Liku-liku perjuangan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir amat panjang dan penuh dengan cabaran. Saya amat teruja apabila ditimbulkan isu ini. Apatah lagi dibangkitkan kembali dalam Perhimpunan Agung Umno menerusi wakil Kelab Umno Luar Negara, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan.
Pada saya, isu ini sebenarnya sudah lapuk. Tapi dendam kesumat pemimpin-pemimpin Kelab Umno cukup dahsyat. Generasi pelapis seumpama ini sebenarnya bakal merosakkan negara dan bangsa. Usah bicara lagi soal agama. Isu ini sebenarnya pernah ditimbulkan dalam perhimpunan agung Umno yang terdahulu bukan sahaja dalam perhimpunan agung kali ini.
Bagi yang tidak mengikuti sejarah PMRAM, ramai yang akan membantah dan mencemuhnya. Tapi bagi yang mengenali PMRAM, jasa dan sumbangan besar untuk pelajar-pelajar Malaysia di Mesir sebenarnya tidak terhingga. Sebut sahaja nama-nama besar dalam negara, samada Tan Sri Dr. Yusuf Noor, Tan Sri Abdul Hamid Othman, Ustaz Ismail Abdul Halim, Dato' Harun Taib dan lain-lain. Jasa PMRAM bukan sedikit untuk dibukukan. Bukan sahaja kepada rakyat Malaysia dan kerajaan Malaysia, malahan kepada kerajaan Mesir sendiri ketika terlibat dalam briged Difa' Madani (Pertahanan Awam-Dalaman) semasa satu peperangan di Mesir dahulu.
Bagi penyokong Kelab Umno, mereka tidak pernah mencuba untuk memahami liku-liku perjuangan ini. Seringkali juga, saya cuba untuk memahami perjuangan mereka di Mesir (khususnya). Pada ketika itu juga, saya buntu mencari jawapan yang pasti untuk mereka.
Ini bukan kerana saya terlibat dalam PMRAM suatu ketika dahulu. Tapi kerana kefahaman perjuangan mahasiswa yang digagaskan oleh PMRAMlah saya cukup mempertahan kewibawaan dan komitmen PMRAM untuk mahasiswa Malaysia di Mesir.
Seawal penubuhan pada tahun 1930. PMRAM antara pertubuhan pelajar terawal yang digagaskan bagi pelajar-pelajar dari Tanah Melayu. Asy-Syeikh Idris Al-Marbawi antara tokoh ulama yang seringkali bersama-sama dengan PMRAM. Untuk membilang penglibatan generasi terdahulu sebenarnya terlalu ramai. Kebanyakkannya merupakan nama-nama besar di negara ini.
Amat melucukan apabila PMRAM dianggap sebagai pertubuhan politik. Pada mereka semua yang dilakukan oleh mahasiswa mestilah menyokong kerajaan yang sedia ada. Sedangkan prinsip kemahasiswaan yang sebenar ialah mempertahankan kebenaran walaupun ianya dilakukan oleh pihak berkuasa. Pada mereka pula, Kelab Umno adalah pertubuhan kebajikan untuk pelajar. Walhal, merekalah yang menggunakan wadah politik sebagai idealisme mereka.
Pada mereka, pegawai-pegawai kedutaan semuanya takut kepada PMRAM. Pada saya ini ucapan yang paling lucu saya dengar. Mana mungkin pegawai-pegawai kerajaan takutkan kepada mahasiswa. Tapi apa yang pasti, pegawai kedutaan sebenarnya takut kepada pemimpin-pemimpin Kelab Umno. Takutnya pegawai-pegawai kedutaan kepada pemimpin Kelab Umno kerana kebencian. Takutnya pegawai-pegawai kedutaan kepada PMRAM bukan kerana takut sebagai pengecut. Tapi takut kerana rahmat. Rahmat kerana PMRAM banyak membantu mereka memartabatkan negara. Memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat Arab. Membina kecemerlangan akademik untuk warga Malaysia. Apa pula sumbangan Kelab Umno untuk negara sepanjang mereka berada di luar negara?
Melalui blog ini, saya ingin sampaikan salam kasih dan ingatan kepada seluruh saf kepimpinan PMRAM yang baru dilantik baru-baru ini. Setinggi ucapan tahniah kepada semua. Semoga dapat jalankan amanah yang dibebankan ini dengan baik tanpa melupakan ilmu dan pelajaran.
Kuatkan semangat untuk mengharungi liku-liku perjuangan dan binalah diri kita dengan ilmu dan iman.
0 comments:
Post a Comment