Gegaran BOM di Gaza VS Fireworks Novi God


Sekilas Imbauan

Isu serangan terbaru ke atas Gaza yang menjadi perhatian utama dunia, tidaklah semata-mata bermula selepas tamatnya genjatan senjata 6 bulan antara Gaza dan Israel pada 19 Disember 2008 yang lalu sebagaimana yang cuba digambarkan. Ia merupakan sebuah kegeraman yang sudah lama terpendam di dada Israel akibat kegagalannya menjatuhkan musuh utamanya, HAMAS dari pemerintahan di Gaza.

Israel sudah lama menyekat ekonomi Gaza, semenjak kemenangan HAMAS pada pilihanraya umum Palestin pada Januari 2006 lalu. Semenjak itu, pelbagai usaha telah diambil oleh Israel serta sekutunya di Washington dan Eropah bagi menggulingkan kerajaan HAMAS yang dilantik rakyat Palestin secara demokratik. Mereka berusaha melaga-lagakan berbagai fraksi di Palestin, bahkan usaha-usaha perdamaian dalaman Palestin sangat dicemburui dan dibantah musuh-musuh Palestin ini. Perjanjian Makkah pada Disember 2006 yang termeterai untuk membentuk kerajaan campuran sangat tidak disenangi Amerika Syarikat (AS) dan Israel. Mereka, terutama AS melalui Condoleeza Rice dan Keith Dayton, kemudiannya mengapi-apikan isu perbezaan politik dan berjaya menghasut segelintir pihak berpengaruh di Palestin, seperti Mahmoud Abbas dan Muhammad Dahlan untuk bersekongkol dalam menjatuhkan kerajaan HAMAS secara penggulingan bersenjata. Walaubagaimanapun, usaha-usaha ini telah dikesan oleh kerajaan HAMAS dan digagalkan dalam pertempuran berdarah antara HAMAS dan FATAH di Gaza pada Jun 2007 yang lalu. Akibatnya, pihak FATAH di Gaza mengaku kalah dan berundur ke Ramallah, lalu HAMAS menguasai Gaza secara mutlak. Ini memberi alasan bagi Israel untuk lebih mengetatkan sekatan ekonominya ke atas Gaza. Bahkan Israel berjaya mengajak Mesir yang menyempadani Gaza agar menutup sempadan Gaza-Mesir. Kemasukan rutin bantuan kemanusiaan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut disekat dan dihadkan. Lalu bermulalah krisis kemanusiaan paling teruk dalam sejarah peradaban manusia akibat penindasan sesama manusia.

Jurang antara pemimpin FATAH di Tebing Barat dan HAMAS di Gaza semakin membesar apabila Mahmoud Abbas mengisytihar Gaza sebagai negeri pengganas dan pembelot serta enggan membincangkan soal perdamaian antara kedua pihak. Pihak Berkuasa Palestin (PA) di bawah Mahmoud Abbas membentuk kerajaan Tebing Baratnya sendiri dan melantik Salam Fayyad sebagai PM boneka. Mahmoud Abbas dan kerajaan baru ini terus mendapat sokongan moral dari AS dan Eropah. Bahkan, kerajaan tidak demokratik ini telah mendapat sokongan latihan dan kewangan berjuta dollar dari AS untuk menguatkan pasukan keselamatannya untuk menghapuskan jentera penentangan di Palestin. Dengan kekuatan baru ini, mereka telah bersekongkol dengan Israel untuk menghapuskan elemen-elemen penentangan di sekitar Tebing Barat. Mereka menutup dan merampas sekolah-sekolah dan asrama anak yatim, kompleks membeli belah, kedai-kedai serta mana-mana institusi yang boleh dikaitkan dengan HAMAS dan penentangan. Mereka turut memburu, menangkap, memenjara dan membunuh pemimpin-pemimpin dan pejuang-pejuang Palestin dan rakyat biasa di Tebing Barat yang mempunyai kaitan atau menunjukkan simpati terhadap HAMAS dan penentangan. HAMAS yang mengecam tindakan ini bagaimanapun sentiasa berusaha untuk mengajak FATAH agar berunding untuk kepentingan masa depan Palestin. Berbagai usaha kesatuan semula telah diambil HAMAS dan beberapa pemimpin antarabangsa antaranya pemimpin dari Yemen dan Mesir, namun sehingga kini belum menunjukkan sebarang hasil yang memberangsangkan.


Pada masa yang sama, sekatan ekonomi di Gaza oleh Israel dan AS terus berlanjutan sehingga mencapai tahap kritikal dari sudut hak dan keperluan asasi manusia. Makanan, ubatan, tenaga elektrik, saliran semuanya mengalami kegawatan ke tahap kronik. Tujuannya, untuk menghukum rakyat Gaza yang memilih HAMAS sebagai kerajaan dan menjadikan rakyat berang kepada HAMAS yang cuba digambarkan membawa malang kepada rakyat. Namun, berkat kesabaran HAMAS serta kesetiaan rakyat Gaza menyebabkan HAMAS terus popular di mata rakyat.

Genjatan Senjata 6 Bulan

HAMAS serta fraksi penentangan lain terus menekan Israel untuk menghentikan penindasannya dengan melancarkan roket-roket buatan tangan mereka ke bandar-bandar Israel. Akhirnya, dengan campurtangan Mesir, Israel dan Gaza telah mempersetujui sebuah genjatan senjata 6 bulan yang agak rapuh dari 19 Jun 2008 ke 19 Disember 2008, dengan syarat bekalan asasi dibenarkan masuk ke Gaza serta sempadan-sempadan Gaza ke dunia luar dibuka seperti biasa. Namun, ternyata Israel dan Mesir hanya berpegang kepada perjanjian tersebut secara minimal. Bahkan, sebulan sebelum tamatnya perjanjian genjatan senjata antara Gaza & Zionis, pihak Zionis telah menzahirkan secara terang-terangan bahawa ia tidak pernah menghormati genjatan senjata ini dengan melakukan beberapa serangan maut di Gaza disamping mengetatkan lagi sekatan ekonomi dan kawalan sempadan. Sepanjang genjatan senjata, Israel telah membunuh 40 nyawa rakyat Gaza, manakala tiada seorang pun rakyat Israel yang terbunuh. Malangnya, tindakan ganas Israel ini mendapat sokongan AS serta konco-konconya dengan alasan Israel berhak mempertahankan dirinya.

Serangan Terbaru

Penyembelihan besar-besaran terbaru di Gaza berlaku selepas tamatnya genjatan senjata ini. Serangan ini berlaku pada Sabtu 27 Disember 2008, 24 jam selepas lawatan menteri luar Israel, Tzipi Livni ke Kaherah, Mesir dalam pertemuannya dengan Presiden dan pegawai atasan Mesir. Dalam ucapan rasminya di hadapan media, Tzipi Livni mengancam untuk menjatuhkan HAMAS. Di situlah pengisytiharaan perang berlaku.

24 jam kemudian, Israel telah melancarkan operasi serangan besar-besaran ke atas Gaza. Pada Sabtu 27 Disember, tentera Israel telah membedil Gaza dengan serangan udara dan memobilisasikan tentera daratnya beserta kereta-kereta kebalnya ke sempadan Gaza-Israel. Tidak cukup dengan itu, negara pengganas itu telah mengerahkan 6,500 tentera simpanannya untuk bersiap sedia di sempadan Gaza. Serangan udara tersebut dimulakan pada tengah hari Sabtu, sebaik sahaja waktu anak-anak pulang dari sekolah. Sehingga hari ketiga, Israel telah membunuh seramai 364 orang rakyat Palestin dan mencederakan lagi 1650 orang; bahkan mereka membunuh 150 orang dalam masa kurang dari setengah jam. Ini adalah serangan udara paling berdarah yang pernah dilancarkan dalam sejarah konflik Palestin-Israel. Antara yang terbunuh dan cedera bukanlah semata-mata pejuang-pejuang dan pasukan keselamatan Palestin, bahkan rakyat biasa, wanita, anak-anak kecil, serta bayi berusia 14 bulan. Antara yang terbunuh juga adalah Tawfik Jabr, komander polis Palestin serta Ahmed Ashur, gabenor daerah tengah Gaza. Fawzi Barhoum, seorang jurucakap kerajaan HAMAS di Gaza mengatakan, “Hari berdarah ini tidak pernah disaksikan Genting Gaza sebelum ini.”
Pihak hospital di Gaza, terutama Hospital Syifa’ (hospital terbesar di Gaza), tidak mampu menanggung pesakit yang sangat ramai yang datang berduyun-duyun. Kelengkapan hospital yang terbatas, banyak ambulan yang sudah tidak berfungsi dan tidak mampu diperbaiki, dan bekalan ubatan yang terhad, semuanya adalah angkara sekatan kejam besar-besaran ke atas Gaza. Namun, ramai pesakit yang bersikap murni meminta doktor-doktor mendahulukan orang-orang yang lebih memerlukan rawatan akibat serangan dahsyat tentera Zionis. Lebih mengerikan, hasil siasatan, doktor-doktor Palestin mendedahkan bahawa Israel telah menggunakan senjata-senjata yang telah diharamkan komuniti antarabangsa. Didapati mangsa-mangsa yang datang mendapatkan rawatan, walaupun cedera ringan, terus bertambah parah keadaannya dan mati secara tiba-tiba. Seorang doktor turut melaporkan menerima pesakit yang mengalami kekoyakan pada tulang dan kecacatan teruk pada anggota badan. Pihak hospital menyeru masyarakat antarabangsa agar menekan Israel untuk menghentikan serangan serta penggunaan senjata haramnya.

Dalam masa 2 hari, Israel telah menjatuhkan lebih 100 tan peluru berpandu menggunakan pesawat F-16. Mereka telah membedil pusat-pusat keselamatan HAMAS, kawasan kediaman umum di seluruh Gaza, ibupejabat stesen televisyen Al-Aqsa TV, kabel-kabel elektrik, bengkel-bengkel dan kilang-kilang. Israel berjaya meranapkan 40 terowong rahsia yang digunakan rakyat Gaza untuk membawa masuk bekalan keperluan harian serta senjata. Pesawat Israel turut menghancurkan sebuah masjid di Gaza City berhampiran Hospital Shifa’, di mana ketika itu ramai ahli keluarga pesakit sedang berlindung. Bahkan Hospital Shifa’ turut mengalami banyak kerosakan material. Tentera Israel turut mengebom Universiti Islam Gaza serta bangunan-bangunan kerajaan yang menjadi kubu kuat HAMAS. Israel juga mengebom sebuah pelabuhan perikanan untuk melumpuhkan salah satu sumber rezeki utama Gaza. Sebagai penghinaan tambahan, Israel juga mengebom sebuah penjara di Gaza, menyebabkan ramai penjenayah-penjenayah melarikan diri dari pusat tahanan tersebut.
Beratus-ratus rakyat Palestin cuba menyelamatkan diri dengan menyeberang ke Mesir melalui sempadan di Rafah, namun pintu utama Mesir-Gaza itu terus ditutup dan dikawal ketat oleh tentera Mesir. Rakyat Gaza yang berjaya merobohkan sebahagian tembok sempadan dengan bulldozer bagaimanapun terus dihalau dan disekat oleh Mesir yang menggunakan kekerasan. Pilu juga menyaksikan bahawa negara Mesir turut bersekongkol dalam memerangkap dan menghukum rakyat Palestin di Gaza, daerah paling padat di dunia itu. Lebih teruk, Mesir menghalang pasukan pakar-pakar bedah Mesir yang bersemangat ingin membantu saudara mereka dari menyeberang ke Gaza. Mesir juga turut menghalang pendaratan pesawat dari Libya yang membawa peralatan dan ubat-ubatan yang sangat diperlukan di Gaza. Tindakan kerajaan Mesir ini teramat menyedihkan dan penuh tanda tanya tentang kesetiaannya kepada rumpun dan agamanya sendiri.

Pendirian Dunia


Namun, dunia secara umumnya memprotes dan mengutuk hebat tindakan Israel. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon mengutuk hebat serangan Israel yang melampau ini dan mengarahkan Israel menghentikan operasi-operasinnya. Beliau menyeru pemimpin-pemimpin liga Arab agar berbincang dan bertindak segera untuk menghentikan suasana tegang ini. PM Malaysia turut menyatakan bantahannya terhadap serangan Israel serta keganasan melampau yang digunakan. Syria secara rasmi menghentikan segala rundingan damai dengan Israel. Iran turut mengutuk hebat serangan bersifat barbarik ini serta mengecam kebisuan pemimpin Arab. PM Turkey menggelar tindakan Israel ini sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan”. Pertubuhan-pertubuhan Muslim seluruh dunia juga memberi respon mengecam perlakuan kebinatangan Israel ini. Persatuan Muslim Britain turut mengecam “jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza” yang mengikuti kepungan dan sekatan ekonomi besar-besaran ke atas Gaza. Mereka menyeru badan-badan Muslim, serta rakyat-rakyat merdeka lain untuk bangkit mengambil langkah-langkah untuk menghentikan serangan Israel ini. Jamaat-e-Islami dari Pakistan turut mengecam hebat tindakan Zionis dan menganjurkan perhimpunan besar-besaran di daerah-daerah Pakistan. Di Palestin sendiri, demonstrasi jalanan telah dianjurkan di Tebing Barat bagi membantah penyembelihan saudara-saudara mereka di seberang sempadan. Di Iraq dan Lebanon juga telah dianjurkan demonstrasi besar-besaran menyatakan kesatuan dengan Gaza serta mengecam tindakan kejam Israel. Beratus-ratus rakyat Mesir turut hadir dalam demonstrasi di Kaherah bagi membantah serangan Zionis ini.
US, sebagaimana yang dijangka, menyalahkan HAMAS kerana dikatakan memprovokasi Israel supaya melancarkan serangan itu. AS bahkan terus menyokong serangan buas ini, dengan pesanan agar mengelakkan pembunuhan rakyat awam. Nicolas Sarkozy, Presiden Perancis, turut menyalahkan HAMAS, namun beliau mengecam kekerasan melampau yang digunakan Israel. Mahmoud Abbas pula yang sedang dalam lawatan ke Arab Saudi, juga tidak segan silu menuduh HAMAS kerana melakukan provokasi ke atas Israel untuk melancar serangan. Beliau bagaimanapun turut mengutuk keganasan berlebih-lebihan yang digunakan ke atas Gaza.
Dari Gaza, PM Palestin, Ismail Haneyya terus menyatakan keteguhan dan semangat Gaza untuk bertahan disebalik segala keperitan dan kesusahan yang dialami Gaza. Beliau mengatakan tribulasi yang menimpa Gaza dari Israel ini bertujuan memecahkan kesabaran bersejarah yang dipamerkan rakyat Gaza sepanjang berdepan dengan kekejaman Israel dalam segala bentuk. Khaled Mishaal, ketua biro politik HAMAS, dengan yakin mengatakan, “jentera-jentera perang musuh akan dihancurkan oleh kerikil kesabaran rakyat Palestin”. Beliau menyeru rakyat Palestin agar terus teguh dan bersabar serta mengajak pihak Fatah agar bersatu dengan HAMAS di Gaza dan Tebing Barat serta menghentikan koordinasi dengan Israel untuk menghapuskan penentangan Palestin. HAMAS juga mengajak dunia untuk memutuskan segala perhubungan dengan Israel dan membuka pintu sempadan di Rafah sebagai respon yang praktikal terhadap keganasan Israel. Pada masa yang sama, Briged Izz Addin Al-Qassam serta barisan penentangan yang lain pula akan terus mempertahankan Palestin dan membalas segala kekejaman Israel ke atas Gaza sehingga titisan darah mereka yang terakhir.

Israel, negara pengganas, memberi alasan bahawa serangan dahsyat ini kononnya hanya bertujuan menghentikan terus serangan roket pejuang Palestin ke atas bandar-bandar Israel, bukan untuk menakluk semula Gaza semenjak ia meninggalkannya pada 2005. Inilah adalah pembohongan kerana HAMAS menyatakan kesediaan untuk meneruskan genjatan senjata sekiranya Israel membuka laluan sempadannya dan membenarkan bantuan kemanusiaan. Namun, Israel enggan menerima syarat tersebut. Ternyata bahawa serangan kebinatang ini merupakan salah satu stunt politik Parti Kadima untuk memperagakan kekuatannya untuk memancing undi menjelang pilihanraya Israel pada Februari hadapan. Nyata juga bahawa tindakan Israel ini berikutan kebimbangannya terhadap kekuatan dan populariti HAMAS yang terus berkembang setelah pelbagai usaha kejam lagi jelek yang diambil Israel untuk menggulingkan HAMAS. Di samping itu, Israel juga dilihat ingin mengalihkan pandangan dunia dari isu Masjid Al-Aqsa yang ingin ditawan Zionis. Bahkan, sebuah pusat kajian antarabangsa milik AS untuk program timur tengah melihat tindakan Israel ini sebagai usaha melemahkan kerajaan HAMAS dan menaikkan Mahmoud Abbas yang semakin kehilangan popularity di kalangan rakyat Palestin sendiri.

Namun, masyarakat antarabangsa yang sentiasa mengikuti perkembangan isu Palestin sudah masak dengan alasan-alasan Israel dan sekutu-sekutunya. Kekerasan serta keganasan melampau semestinya tidak mungkin diterima manusia berakal dan berperikemanusiaan. Tidak masuk akal sama sekali untuk menggunakan kekuatan sophisticated dengan melampau ke atas pejuang nasional yang hanya bersenjatakan roket primitif dan batu. Bahkan sekatan ekonomi yang dipelopori Israel sehingga ke tahap menafikan kemanusiaan penduduk Gaza jelas menampakkan sifat kebinatangan negara pengganas ini yang mengabaikan sifat-sifat asasi manusia. Ini semua hanyalah kesempatan yang diambil oleh Israel di atas kelemahan persenjataan rakyat Palestin serta kelemahan kesatuan umat Islam. Semoga Allah membantu tentera-tenteranya, memperkuat para penjaga Masjid Al-Aqsa, menyatukan barisan Muslimin dan menghancurkan musuh-musuhNya selumat-lumatnya.

Disediakan oleh:

AIZUDDIN KHALID
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Daerah Hulu Langat

Sumber : Muslim In Volgograd

0 comments: