Perjuangan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir-updated


Liku-liku perjuangan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir amat panjang dan penuh dengan cabaran. Saya amat teruja apabila ditimbulkan isu ini. Apatah lagi dibangkitkan kembali dalam Perhimpunan Agung Umno menerusi wakil Kelab Umno Luar Negara,
Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan.

Pada saya, isu ini sebenarnya sudah lapuk. Tapi dendam kesumat pemimpin-pemimpin Kelab Umno cukup dahsyat. Generasi pelapis seumpama ini sebenarnya bakal merosakkan negara dan bangsa. Usah bicara lagi soal agama. Isu ini sebenarnya pernah ditimbulkan dalam perhimpunan agung Umno yang terdahulu bukan sahaja dalam perhimpunan agung kali ini.

Bagi yang tidak mengikuti sejarah PMRAM, ramai yang akan membantah dan mencemuhnya. Tapi bagi yang mengenali PMRAM, jasa dan sumbangan besar untuk pelajar-pelajar Malaysia di Mesir sebenarnya tidak terhingga. Sebut sahaja nama-nama besar dalam negara, samada Tan Sri Dr. Yusuf Noor, Tan Sri Abdul Hamid Othman, Ustaz Ismail Abdul Halim, Dato' Harun Taib dan lain-lain. Jasa PMRAM bukan sedikit untuk dibukukan. Bukan sahaja kepada rakyat Malaysia dan kerajaan Malaysia, malahan kepada kerajaan Mesir sendiri ketika terlibat dalam briged Difa' Madani (Pertahanan Awam-Dalaman) semasa satu peperangan di Mesir dahulu.

Bagi penyokong Kelab Umno, mereka tidak pernah mencuba untuk memahami liku-liku perjuangan ini. Seringkali juga, saya cuba untuk memahami perjuangan mereka di Mesir (khususnya). Pada ketika itu juga, saya buntu mencari jawapan yang pasti untuk mereka.

Ini bukan kerana saya terlibat dalam PMRAM suatu ketika dahulu. Tapi kerana kefahaman perjuangan mahasiswa yang digagaskan oleh PMRAMlah saya cukup mempertahan kewibawaan dan komitmen PMRAM untuk mahasiswa Malaysia di Mesir.

Seawal penubuhan pada tahun 1930. PMRAM antara pertubuhan pelajar terawal yang digagaskan bagi pelajar-pelajar dari Tanah Melayu. Asy-Syeikh Idris Al-Marbawi antara tokoh ulama yang seringkali bersama-sama dengan PMRAM. Untuk membilang penglibatan generasi terdahulu sebenarnya terlalu ramai. Kebanyakkannya merupakan nama-nama besar di negara ini.

Amat melucukan apabila PMRAM dianggap sebagai pertubuhan politik. Pada mereka semua yang dilakukan oleh mahasiswa mestilah menyokong kerajaan yang sedia ada. Sedangkan prinsip kemahasiswaan yang sebenar ialah mempertahankan kebenaran walaupun ianya dilakukan oleh pihak berkuasa. Pada mereka pula, Kelab Umno adalah pertubuhan kebajikan untuk pelajar. Walhal, merekalah yang menggunakan wadah politik sebagai idealisme mereka.

Pada mereka, pegawai-pegawai kedutaan semuanya takut kepada PMRAM. Pada saya ini ucapan yang paling lucu saya dengar. Mana mungkin pegawai-pegawai kerajaan takutkan kepada mahasiswa. Tapi apa yang pasti, pegawai kedutaan sebenarnya takut kepada pemimpin-pemimpin Kelab Umno. Takutnya pegawai-pegawai kedutaan kepada pemimpin Kelab Umno kerana kebencian. Takutnya pegawai-pegawai kedutaan kepada PMRAM bukan kerana takut sebagai pengecut. Tapi takut kerana rahmat. Rahmat kerana PMRAM banyak membantu mereka memartabatkan negara. Memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat Arab. Membina kecemerlangan akademik untuk warga Malaysia. Apa pula sumbangan Kelab Umno untuk negara sepanjang mereka berada di luar negara?

Melalui blog ini, saya ingin sampaikan salam kasih dan ingatan kepada seluruh saf kepimpinan PMRAM yang baru dilantik baru-baru ini. Setinggi ucapan tahniah kepada semua. Semoga dapat jalankan amanah yang dibebankan ini dengan baik tanpa melupakan ilmu dan pelajaran.

Kuatkan semangat untuk mengharungi liku-liku perjuangan dan binalah diri kita dengan ilmu dan iman.

Kem Kecemelangan Pelajar SMKRP


Alhamdulillah, setelah mendapat tawaran untuk mengendalikan Kem Motivasi Kecemerlangan Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Petronas, kami terus melakukan persiapan menyediakan modul yang diperlukan oleh pihak sekolah. Agak sukar pada kali ini kerana modul yang diketengahkan perlu meraikan keterlibatan sebahagian pelajar non muslim. Apapun, perjalanan program ini berjalan dengan lancar.

Al-Iman Consultant And Training Centre berjaya memperkenalkan modul baru untuk program-program seumpama ini. Antara modul baru yang diperkenalkan ialah Al-Iman...Go, Al-Iman...Puzzle, Al-Iman...Touch, Al-Iman...Challenge, Al-Iman...Warrior, Al-Iman...Synergy dan juga Moving Forward. Sebahagian daripadanya sempat kami gunakan sempena kem ini. Sebahagian lagi belum siap sepenuhnya. Turut diperkenalkan, Moving Forward (Indahnya Cinta Semasa Remaja). Saya hadir sebagai motivator jemputan bersama dengan Ustaz Osmarizal dan Ustaz Syed Syahrunuddin serta dibantu tiga orang fasilitator muslimat.

Kem pada kali ini amat menyeronokkan. Rasa tak puas bersama dengan karenah dan semangat adik-adik tingkatan tiga dan lima dari SMKRP. Komitmen mereka dalam program ini amat disanjungi kami. Teguran yang kami buat amat cepat diiringi dengan permohonan maaf. Hampir tidak ada yang mengambil sikap keras melawan. Sikap ini sikap cemerlang. Apatah lagi, masing-masing amat proaktif dalam mengemukakan persoalan. Beberapa aktiviti yang diperkenalkan untuk peserta disambut baik oleh mereka semua. Aktiviti The Mummy Obstacles, Istana Pasir, Kembara Malam dan lain-lain mendapat sokongan mereka.

Aktiviti Membina Istana Pasir

The Mummy Obstacles

Penglibatan non muslim dalam kem ini juga amat bererti untuk kami. Ia merupakan pengalaman baru dalam dunia motivasi kami yang masih mentah ini. Ternyata, kekadangnya non muslim lebih terbuka untuk berubah berbanding dengan anak-anak Melayu beragama Islam.

Justeru, program ini amat bermakna untuk warga Al-Iman Consultant & Training Centre. Tahniah kepada adik-adik SMKRP ! Semoga berjaya meraih kejayaan cemerlang dalam PMR dan SPM pada tahun ini, InsyaAllah.

Saya tidak sempat untuk uploadkan sebahagian lagi gambar-gambar sempena kem ini. InsyaAllah, jika masa terluang saya akan usahakan.

Menziarahi Badan Nadwah Islamiah Pahang (NADWAH)


Program ziarah ini sebenarnya telah lama berlangsung. Sekitar 3 minggu yang lalu. Oleh kerana tak sempat nak update, agak ketinggalan sedikit cerita ini. Meskipun sedikit lapuk, tapi saya rasa agak penting untuk dikongsikan.

Menziarahi Badan Nadwah Islamiah Pahang ini banyak mengajar erti kemanusiaan dan dakwah. Ia juga mengajar erti bertanggungjawab. Melalui 4 aktiviti teras mereka, dakwah Islam dapat disalurkan kepada masyarakat secara lebih berkesan. Saya agak setuju, dakwah bil hal lebih memberi kesan kepada masyarakat.

Mereka membangunkan Pusat Hemodialisis Islam Makmur atau (PHIM) untuk masyarakat setempat. Usaha ini bermula hasil daripada kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh pihak Persatuan Kebajikan Agama Buddha di Kuantan yang terlebih dahulu menubuhkan pusat hemodialisis untuk masyarakat di sekitar Kuantan. Oleh kerana kebanjiran ummat Islam ke pusat hemodialisis Buddha yang menawarkan harga yang lebih rendah berbanding pusat swasta, maka NADWAH berusaha menubuhkan PHIM ini dengan serba serbi kekurangan.
Rasa tercabar masyarakat Islam di Kuantan telah meletakkan kejayaan seumpama yang disaksikan sekarang. Kini, kejayaan mereka amat menakjubkan. Saya yakin inilah keberkatan daripada Allah SWT. Lihat kronologi sejarah PHIM.

Pusat Hemodialisis Islam Makmur

Kami lanjutkan lawatan ke Permata Camar. Pusat jagaan anak-anak yatim ini dibangunkan dengan begitu tersusun dan bersungguh-sungguh. Agak hebat pengorbanan mereka untuk membangunkan pusat ini. Bukan mudah untuk mengekalkan pusat kebajikan seumpama ini. Apatah lagi bergerak dengan sokongan masyarakat semata-mata. Di sinilah letaknya galakan yang dianjurkan oleh Nabi SAW. Daripada Sahal Bin Saad r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda :

"أنا وكافل اليتيم في الجنة هكذا"، وأشار بالسبابة والوسطى وفرج بينهما.

(رواه البخاري)

Maksudnya : "Aku dan penjaga anak yatim di dalam syurga seumpama ini, sambil baginda SAW menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya serta memisah-misahkan antara keduanya".

Hakikatnya, bukan kerja mudah untuk mengambil tanggungjawab memelihara anak-anak yatim. Kerana itulah Nabi SAW seringkali menggalakkannya. Malahan Anas Bin Malik r.a pernah menegaskan :


خير البيوت بيت فيه يتيم يُحسَن إليه، وشر البيوت بيت فيه يتيم يُساء إليه، وأحب عباد الله إلى الله تعالى من اصطنع صنعا إلى يتيم أو أرملة
.
Maksudnya : "Sebaik-baik rumah ialah rumah orang Islam yang ada di dalamnya anak-anak yatim diasuh dengan baik dan sebaliknya seburuk-buruk rumah adalah rumah orang-orang Islam yang ada anak yatim tetapi tetapi tidak dijaga dengan baik. Sebaik-baik hamba Allah di sisi Allah SWT ialah orang yang melakukan sesuatu perkara yang baik kepada anak yatim atau kepada ibu tunggal".

Permata Camar, Kuantan

Alhamdulillah, kami jadikan PHIM dan Permata Camar sebagai ilmu dakwah yang baru untuk dipraktikkan. Walaupun belum berkemampuan untuk melahirkan bentuk yang sama, tapi pendekatan dakwah seumpama ini patut dijadikan sebagai suatu cita-cita yang besar.

Saya cukup terkesan dengan penerangan yang dibuat oleh Encik Nazri Ibrahim (wakil NADWAH) yang memberikan penerangan tentang operasi dan kerja yang dilakukan oleh pihak Pusat Pembimbing Komuniti Nadwah (QUDWAH). Antara misi besar mereka ialah menziarahi pesakit-pesakit Muslim di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan. Mengikut maklumat yang diperolehi skuad Qudwah, muballigh-muballigh Kristian dan Buddha cukup aktif berperanan di HTAA. Sedangkan masyarakat Islam masih dengan sikap syok sendiri. Pesakit muslim yang tidak mempunyai keluarga dan rakan taulan yang menziarahi mereka sepanjang keberadaan di hospital antara sasaran yang paling mudah didekati oleh muballigh-muballigh ini. Sebenarnya perkara ini bukannya datang dari skuad Qudwah, tapi dimaklumkan oleh pihak petugas di HTAA sendiri. Sedangkan mereka pula tidak mempunyai alasan untuk menghalang muballigh-muballigh ini daripada mendekati dan menziarahi pesakit mereka.

Dalam misi yang sama, kami luangkan sedikit masa menziarahi kedai baru Nadwah. Operasi kedai ini berada di bawah seliaan Unit Halal & Kepenggunaan. Objektif penubuhan kedai ini amat menarik minat saya sendiri. Barangan dalam kedai tersebut tidak ada sebarang produk-produk yang diboikot. Tidak ada juga bahan-bahan makanan yang tidak jelas status halalnya. Pada saya, hasrat baik seumpama ini wajar mendapat sokongan masyarakat. Sempat juga saya beli satu pek milo baru keluaran bumiputera. Rasanya juga sedap dan bolehlah menandingi Milo keluaran Nestle. Beehon-beehon dalam kedai tersebut kebanyakkannya dikeluarkan oleh ummat Islam dan begitu juga dengan pelbagai barangan yang lain.

Nadwah Mini Market

Rasa seronok berada di kedai tersebut dan berangan-angan juga ingin membawa model ini ke Terengganu Darul Iman.

Ya ! Dakwah bil hal lebih berkesan berbanding dengan dakwah bil lisan.

InsyaAllah, semangat itu akan dibawa masuk ke Terengganu sebagai memanifestasikan slogan Darul Iman !