PRK P36 (Kuala Terengganu) : Siapa Yang Jadi Pilihan PAS Terengganu ?


(Siri I)


Senario politik semasa menyebabkan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional perlu untuk merampas atau mempertahankan kerusi P36. Ia juga bakal menjadi mesej utama daripada rakyat untuk kerajaan pemerintah pada hari ini. Pengundi di kawasan P36 sewajarnya merasai tanggungjawab yang perlu dimainkan pada 17 Januari 2009 nanti.


Pakatan Rakyat melalui PAS Terengganu khususnya tidak terkecuali untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Pakatan Rakyat. Selain dari kesungguhan jentera pilihanraya PAS, PAS Terengganu tentunya sedang meneliti bakal calon di P36 untuk menjadikan ianya sebagai salah satu pelengkap kepada faktor kemenangan.


Sekadar suatu perbandingan angka yang telah diperolehi sempena PRU 12. P36 telah mencatatkan keputusan seumpama data berikut :-



Ternyata majoriti yang diperolehi oleh BN hanyalah sebanyak 628 undi. Kalau analisis dibuat terhadap pemerolehan undi di peringkat dun-dun di bawah parlimen Kuala Terengganu, majoriti yang dimenangi oleh PAS amat besar melainkan Dun Ladang sebanyak 31 undi. Manakala Dun Wakaf Mempelam dan Batu Buruk, masing-masing mencatatkan keputusan yang membanggakan. Dun Wakaf Mempelam memperolehi majoriti 2,193 undi dan Dun Batu Buruk sebanyak 1,161 undi. PAS hanya tewas di Dun Bandar dengan majoriti 1,142 undi.


Dari satu sudut, PAS sepatutnya telah mempunyai kedudukan yang selesa untuk memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu. Malangnya, kemahuan rakyat berada di sebaliknya. PRU 12 membuktikan pemilih di parlimen Kuala Terengganu menunjukkan mesej yang jelas kepada PAS dengan memberikan undi kepada BN.


Mungkin di sinilah bermulanya pandangan sebahagian kepimpinan PAS Terengganu tentang isu anak tempatan atau orang luar. Seolah-olahnya, rakyat menolak calon dari luar Terengganu.


Pandangan Mursyidul Am PAS perlu diambil kira apabila menyatakan hasrat beliau secara jelas agar Haji Mohamad Sabu dipilih kembali sebagai calon PAS di P36. Cadangan ini disokong oleh Dewan Muslimat sebagaimana laporan Harakahdaily 12 Disember (lihat link).


Saya amat bersetuju jika dikatakan bahawa asas kemenangan BN di P36 tempohari adalah kerana faktor calon. Tetapi bukan kerana faktor calon PAS dari luar Terengganu secara keseluruhannya. Pada saya, faktor utama terletak kepada calon BN iaitu Datuk Razali Ismail. Keperibadian dan hubungan erat bersama sebahagian besar masyarakat di Kuala Terengganu memberikan kelebihan kepada beliau.


Justeru, buat masa ini saya masih lagi mengharapkan Haji Mohamad Sabu diberikan sekali lagi peluang.


InsyaAllah, saya akan menyambung kembali tajuk ini pada siri seterusnya.


Sekian.

0 comments: