Mengimbas Pertemuan Dengan Pimpinan Hamas-II


Sebagaimana yang dijanjikan, saya ingin teruskan kenangan bersama kepimpinan Hamas. Perkenalan ini sebenarnya membuktikan bahawa Hamas bukanlah pengganas. Wajarkah mereka digelar pengganas semata-mata kerana ingin mempertahankan tanahair dan agama sendiri?

Pada siri yang pertama, saya kongsikan sedikit coretan bersama dengan Dr. Mousa Abu Marzouk. Kebetulan dalam pertemuan tersebut, kunjungan yang sama dilakukan oleh Ikhwan Muslimin dari Iraq. Cukup bertuah pada hari itu kerana bersama-sama pejuang Iraq yang menentang regim Amerika Syarikat yang menjajah negara mereka. Kami mengikuti perkembangan yang berlaku dengan Iraq dengan penuh simpati. Saya akan lanjutkan perbincangan tentang pertemuan dengan pejuang Iraq ini selepas ini.

Siri Pertemuan Dengan Dr. Mousa Abu Marzouk


Makan Tengahari di Pejabat Biro Politik Hamas

Perkongsian pandangan antara kepimpinan utama gerakan Islam amat menarik perhatian. Pandangan-pandangan YB Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi semasa perbincangan ini menyebabkan rasa hormat dari peribadi saya cukup tinggi untuk Tuan Guru. Ternyata beliau seorang yang sentiasa mengikuti perkembangan dunia. Tidak hairanlah jika Tuan Guru turut menganggotai Majma' Taqrib Bainal Mazahib yang diketuai oleh Prof. Dr. Yusof Al-Qaradhawi.

Pertemuan dengan Khaleed Mishaal diadakan pada sebelah siang dan malamnya kami dijemput untuk berjamu selera. Hidangan
syaaf (di Mesir dikenali dengan Kabab), mouza (di Mesir juga sama namanya, keduanya makanan kegemaran saya di tanah Arab. Sayangnya di Syiria tidak dijual hamam misywi/merpati panggang atau hamam mahsyi/merpati yang diisi nasi di dalamnya) dan beberapa hidangan lain disediakan. Layanan istimewa untuk kami. Sekali lagi menumpang tuah Tuan Guru.

Sementara menunggu hidangan, kami terlebih dahulu melakukan perbincangan. Barangkali usrah secara tidak langsung antara kepimpinan utama gerakan Islam ini. Perbincangan mereka tentang permasalahan ummat Islam di dunia. Khususnya di Iraq, Lubnan dan Palestin. Khaleed Mishaal turut mengikuti perkembangan di tanahair. Cerita yang dibawa oleh Tuan Guru sangat diminati oleh mereka.

Pendedahan pejuang Iraq pada waktu itu amat menyayatkan hati kami. Apa tidaknya, golongan Sunni menjadi mangsa kerakusan kumpulan Syiah pada waktu itu. Kumpulan Syiah membunuh golongan Sunni yang mempunyai nama-nama besar para sahabat Nabi SAW. Seorang ikhwah Iraq yang bernama 'Umar dibunuh satu keluarga hanya kerana namanya 'Umar. Pendedahan ini amat mengejutkan kami semua sekalipun kami juga telah mengikuti cerita-cerita seumpama ini sebelumnya. Tetapi pendedahan yang diceritakan oleh pejuang Iraq ini amat menginsafkan kita. Itu antara sebahagian keperitan perjuangan yang dilalui oleh pejuang Iraq.

Pada waktu itu, Tuan Guru seolah-olah menjadi
mursyid untuk semua. Khaleed Mishaal telah lama mengenali Tuan Guru dalam perjuangan Islam. Apatah lagi Tuan Guru lebih berusia daripadanya. Khaleed Mishaal juga mengakui bahawa dirinya bukanlah di kalangan ulama'. Justeru, banyak permasalahan yang dilontarkan dirujuk kembali kepada Tuan Guru. Banyak yang kami belajar pada waktu itu. Tuan Guru agak tenang menilai permasalahan yang dikemukakan.

Sambutan yang diberikan oleh Khaleed sebenarnya amat istimewa. Kami cukup memahami permasalahan yang dilalui oleh beliau. Kesungguhan beliau untuk berada sepenuh masa dalam mempertahankan agama dan tanahair amat dikagumi. Tiada keluhan terbit dari bibirnya. Tiada kata-kata yang menyakitkan hati lahir dari lisannya. Tutur bicaranya lembut dan penuh dengan gurauan. Tangannya pula sentiasa memetik biji-biji tasbih, bibirnya dibasahi dengan zikir.

Ketenangan amat dirasai sepanjang berada di villa beliau. Tenang dengan kelibat anggota Hamas yang tidak pernah letih melaksanakan tugas. Tenang dengan kelibat anggota Hamas yang sangat cermat susun bicara mereka. Tenang dengan semangat yang dimiliki mereka. Tiada cemuhan, tiada kata-kata kesat. Saya mengikuti situasi ini semasa berdampingan dengan anggota-anggota biasa Hamas. Ada beberapa keadaan saya dan rakan-rakan tidak boleh menyertai perbincangan antara kepimpinan ini. Perbincangan mereka perbincangan tertutup yang selayaknya untuk mereka yang berada di taraf kepimpinan sahaja. Waktu itu, kami berdampingan dengan anggota biasa Hamas. Waktu itulah mendapat peluang memegang Kalashnikov AK47 dan Airsoft Rifle. Setakat pegang sahaja. Senjata ini dibenarkan oleh kerajaan Syiria untuk pejuang Hamas gunakan bagi tujuan keselamatan. Memang mereka menjadi buruan Mossad.

Ternyata mereka amat rindukan syahid. Usah bicara tentang syahid di hadapan Khaleed, pasti air mata akan tumpah mengenangkan kerinduan ini.

Silaplah Yahudi memburu orang yang inginkan kematian ... Buruk padahnya jika orang yang takutkan kematian memburu kematian orang yang inginkan kematian ...

Islam pasti akan berjaya mencapai kemenangan dan tentunya Hamas bakal meruntuhkan regim Zionis dengan izin Allah SWT... Amiin Ya Rabbal 'Alamin..

0 comments: