Belasungkawa Al-Akh Khairul Azhar Kamaruddin


Jam 7.30 malam semalam saya menerima sms daripada Wanar (Wan Ahmad Rashidi-KL) yang memaklumkan tentang rakan saya Ustaz Khairul Azhar Kamaruddin (N9) berada dalam keadaan kritikal kerana demam denggi. Disusuli pada waktu itu dengan sms dari Halim Othman (Kedah-KL) memaklumkan perkara yang sama. Kami dipohon untuk doakan kesejateraan beliau. Saya menaruh harapan, InsyaAllah Ustaz Khairul Azhar akan sembuh.

Makin mengejutkan, jam 11.39 malam, Ustaz Ilias Ahmad (Pok Su Li) telefon dan menyampaikan berita sedih ini. Berita kematian Ustaz Khairul Azhar begitu menyedihkan. Pun begitu, untungnya beliau meninggal dunia pada waktu yang masih muda ini dan berada pula dalam landasan perjuangan dan dakwah Islam.

Kematian beliau difahamkan pada jam 11.20 malam. Ertinya Ustaz Ilias mendapat maklum balas yang awal. Wanar juga mengiringi maklumat tersebut dengan sms.

Ustaz Khairul Azhar merupakan salah seorang Anggota Lembaga Penasihat PMRAM ketika saya memimpin PMRAM suatu ketika dahulu. Beliau seorang yang tegas dan berdisiplin. Perkenalan dengan beliau seawal saya tiba di Mesir. Waktu itu beliau salah seorang Anggota Badan Pengurus PMRAM. Hubungan yang erat makin terjalin ketika saya menjadi YDP Keluarga Penuntut Terengganu dan beliau pula menjadi YDP Badan Kebajikan Anak Negeri Sembilan di Mesir. Sebagai orang lama, banyak perkara yang saya pelajari daripada beliau.

Sayangnya, semenjak beliau pulang ke tanahair, saya hanya sempat bertemu sekali sahaja. Tidak sempat bercerita panjang dan tidak sempat berkongsi khabar berita.

Di laman-lama web PMRAM, ILMAM, Tranungkite ada memaklumkan tentang kematian Al-Marhum. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Al-Marhum dan menempatkan diri beliau di kalangan orang-orang yang soleh.

0 comments: