Belasungkawa Al-Akh Khairul Azhar Kamaruddin


Jam 7.30 malam semalam saya menerima sms daripada Wanar (Wan Ahmad Rashidi-KL) yang memaklumkan tentang rakan saya Ustaz Khairul Azhar Kamaruddin (N9) berada dalam keadaan kritikal kerana demam denggi. Disusuli pada waktu itu dengan sms dari Halim Othman (Kedah-KL) memaklumkan perkara yang sama. Kami dipohon untuk doakan kesejateraan beliau. Saya menaruh harapan, InsyaAllah Ustaz Khairul Azhar akan sembuh.

Makin mengejutkan, jam 11.39 malam, Ustaz Ilias Ahmad (Pok Su Li) telefon dan menyampaikan berita sedih ini. Berita kematian Ustaz Khairul Azhar begitu menyedihkan. Pun begitu, untungnya beliau meninggal dunia pada waktu yang masih muda ini dan berada pula dalam landasan perjuangan dan dakwah Islam.

Kematian beliau difahamkan pada jam 11.20 malam. Ertinya Ustaz Ilias mendapat maklum balas yang awal. Wanar juga mengiringi maklumat tersebut dengan sms.

Ustaz Khairul Azhar merupakan salah seorang Anggota Lembaga Penasihat PMRAM ketika saya memimpin PMRAM suatu ketika dahulu. Beliau seorang yang tegas dan berdisiplin. Perkenalan dengan beliau seawal saya tiba di Mesir. Waktu itu beliau salah seorang Anggota Badan Pengurus PMRAM. Hubungan yang erat makin terjalin ketika saya menjadi YDP Keluarga Penuntut Terengganu dan beliau pula menjadi YDP Badan Kebajikan Anak Negeri Sembilan di Mesir. Sebagai orang lama, banyak perkara yang saya pelajari daripada beliau.

Sayangnya, semenjak beliau pulang ke tanahair, saya hanya sempat bertemu sekali sahaja. Tidak sempat bercerita panjang dan tidak sempat berkongsi khabar berita.

Di laman-lama web PMRAM, ILMAM, Tranungkite ada memaklumkan tentang kematian Al-Marhum. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Al-Marhum dan menempatkan diri beliau di kalangan orang-orang yang soleh.

Belasungkawa Dr.Hasan Al-Huwaidi


Setelah sebulan saya tidak jenguk internet dan update Blog Rantau, banyak isu dan perkembangan berita agak terabai. Bila dapat peluang online, maklumat telah jauh meninggalkan kita. Rasa amat rugi dengan situasi ini. Justeru, pada saya seorang pendakwah tidak boleh terlalu lama tidak jenguk internet. Keperluan ini cukup penting untuk mengisi diri kita dengan maklumat dan perkembangan semasa. Tentunya ia menuntut pandangan pada sisi agama untuk dicorakkan kepada diri sendiri dan juga masyarakat.

Setelah mengikuti berita, saya agak terkejut dan sedih dengan pemergian seorang tokoh gerakan Ikhwan Al-Muslimin, Dr. Hasan Al-Huwaidi yang meninggal dunia pada 13 Mac 2009 (waktu Subuh pagi Jumaat) di Amman, Jordan.


Pemergian tokoh hebat ini merupakan kehilangan besar buat dakwah dan perjuangan Islam. Beliau merupakan bekas Muraqib Am Jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimun Syria dan juga menjadi Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimun bagi urusan luar negeri.

Menurut Muraqib Am Jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimun Syria, Ali Shodruddin Al-Bayanuni, saya menyanjung tinggi Dr. Al-Huwaidi sebagai salah seorang tokoh awal gerakan Al-Ikhwan Al-Muslimun yang sangat berdisiplin dan setia dengan perjuangan.


Manakala bagi Mursyidul Am Al-Ikhwan Al-Muslimun Mesir, Mohammad Mahdi Akef yang mengucapkan takziah atas pemergian Dr. Al-Huwaidi menegaskan, Dr. Al-Huwaidi merupakan da'ie (pendakwah) yang telah 66 tahun mengabdikan dirinya untuk dakwah Islam. Dr. Al-Huwaidi adalah pemegang panji terbaik Al-Ikhwan Al-Muslimun samada ketika berada di Syria sebagai Muraqib Am mahupun di luar negara".

Dr. Hasan Al-Huwaidi merupakan anak jati dari Dayr Az-Zour, Syria Timur. Dilahirkan pada tahun 1925. Merupakan pemegang ijazah Phd dalam bidang kedoktoran pada tahun 1952. Melibatkan diri dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun pada tahun 1943. Dilantik menjadi Muraqib Am Al-Ikhwan Al-Muslimun pada tahun 1981 hingga 1986.

Semoga Allah SWT meletakkan Al-Marhum Dr.Hasan Al-Huwaidi di kalangan ahli syurga. Ameen Ya Rabbal 'Alamin !

Al-Fatihah untuk Al-Marhum Dr.Hasan Al-Huwaidi...

Forum BAKIP & Masa Untuk Anwar-Aiman


Sepanjang berada di Kota Bharu, saya tidak mempunyai masa yang selesa untuk bersama anak-anak. Maklum saja, sebagai urusetia program, tidak mudah untuk menumpukan masa dengan anak-anak. Sebelum berangkat ke Kota Bharu, saya telah memohon jasa baik Ummu Anwar untuk ditinggalkan bersama dengan anak-anak dan tiada waktu yang banyak untuk bersama.

Sebenarnya, kalau dibincangkan tentang waktu, memang agak sedikit waktu diluangkan untuk anak-anak. Balik dari kerja, saya hanya sempat seketika bersama anak-anak. Kemudian sebelum Maghrib dah bertolak ke masjid atau surau untuk memenuhi undangan masyarakat. Selepas balik, anak-anak dah tidur. Baru saja mereka terkejut dari tidur, saya dah bersiap untuk keluar bekerja. Jadi dengan rutin harian seumpama ini, masa untuk bersama dengan anak-anak amat terbatas.

Pun begitu, saya cukup malu dengan Al-Imam Hasan Al-Banna dalam kisah bersama keluarganya. Catatan yang dibuat oleh Ustaz Mohammad Lili Nur Aulia dalam bukunya Cinta Di Rumah Hasan Al Banna amat menginsafkan. Saya ingin nukilkan sebahagian daripada kandungan buku tersebut.


"Siapakah di antara pendakwah yang merasa tidak mempunyai waktu lagi untuk sekadar makan bersama anak-anak di rumah? Imam Hasan al-Banna rahimahullah, mempunyai catatan kehidupan dakwah yang begitu memukau. Hasan al-Banna, dalam buku sejarah dakwahnya, dituliskan untuk berjaya membentuk asas sebuah gerakan dakwah bernama Al-Ikhwan Al-Muslimun hanya selepas dia tinggal enam bulan di Ismailiyyah, salah satu daerah di Kota Kaherah, Mesir. lalu dalam jangka masa selanjutnya, selama 15 tahun, al-Banna terus melebarkan sayap dakwahnya dengan membentuk sayap al-Ikhwan di 20 buah negara. Di Kota Kaherah sendiri, dia mendirikan asas pembentukan 2,000 cabang al-Ikhwan. Tetapi, ternyata dia masih mampu menyempatkan waktu untuk makan bersama anak-anaknya di rumah. Suasana ketika makan bersama itulah di antara detik-detik penuh kenangan bagi anak-anaknya.

Tsana, puteri Hasan al-Banna bercerita : "Dia sangat mengerti apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW, "Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak, keluargamu juga mempunyai hak...". Engkau lihat ayah selalu berusaha untuk makan bersama-sama keluarga, bahkan meskipun ketika ada tetamu, dia tetap berusaha meminta mereka datang ke rumah supaya ketika waktu makan pagi ayah akan bersama-sama kami".

Al-Imam Hasan Al-Banna

Melihat jadual Al-Imam, tentu kita tak mampu untuk menandingi beliau. Tetapi menariknya, masa tetap diperuntukkan untuk keluarga sebaik mungkin. Muhasabah untuk diri sendiri, pengorbanan bagi dakwah Islam belum lagi ke tahap yang sebenar, peruntukan masa untuk keluarga sudah seringkali terabai.

Kesempatan berada di Kota Bharu, seboleh mungkin dimanfaatkan bersama anak-anak. Memang tidak boleh sepenuhnya, tapi waktu makan saya cuba bersama anak-anak sekalipun bukan semua waktu makan. Sempat juga layan anak-anak bermandi di kolam mandi PCB Resort. Anwar dan Aiman begitu gembira bermandi di kolam. Pun begitu, saya lebih gembira melayani mereka dan menggembirakan mereka.


Semoga Al-Imam Hasan Al-Banna mampu dicontohi.

Pertemuan Dengan Adik Nik Nor Madihah


Alhamdulillah, bersempena Forum BAKIP Pantai Timur juga, kami berkesempatan untuk menerima kedatangan Adik Nik Nor Madihah Nik Mohammad Kamal bersama keluarganya. Kami mengambil kesempatan ini untuk berkongsi kejayaan dengan Adik Nik Nor Madihah. Pencapaian luar biasa yang diperolehi oleh beliau amat dikagumi. 19A1 dan 1A2 merupakan pencapaian yang cukup hebat bagi masyarakat kita. Apatah lagi dengan berlatarbelakangkan keluarga yang berada dalam kesempitan hidup.

Adik Nik Nor Madihah

Kami meminta agar Adik Nik Nor Madihah menyampaikan sedikit ucapan. Walaupun dengan permintaan spontan, beliau memang berwibawa. Ucapan yang disampaikan amat teratur dan tersusun.

Kami membuat kutipan derma kilat sebagai salah satu bentuk sokongan untuk Adik Nik Nor Madihah. Anak-anak peserta dan isteri yang turut dijemput semasa forum ini terpegun mendengar kisah kejayaan yang diraih oleh beliau. Banyak pengajaran yang diperolehi dari perkongsian singkat ini.

Semasa perkongsian pengalaman yang dilalui oleh Adik Nik Nor Madihah, beliau seorang yang mempunyai hubungan yang erat dengan Allah. Sikapnya yang sentiasa menundukkan pandangan menunjukkan peribadi sebenar pelajar cemerlang ini. Mengikut ceritanya, beliau seorang yang sentiasa menghargai kedua ibubapanya yang memang hidup susah. Bapanya sebagai nelayan dan ibunya sebagai cleaner di UMK bukanlah tiket untuk beliau menjadi pelajar yang mundur. Isnin dan Khamis dijadikan sebagai hari berpuasa sunat. Bertanya dan merujuk guru menjadi disiplin yang mesti bagi dirinya.

BlogRantau,Encik Nik M Kamal (bapa),Adik Nik Nur Madihah,
Puan Rahilah, Ibu (Nik Nor Madihah) dan M Radzi.


Sebenarnya, seringkali juga terdetik dalam hati, bilakah pula pelajar lelaki yang bakal meraih dan menyandang gelaran pelajar cemerlang SPM?

Seringkali juga terdetik, bila pula pelajar Terengganu Darul Iman?

Tahniah untuk Adik Nik Nor Madihah !

Berforum di Kota Bharu


Pada 13-15 Mac tempohari, kami berhimpun di PCB Resort, Kota Bharu untuk berforum tentang isu-isu 'amal Islami di tempat kerja. Kehadiran 53 peserta bersama keluarga masing-masing amat meriah dan bersemangat. Saya tiba di PCB Resort pada jam 12.00 tengahari. Sepatutnya perjalanan ke sana pada 12 Mac, tapi ekoran kepadatan program dan persediaan di pejabat menyebabkan pada sebelah malamnya hanya bermalam di Kuala Terengganu. Apapun alhamdulillah, forum ini amat besar ertinya untuk kami sebagai aktivis.

Apatah lagi dengan kehadiran MD/CEO PGB, Tuan Haji Samsuddin Bin Miskon. Beliau dijadualkan menyampaikan Ucap Utama yang bertajuk Memimpin Perubahan. Pembentangan yang disampaikan oleh Tuan Haji Sam, memukau keseluruhan peserta yang hadir. Kupasan yang menyeluruh dari pelbagai aspek menyebabkan peserta-peserta akur tentang kepentingan mereka dalam arena 'Amal Islami. Khususnya bagi membantu organisasi PETRONAS dalam memacu operasi bisnesnya di peringkat nasional dan antarabangsa.

BlogRantau, Haji Sam & Ust Hasrizal

Susulan kepada Ucap Utama ini, kami turut mengundang Ustaz Hasrizal Abdul Jamil untuk turut memberikan motivasi kepada peserta yang membincangkan tajuk "Amal Islami Dalam Pengurusan Organisasi". Ustaz Hasrizal merupakan kenalan saya semasa kunjungan saya ke Jordan ketika memenuhi undangan Persatuan Mahasiswa Jordan sempena Persidangan Pelajar Timur Tengah yang dianjurkan oleh mereka. Saya hadir bersama Ustaz Ilias Ahmad (Kelantan) bagi mewakili Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Pada waktu itu, Ustaz Ahmad Arif Arshad (Presiden PMRAM waktu itu) tidak dapat menghadiri program ini kerana pertembungan dengan jadual peperiksaan. Saya diamanahkan untuk membentangkan kertas kerja "
Akidah Memancang Perjuangan Mahasiswa", (tajuk ini cadangan daripada pihak penganjur). Manakala Ustaz Ilias Ahmad dijemput bagi menjadi salah seorang ahli panel forum sempena persidangan tersebut.

Ustaz Hasrizal & BlogRantau

Semasa persidangan ini, Al-Fadhil Ustaz Hasrizal membentangkan kertas kerja yang sangat menarik dengan tajuknya "Aku Tidak Pedulisme:Ideologi Siswazah Jumud Dan Tidur". Pembentangan yang dibuat oleh Ustaz Hasrizal amat menarik pada waktu itu.

Persidangan tersebut mendapat penghormatan daripada TYT Duta Besar Malaysia pada waktu itu. Kami dijemput untuk jamuan makan tengahari bersama TYT Duta Besar Malaysia di Amman. Saya tidak mengingati tempatnya. Tapi seingat saya jamuan itu diadakan dalam kawasan University of Mu'tah.

Pada sebelah petangnya, kami sempat menziarahi Ustaz Hasrizal. Individu yang baru saja dikenali ini amat tawadhuk. Terasa begitu beruntung mengenali dirinya. Beliaulah yang menceritakan kepada kami tentang kronologi sejarah Peperangan Mu'tah semasa kunjungan ziarah tersebut. Kewibawaan beliau dalam mengulas isu berkenaan sejarah sudah cukup terserlah pada waktu itu. Kami melawat maqam sahabat masyhur Rasulullah SAW yang gugur syahid dalam peperangan tersebut. Peperangan ini dipimpin oleh Zaid Bin Harithah r.a, kemudian diganti oleh Jaafar Bin Abi Tholib r.a dan kemudiannya dipimpin oleh Abdullah Bin Rawahah r.a. Akhirnya, ketiga-tiga sahabat besar ini gugur syahid. Lalu dipimpin oleh Khalid Ibnu Al-Waleed. Rasulullah SAW menyifatkan Khalid sebagai Pedang Allah yang datang menghunus memerangi kumpulan musyrikin. Peluang yang ada pada waktu itu kami manfaatkan sepenuhnya. Terasa hiba melihat perjuangan sahabat baginda. Terasa kerdilnya diri dalam memperjuangkan agama Allah.


Al-Iman Consultant And Training Centre

Awal Mac nanti merupakan tarikh yang amat mendebarkan bagi saya dan rakan-rakan. Al-Iman Consultant And Training Centre -ICTC (yang selama ini bergerak tanpa pejabat dan pusat pentadbiran) akan memulakan operasi secara rasmi di sebuah bangunan di Jalan Air Putih, Kemaman. Lokasi yang strategik di kawasan perumahan Taman Permai Jaya akan menjadi saksi perjalanan Pusat Pengajian Al-Iman. ICTC telah lama mengambil lokasi ini, sejak bulan Disember lagi. Tetapi kerana kekurangan modal, ia tertangguh. Hasratnya akan dimulakan pada Januari 2009. Tapi terpaksa ditangguhkan sehingga awal Mac. Usaha ini sangat serius untuk membawa mesej dakwah di Terengganu Darul Iman.

Pusat Pengajian Al-Iman akan memulakan siri pengajian ini dengan Kelas Tahfiz Back To Home. Ibu bapa yang berminat akan menghantar anak-anak untuk mengikuti kelas tahfiz tanpa perlu berada di asrama. Mereka boleh balik dan datang kembali untuk mengikuti kelas tahfiz. Cara ini sememangnya tidak sebaik berada terus di pusat-pusat tahfiz, tetapi matlamat ICTC hanya untuk memudahkan ibubapa. Malahan Kelas Tahfiz Back To Home merupakan garis mula untuk pelajar mengenal erti hafazan.

Kelas pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain turut diperkenalkan. Begitu juga dengan Kelas Al-Quran Dewasa.


ICTC baru saja dua tahun mencurahkan khidmat di bumi Kemaman ini. Kebiasaannya, program Kem Motivasi Pelajar, Kem Anak Soleh, Kem Tahfiz Al-Quran (semasa cuti sekolah), Team Building untuk syarikat korporat, kursus-kursus pengajian Islam dan pelbagai lagi. Tetapi waktu itu perjalanannya tidaklah terlalu serius. Dengan pewujudan Pusat Pengajian Al-Iman, ICTC mengharapkan agar usaha ini mendapat sambutan di kalangan masyarat di Kemaman ini. Sahabat saya, Ustaz Osama menguruskan sepenuhnya syarikat ini dengan dibantu oleh Ustaz Syed Syahrunuddin (Yaman). Tidak dilupakan kepada Haji Johan (Bahtera Marin) yang sudi mengizinkan bangunan tersebut dimajukan oleh ICTC. Semoga Allah membalas sumbangan anda dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.

Semoga ICTC mampu berdiri kukuh membawa mesej dakwah, pendidikan dan ekonomi Islam.

Pertemuan Dengan Dr.Sami Abu Zuhri


Alhamdulillah, Ahad lepas sebelum ro
mbongan Dr.Sami Abu Zuhri berlepas pulang ke Syiria, sempat juga bersama-sama dengan beliau sebagai pertemuan perpisahan. Pertemuan dengan Dr.Sami dan Abu Hussam cukup bererti buat saya.

Dr. Sami Abu Zuhri

Saya memanggilnya Dr. Sami sekalipun beliau sedang menyiapkan tesis Phd. Panggilan ini sebagai penghormatan dan merupakan senario biasa di kalangan masyarakat Arab bagi pensyarah-pensyarah universiti. Justeru, saya merasakan panggilan yang paling hormat untuk beliau ialah Dr. Sami.

Beliau merupakan bekas tahanan rejim Zionis selama 7 tahun. Pengalaman diseksa Yahudi sudah begitu masak untuk jiwa pemimpin muda Hamas ini. Menjadi jurucakap rasmi Hamas (Hamas Official Spokesman) di Ghazzah dalam usia ini menampakkan kewibawaan tersendiri yang dimiliki Dr.Sami. Saya tak sempat berceloteh panjang dengan beliau dan rombongan.

Beberapa faedah yang disampaikan sudah cukup untuk menjadi panduan guna sebagai bekal dalam perjalanan yang masih jauh ini. Rasa persaudaraan melalui ikatan akidah begitu kukuh dalam diri apabila bersama-sama dalam satu majlis.

Bernada lembut dan penuh berhemah menyerlahkan lagi kreadibiliti wakil Hamas ini. Secara tegas, beliau mengulangi kita menang dalam peperangan ini. Angka korban bukan menjadi ukuran. Tetapi berundur lebih awal menjadi ukuran yang jelas dengan dakwaan Rejim Zionis, objektif telah tercapai. Sedangkan Hamas masih kukuh berada di hati rakyat Palestin.

Menikmati hidangan bersama

Sekalipun peperangan ini meletus, rakyat Palestin tetap meneruskan kehidupan seperti biasa. Tiada perubahan besar. Kami dah biasa melaluinya. Rakyat Ghazzah telah dikepung ekonominya semenjak sekian lama. Rakyat Palestin biasa menyamar di kalangan orang-orang Yahudi tanpa mereka sedari.

Semangat Asy-Syahid Syeikh Ahmad Yaasin, Dr. Abdul Aziz Rantisi, Yahya 'Ayyash dan lain-lain syuhada' tetap segar di hati kami. Fatah bukan musuh kami. Pemimpin negara Arab bukan musuh kami. Tetapi Rejim Zionis adalah musuh kami dan musuh seluruh ummat Islam. Kami juga akan menjadi musuh kepada sesiapa sahaja yang memusuhi perjuangan kami. Keutamaan kami ialah menghalau rejim Zionis dari Palestin, ujar Dr.Sami.

Pohon bimbingan ...

Beliau sebenarnya dari Palestin ke Damsyik untuk menghadiri mesyuarat khas Hamas. Kehadiran beliau sebelum peperangan meletus pada 27 Disember 2008. Setibanya di Syiria dan setelah selesainya mesyuarat, beliau mendapat makluman tentang serangan Rejim Zionis ke atas bumi Ghazzah.

Melalui senario seumpama ini, sewajarnya ummat Islam kembali yakin kepada janji Allah SWT dan RasulNya SAW. Rawatilah penyakit wahan (kasihkan dunia dan bencikan mati). Hujanilah kembali al-Mahabah di kalangan musuh agar mereka kembali gerun kepada ummat Islam. Inilah
yang dimaksudkan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Thauban r.'a.