Berulangkah Kekalahan Regim Zionis 2006 ?


Melihat perkembangan di Gaza sebenarnya amat memilukan hati sesiapa saja. Angka korban bukannya kerana bencana alam, bukan kerana tanah runtuh, gempa bumi, tsunami dan lain-lainnya. Tetapi angka korban yang begitu besar terhasil dari kerakusan regim Zionis untuk menghapuskan ummat Islam.


Agak menyedihkan, negara-negara ummat Islam masih belum lagi bersatu hati untuk membantu ummat Islam di Palestin. Mereka tidak peduli apa yang berlaku kepada ummat Islam Palestin. Mereka lebih pentingkan kepentingan diri mereka sendiri.


Sebelum kejadian serangan pertama yang dicetuskan pada 27 Disember, ummat Islam dikejutkan dengan pertemuan khas Menteri Luar Israel, Tzipi Livni bersama Presiden Hosni Mubarak. Pertemuan seumpama itu amat dikesali. Apa pentingnya pertemuan antara seorang Presiden dengan Menteri Luar bagi sebuah negara yang tidak mendapat pengiktirafan menyeluruh dari negara-negara di dunia ini? Hasil dari pertemuan inilah yang menyebabkan kerajaan Mesir sepi tanpa sebarang tindakan untuk membantu jiran mereka.


Setakat serangan yang dilakukan sehingga semalam, mangsa korban telah dicatatkan dengan begitu menyedihkan. Angka 318 orang yang terkorban bukanlah angka yang sedikit. Begitu juga angka 1,400 orang yang tercedera bukanlah angka yang sedikit. Malahan, kanak-kanak dan wanita turut menjadi mangsa kerakusan regim Zionis. Serangan ini menyamai serangan Zionis yang dilancarkan ke Lubnan pada tahun 2006.


Kelemahan kita sebagai ummat Islam makin terserlah apabila Menteri Luar Mesir, Ahmed Aboul Gheith hanya mendesak agar Hamas dan Israel menghentikan serangan untuk memadamkan aksi keganasan di sempadan Israel-Gaza. Desakan ini disampaikan kepada rakan sejawatnya, Tzipi Levni.


Sekalipun begitu, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert pula menegaskan : Saya tidak akan ragu ragu menggunakan kekuatan Israel untuk menyerang Hamas dan Jihad Islam. Bagaimana caranya? Saya tidak akan memberikan perinciannya sekarang”.


Nampaknya, kesan perang Lubnan 2006 dahulu menyebabkan Zionis makin bernafsu besar untuk membalas dendam. Bukan kepada Hizbullah tetapi kepada rakannya Hamas di Palestin. Semasa peperangan yang meletus di Lubnan 2006 dulu, Zionis bermatlamatkan untuk melakukan pembebasan terhadap dua orang tentera mereka yang telah ditawan oleh pejuang Hizbullah pada 12 Julai 2006. Di samping itu, melalui serangan ini, pengaruh Hizbullah dan pertubuhannya bakal dilenyapkan terus dari muka bumi. Pejuang Hizbullah waktu itu juga turut menawarkan “Prisoners Swap” di antara tawanan Lubnan yang berada di penjara-penjara Zionis dengan kedua-dua tentera tersebut. Ternyata regim Zionis menolak cadangan yang diusulkan. Kononnya di atas nama pembebasan, serangan dilancarkan selama sebulan ke atas Beirut. Angka korban pada waktu itu sangat besar. Yang terkorban pula kebanyakkannya adalah warga awam.


Menurut Robert Fisk dalam Independent News and Media Limited (17/08/2006), angka rasmi yang diperolehi mencatatkan seramai 1,300 orang warga Lubnan telah terkorban. Hampir 400 dari kalangan yang terkorban terdiri dari kanak-kanak. Seramai 3,600 orang pula tercedera dan satu juta rakyat Lubnan kehilangan tempat tinggal.


Di pihak Zionis pula, angka korban di kalangan mereka seramai 53 orang, seramai 1,350 orang tercedera dan 500,000 orang kehilangan tempat tinggal. Waktu itu, rakyat Zionis menentang pentadbiran Olmert dan kerajaannya.


Meskipun begitu, regim Zionis tetap angkuh. Sikap mereka yang menolak tawaran Hizbullah merupakan petunjuk yang jelas. Tawaran Hizbullah itu sebenarnya bertepatan dengan mana-mana undang-undang antarabangsa berkaitan dengan tahanan perang. Tetapi Zionis bukannya masyarakat yang inginkan ketenteraman dan keamanan. Ketenteraman dan keamanan bukan milik masyarakat dunia tetapi hanya milik mereka.


Ternyata, sekalipun 30,000 orang tentera Zionis yang dilengkapi persenjataan yang canggih. Disokong pula peralatan perang yang terhebat dan berdepan pula dengan musuh seramai 2,000 orang. Regim Zionis menemui kekalahan yang diakui ramai dan turut diakui oleh regim mereka sendiri.


Kini mereka kembali menunjukkan taring kezaliman di Gaza. Rakyat Gaza menjadi mangsa. Barangkali Olmert ingin menebus kembali maruahnya yang tercalar, khususnya setelah dikritik hebat oleh Benjamin Netanyahu, Ketua Parti Likud. Ketika kritikan yang ditujukan kepada Olmert di Knesset Zionis, beliau mengecam Olmert kerana telah gagal di dalam menguruskan peperangan di Lubnan. Olmert juga dikecam kerana menerima gencatan senjata kerana ia menunjukkan kepada dunia betapa lemahnya tentera Zionis yang sering dinobatkan sebagai tentera kedua terkuat di dunia.


Kekalahan tentera Zionis ini sentiasa terpahat dalam sejarah dan tentunya mengukuhkan lagi keyakinan ummat Islam, regim Zionis mampu dikalahkan. Regim Zionis terpaksa menelan pahit kekalahan ini. Dengan kemusnahan sebuah jet pejuang F-16, 4 buah helikopter Apache, 3 buah kapal perang dan juga 180 buah kereta kebal Merkava sangat memeranjatkan orang-orang Yahudi sebenarnya. Paling mengaibkan, mereka hanya berdepan dengan 2,000 orang tentera Hizbullah.


Asy-Syeikh Hasan Nasrullah yang menjadi buruan Yahudi masih lagi hidup dan sekarang menjadi hero untuk bangsa Arab keseluruhannya. Malahan beliau dipilih menjadi pemimpin Arab yang paling popular. Kini Asy-Syeikh Hasan Nasrullah kembali sebagai hero Arab yang dikagumi. Memberikan sokongan dan pembelaan kepada sekutunya Hamas. Jiwa seumpama ini sememangnya amat perlu untuk dicontohi oleh pemimpin-pemimpin ummat Islam yang lain.


Apakah pertembungan Hamas dan Regim Zionis pada kali ini akan mengulangi kekalahan mereka sempena 1430 H ?


0 comments: