Serangan regim Zionis terhadap ummat Islam di Gaza, mengingatkan kembali pertemuan saya dengan kepimpinan tertinggi Hamas, Khaleed Mishaal dan timbalan beliau Dr. Mousa Abu Marzouk.
Beberapa siri pertemuan dengan kedua-dua pimpinan tertinggi Hamas ini sebenarnya amat memberikan suntikan perjuangan yang tinggi. Nilai keikhlasan dan ketekunan mereka dalam perjuangan Islam amat menginsafkan sesiapa sahaja yang berada di sampingnya.
Tidak hairanlah, anggota-anggota Hamas (pemuda-pemuda lingkungan 17-30 tahun) amat menghormati tokoh kepimpinan ini. Kesetiaan dan ketaatan mereka amat mengkagumkan. Apatah lagi pengorbanan dan keberanian mereka dalam perjuangan Islam ini.
Ciri-ciri yang dinyatakan oleh Allah SWT tentang pejuang-pejuang Islam ini dipamerkan melalui gaya kehidupan mereka. Nilai kasih sayang sesama muslim begitu tinggi. Tidak ada sikap untuk merendah-rendahkan muslim yang lain. Bahkan, layanan untuk tetamu asing seumpama kami terasa begitu istimewa sekalipun kami bukanlah di kalangan berjawatan.
Saya menumpang tuah YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Dato' Haji Abu Bakar Chik sempena lawatan mereka ke Syiria bagi menyalurkan bantuan untuk ummat Islam Beirut pada 2006 yang lalu.
Sebelum pertemuan ini, saya juga mengiringi Tuan Haji Mohamad Sabu dan YB Dr. Syed Azman Ahmad ke tempat yang sama. Begitu juga dengan rombongan YB Dr. Hatta Ramli, YB Solahuddin Ayub dan lain-lain.
Hubungan erat dengan kepimpinan Hamas di Syiria sebenarnya membuka ruang intipan berterusan daripada pihak mukhabarat (SB) Syiria sekalipun mereka (Khaleed Mishaal dll) adalah merupakan suaka politik di Syiria.
Seringkali juga ada perasaan takut dan bimbang semasa melakukan lawatan ke pejabat Hamas, tapi ketakutan dan kebimbangan itu terhapus sama sekali apabila berada dalam majlis mereka. Perasaan takut dan bimbang digantikan dengan perasaan yang tenang dan tenteram. Terasa begitu harmoni berada bersama-sama pejuang Islam yang tulen ini.

(saya akan meyambung perkongsian tentang pertemuan dengan Khaleed Mishaal dan juga dengan Abu Solah, wakil Tanzim Jihad Palestin, kekangan masa tidak mengizinkan saya di hadapan komputer dengan waktu yang selesa)
0 comments:
Post a Comment