Kerajaan Perpaduan Jalannya Sukar, Usahlah Bertelagah


Selesai sahaja muktamar, isu yang hangat dimainkan oleh media ialah isu berkenaan dengan Unity Government/Kerajaan Perpaduan. Isu besar ini dikemukakan oleh Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS.

Gagasannya cukup mudah untuk diterima tetapi terlalu sukar untuk dilaksanakan. Apatah lagi untuk melalui sesi-sesi perundingan dengan pemimpin-pemimpin Umno yang sangat dahsyat terpalit dengan pelbagai kerosakan.

Saya cukup hairan apabila berlaku ketegangan antara kedua tokoh kepimpinan utama PAS. Tuan Guru Presiden kemukakan cadangan Unity Government dan Tuan Guru Mursyidul Am tegas membantah. Barangkali, maklumat antara kepimpinan parti yang tidak sampai secara jelas kepada Tuan Guru Mursyidul Am. Lewat dalam isu muzakarah - muqabalah, Dato' Tuan Guru Mursyidul Am juga keras membantah. Tapi berjaya menerimanya setelah kunjungan Timbalan Mursyidul Am dan Presiden ke Kota Bharu. Mungkin hal inilah juga yang menjadi isunya pada kali ini.

Pada saya, kedua-duanya sayangkan PAS dan inginkan kesejahteraan rakyat. Suasana semasa yang berlaku pada hari ini, memerlukan satu tindakan bersepadu untuk mengembalikan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Salah satu cara yang difikirkan perlu menurut pandangnan Dato' Seri Tuan Guru Presiden ialah mewujudkan Unity Government. Ia bukan Coalition Government (Kerajaan Campuran) seumpama sejarah dalam Perikatan dahulu dan ia bukannya Front National seperti yang diamalkan sekarang. Dato' Seri Tuan Guru Presiden pernah menjelaskan, "Unity Government ini adalah Kerajaan Perpaduan yang melibatkan semua parti politik dan tidak ada pembangkang langsung. Semua parti duduk dalam kerajaan dan semua parti ini ada identiti, ada syakhsiyyah, ada kepelbagaian dan dia (parti) berhak untuk membangkang di mana 'Unity Government' ini membolehkan orang dalam Umno sendiri bangkang kerajaan".

Malahan beliau pernah memperincikan hasrat ini di Dewan Parlimen dengan kenyataan berikut : "Pendekatan dalam mewujudkan perpaduan ini mestilah memenuhi segala ciri dan sifat fitrah naluri yang ada dalam diri manusia itu sendiri. Manusia bukan sahaja boleh disatukan sebagaimana menyatukan batu-bata dalam mendirikan bangunan, kayu yang mendirikan perabot tidak boleh disatukan begitu sahaja kerana manusia bukan sahaja jasad, mereka mempunyai hati perut dan perasaan. Dengan sebab itu pendekatan yang perlu diambil dalam mewujudkan perpaduan mestilah merangkumi segala aspek yang ada dalam naluri kejadian manusia itu sendiri".

Walaupun gagasannya baik tapi jalan untuk menuju ke arahnya amat sukar. Jadi buat masa ini, perkukuhkanlah dahulu Pakatan Rakyat. Dalam masa yang sama, elakkan polemik ini berterusan. Undurkanlah diri dari mengeluarkan kenyataan kepada pihak media agar suasana jamaah kembali lunak.

Ramai yang tidak selesa dengan perkembangan ini. Ramai yang hilang semangat disebabkan isu ini. Justeru hilangkanlah mudarat ini dengan mengukuhkan kembali saf perjuangan jamaah dan seterusnya memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Alhamdulillah, tindakan ini telahpun dibuat dengan kenyataan Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan medianya setelah berlangsungnya mesyuarat kepimpinan utama Pakatan Rakyat [lihat] dan kenyataan Dato' Mustafa Ali agar tidak ada lagi kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pihak.

Demi menjaga keharmonian jamaah, saranan tersebut wajar disahut dan dipegang kejap oleh semua pimpinan PAS.

Kukuhkanlah perpaduan sesama anggota jamaah terlebih dahulu sebagai fokus.

Usahlah bertelingkah..


0 comments: