Tamatkan Isu Kerajaan Perpaduan...Keresahan Ahli PAS Membarah

Artikel saya yang bertajuk Kerajaan Perpaduan Jalannya Sukar, Usahlah Bertelagah ditulis sebelum menunaikan solat Fardhu Jumaat pada hari ini. Satu sudut, saya berusaha untuk memahami gagasan Dato' Seri Tuan Guru Presiden. Dalam masa yang sama, tentunya berusaha untuk menyelami bantahan tegas Dato' Tuan Guru Mursyidul Am PAS. Masing-masing berpaksikan dengan matlamat yang jelas, iaitu ingin memastikan kesejahteraan ummah. Dato' Tuan Guru Mursyidul Am amat betah dalam mendepani kezaliman Umno di Kelantan. Apatah lagi dalam isu kerakusan mereka merampas kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak. Semua maklum kezaliman dan kedurjanaan ini. Justeru, Dato' Tuan Guru Mursyidul Am amat membantah jika ada usaha-usaha seperti Kerajaan Perpaduan.

Sebenarnya, bukan sahaja Dato' Tuan Guru Mursyidul Am yang resah, malahan semua ahli bawahan dan pimpinan PAS resah menantikan kesudahan isu ini. Hari ini, usai sahaja menunaikan Solat Jumaat di Masjid Tengku Mizan, saya dipanggil oleh beberapa orang anggota jamaah (orang lama) yang inginkan penjelasan tentang isu ini. Sekadar kemampuan, saya cuba jelaskan ia adalah mainan media. Dalam muktamar, Dato' Seri Tuan Guru Presiden tidak menyentuh pun berkenaan dengan Kerajaan Perpaduan. Yang disentuh ialah sikap PAS yang sentiasa terbuka untuk pertemuan dan perbincangan kerana ia adalah dasar Islam.

Media yang mewakili Umno telah memainkan isu ini untuk meretakkan rumahtangga Pakatan Rakyat yang boleh mengancam hayat pemerintahan mereka. Disebabkan itulah, masing-masing di kalangan kepimpinan Umno begitu lunak memberikan reaksi positif terhadap cadangan Kerajaan Perpaduan. Walaupun, Dato' Seri Tuan Guru Presiden telah menutup fail perbincangan ini.

Atas permintaan ahli kebanyakan, masing-masing menuntut supaya Dato' Seri Tuan Guru Presiden sendiri yang mengeluarkan kenyataan dan menutup isu ini dengan memberikan fokus Islam Memimpin Perubahan dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Ya ! Saya juga setuju dengan tindakan ini berbanding dengan menyepikan diri tanpa sebarang kenyataan yang konkrit untuk diterima ahli.

Pun begitu, ramai yang kecewa dengan forumer-forumer yang berkeliaran di seluruh blog-blog utama hari ini, kata-kata yang biadab ditujukan kepada kedua-dua Tuan Guru. Bagi yang menyokong Dato' Seri Tuan Guru Presiden, mereka akan menghentam Dato' Tuan Guru Mursyidul Am. Manakala bagi penyokong Dato' Tuan Guru Mursyidul Am, mereka akan menghentam Dato' Seri Tuan Guru Presiden.

Dahsyatnya ujian PAS kali ini. Tapi yakinlah, jalan keluar pasti akan ditemui dalam temoh terdekat. Ahli PAS wajar meletakkan nilai thiqah (kepercayaan) yang tinggi kepada pucuk kepimpinan parti untuk menyelesaikan permasalahan ini.

Yakinlah, mereka tidak akan khianati amanah parti dan jamaah. Sedaya upaya mereka akan gemblengkan kekuatan untuk memartabatkan agama Islam.

Keresahan ahli boleh diubati dengan memberikan thiqah kepada kepimpinan dan kepimpinan juga wajar memartabatkan kembali thiqah ahli untuk mereka.

0 comments: