah sedikitpun pelajaran daripada kisah itu kepada kita yang dikurniakan akal ini?

Percayalah bahawa Islam itu tertegak melalui jemaah. Jemaah itu tidak boleh wujud tanpa bai'ah (sumpah setia). Bai'ah tidak ada nilai tanpa wala' (ketaatan). Wala' tidak boleh terbina tanpa thiqah (kepercayaan). Dan thiqah tidak boleh hidup tanpa sabar.

Yaa ayyuhal laziina aamanusta'iinu bissobri wassolah.

(Wahai orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu)


Hati-Hati dengan 'Akhbar Online'

Saya sempat hadir dalam Muktamar Tahunan PAS pada 2 hari terakhir. Hari pertama (Jumaat), saya tidak hadir atas sebab tugas.

Dalam ucapan dasar Presiden no 8, jelas disebutkan bahawa agenda PAS adalah memperkukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan seterusnya PAS mempunyai sikap terbuka untuk bertemu sesiapa sahaja demi kepentingan Islam dan rakyat negara ini. Pendirian yang sama diulang lagi dalam ucapan penutup. Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa kemudiannya mempertegaskan pula pendirian itu dengan kenyataan bahawa 'tidak ada niat untuk membawa PAS bersama UMNO'.

Saya fikir kenyataan ini sudah jelas. Saya tidak kisah bilamana ada media perdana masih dungu melaporkan 'Hadi mahu bergabung dengan UMNO'. Sebab itu memang kerja mereka. Tetapi apabila media alternatif memainkan isu serupa maka saya cukup kilan.

Kerana media ini dipercayai oleh teman-teman kita. Akhirnya wujudlah statement kebudak-budakan seperti "PAS mahu main kahwin-kahwin dengan UMNO" atau "PAS seperti anak dara yang merelakan diri dirogol mat-mat rempit bernama UMNO". Peliknya apabila PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR demi kebaikan dan keadilan, tidak pula wujud statement "PAS seperti anak dara yang menyerahkan daranya kepada anak teruna" atau apabila ABIM cuba menyatukan PAS dan UMNO pada zaman Almarhum Us Fadhil Noor dahulu, tidak juga dikata "ABIM umpama bapak ayam yang cuba menjual anak dara kepada mat rempit!"

Ini sedang berlaku. Dan bayangkan jika amarah dan emosi yang dijana hasil laporan songsang media yang selama ini kita anggap kawan merebak, bukankah saat itu pecah belah bahtera yang kita layari sekarang?

Begitu juga apabila media sama melaporkan kononnya 3 naib Presiden menolak cadangan Presiden. Sedangkan hakikatnya Tuan Ibrahim cukup terbuka dan bersama Presiden dalam hal ini.

Hal sama juga berlaku bilamana mereka 'tiba-tiba' menjadi condong kepada Datuk Paduka Husam Musa dengan mempertikaikan perlantikan Ustaz Nasharuddin sebagai Timbalan Presiden dengan alasan beliau tiada sokongan majoriti (Lebih 50%). Tetapi apabila 52% tidak turun mengundi di Penanti, tidak ada pula yang gatal-gatal mengandaikan 52% itu bersama BN memboikot PRK.

Bukankah sama dengan perangai Utusan Malaysia yang 'tiba-tiba' condong kepada Us Nasharuddin?

Jesteru kenapa hal ini berlaku?

Ahh.. jika wujud kerja-kerja bodoh dalam PAS, tidak mustahil kerja-kerja bodoh tidak wujud dalam pihak lain.

Saya tidak mengatakan kita harus boikot akhbar-akhbar ini. Tapi saya kira kita wajar menganalisis dan merasionalkan pemikiran dengan mengambil kira sepenuhnya sumber parti yang asas (Harakah) agar tidak mudah musuh memecah belahkan kita. Seimbangkan pembacaan dan teguhkan konsep tarbiyyah yang kita terima.

Kerana perjuangan ini penuh liku dan sukar. Tidak ada kesenangan. Percayalah kerana Nabi sendiri menyebutkan bahawa 'Akan datang suatu zaman di mana umatku memegang agamanya sepertimana dia memegang bara api'

Rabbanaftah bainana wa baina qaumina bil haq. Wa anta khairul Faatihiiin.

Ya Allah Tuhan kami, bukakan antara kami dan antara kaum kami dengan kebenaran. Kerana Engkau sebaik-baik pembuka.

Ameen

iBNuZaCK: Dan Allah Maha Mengetahui.

Sumber : http://ibnuzack.blogspot.com/

0 comments: